Khamis, 1 Disember 2016

Azhar pelayar solo pertama negara lepasi Tanjung Horn

ARKIB : 19/04/1999
LANGKAWI 18 April - 'Segala Puji bagi Allah' dan 'Tahniah Malaysia', itulah reaksi Azhar Mansor yang hari ini mencipta sejarah sebagai pelayar solo pertama negara melepasi Tanjung Horn pada pukul 2.45 petang waktu Malaysia.

Dengan membuktikan semangat 'Malaysia Boleh', Azhar berjaya mengelilingi tanjung yang cukup digeruni itu bersama kapalnya, Jalur Gemilang (JG) yang 'sarat' dengan kerosakan sejak enam hari lalu.

''Tidak ramai pelayar yang pernah mengelilingi Tanjung Horn dengan tiang kapalnya patah, namun kita berjaya melakukannya,'' ujar Azhar dalam e-melnya ke Pangkalan Darat JG petang ini.

Selain tiang utama patah, kerosakan berlaku pada radar, kompas, alat pemanas serta antena radio VHF dan SSB.

Azhar mengemudi JG mengelilingi tanjung tersebut menerusi Laluan Drake, kira-kira 24 batu nautika dari daratan, dibantu dengan cuaca yang baik.

Biarpun angin bertiup cuma lima hingga 10 knot, JG tetap meluncur agak deras pada purata enam knot dengan sekadar bergantung pada layar sementara (jury-rig) yang diikat pada tunggul tiang utama.

''Saya terasa seperti muncul kembali ke alam nyata, selepas sebulan setengah melayari perairan selatan dunia sejak meninggalkan Tanjung Leeuwin, Australia dulu,'' katanya.

Mengimbas kembali pelbagai dugaan yang dihadapinya, Azhar berkata, Lautan Selatan adalah satu mimpi ngeri dengan ribut yang cukup dahsyat manakala permukaan laut bergelombang besar.

''Ia merosakkan kapal, memberi banyak tekanan kepada krew (beliau). Saya dan JG terselamat,'' kata pelayar berusia 41 tahun itu.

Insiden paling buruk berlaku pada hari ke-69 pelayarannya apabila tiang JG patah selepas diasak gelombang besar.

Tambah beliau, sekarang ialah masa untuk memikirkan haluan ke utara mengarahkan ke timur untuk ke Kepulauan Falklands bagi urusan membaik-pulih JG.

Menurutnya, itulah langkah yang praktikal dan wajar untuk peringkat ini.

Sementara itu, pasangan petugas pangkalan darat JG, Noel Belman dan isterinya, Sandy, dalam kenyataan bersama mereka hari ini yakin tidak ramai pelayar yang berpeluang menceritakan pengalaman yang sama seperti yang di Alami oleh Azhar.

Mereka menyanjung tinggi Azhar atas semangat tidak mudah mengaku kalah biarpun puas diasak gelombang besar, angin sehingga 65 knot (120 kilometer sejam), ribut hujan batu dan cuaca sejuk.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_05.htm#ixzz4RbL82U5Q © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan