ARKIB : 14/12/1999
LONDON - Juara tinju
heavyweight dunia tiga kali, Muhammad Ali dipilih sebagai Personaliti Sukan
Terbaik Abad Ini pada satu majlis penganugerahan di studio televisyen
Perbadanan Penyiaran British (BBC) di sini, kelmarin.
''Saya telah mengharungi saat
terbaik dalam tinju. Saya amat gembira dan mungkin saya akan kembali
bertinju,'' gurau Ali ketika menerima anugerahnya yang disampaikan oleh
petinju, Evander Holyfield.
Ali, 57, menumbuk Holyfield
secara bergurau ketika mereka memberikan pos istimewa kepada para jurugambar
bersama juara heavyweight dunia, Lennox Lewis, yang sebelum ini menerima
anugerah BBC sebagai Personaliti Sukan Terbaik 1999.
Ali dilahirkan di Louisville,
Kentucky pada 17 Januari 1942 dengan namanya, Cassius Marcellus Clay dan dia
menjadi inspirasi berjuta-juta peminatnya dalam beberapa dekad ekoran skil
tinjunya yang dikagumi serta pendiriannya tentang diskriminasi kaum.
Dia memenangi pingat emas kelas
light-heavyweight pada Sukan Olimpik Rom pada 1960. Ali merampas mahkota
heavyweight dunia daripada Sonny Liston, empat tahun kemudian.
Dalam tempoh beberapa tahun
ini, Ali menderita penyakit yang dikenali sebagai Parkinson, yang dipercayai
ramai ia akibat daripada aktiviti tinju dalam tempoh yang amat lama.
Personaliti lain yang turut dicalonkan
untuk merebut anugerah tertinggi BBC itu termasuk bintang bola sepak Brazil,
Pele dan atlet olahraga Amerika Syarikat, Jesse Owens.
Petinju British, Lewis menerima
anugerahnya mengatasi bintang bola sepak Manchester United, David Beckham, yang
menang tempat kedua.
''Sudah sepuluh tahun saya
mencuba dan bekerja keras untuk mencapai matlamat saya. Bagi semua atlet muda,
diharap kerja keras dan percubaan demi percubaan yang saya lakukan ini menjadi
ikutan mereka untuk berjaya,'' kata Lewis.
Pasukan bola sepak Manchester
United dipilih sebagai pasukan terbaik dan pengurus mereka, Sir Alex Ferguson
turut diberi penghargaan.
Anugerah untuk personaliti
terbaik 1999 dari luar negara diterima oleh jaguh pecut Amerika Syarikat,
Maurice Greene.
Jurulatih lumba kuda Britain,
Jenny Pitman dipilih menerima anugerah Helen Rolison BBC yang pertama kali
diperkenalkan. Anugerah itu mengambil nama sempena pembaca berita BBC yang
meninggal dunia Ogos lalu selepas dua tahun melawan penyakit barahnya.
Pitman, 52, bersara awal tahun
ini selepas 25 tahun kariernya termasuk kejayaan dalam Grand National dan Gold
Cup. Dia diingati sebagai jurulatih wanita pertama yang memenangi Grand
National, Corbiere. - AP
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SlrjpE76
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan