Rabu, 21 Disember 2016

SEMPENA PELANCARAN MODEL BARU KERETA PROTON -- Rakyat yakin pada Proton

ARKIB : 08/05/2000
BERBANDING dua dekad lalu, kini setiap rakyat Malaysia yakin dengan nama Proton (Perusahaan Otomobil Nasional Berhad). Anehnya, yang menjadi percakapan utama pelbagai pihak apabila pada 1978 Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian) mengemukakan idea projek kereta nasional ialah kesangsian.

Malah hampir setiap dari mereka itu yang ragu-ragu dengan keupayaannya menghadapi cabaran dalaman dan antarabangsa. Keadaan itu berubah 360 darjah pada hari ini.

Nama Proton boleh dilihat dan disebut lancar di mana-mana sahaja. Penulis buku The Proton Family, Viknesh Welluppillai menggunakan nama keluarga Proton untuk mengisahkan jalan ceritanya yang berkisar pada kejayaan Malaysia.

Jenis-jenis kereta Proton yang menjadi watak dalam siri itu ialah Iswara, Satria, Wira, Tiara, Perdana dan Putra - yang merupakan senarai model keluaran syarikat kereta nasional pertama itu. Proton Saga merupakan model pertama syarikat berkenaan. Buku tersebut terbitan Utusan Publications & Distributors. Kejayaan terbaru Proton yang disempurnakan oleh Dr. Mahathir malam ini akan menjadi satu lagi catatan sejarah negara dalam mengorak langkah mencapai impian sebuah negara maju setanding negara-negara lain.

Dalam buku berjudul Kereta Malaysia - Simbol Wawasan Ke Arah 2020, penulisnya, Datuk Adzmi Abdul Wahab yang kini menerajui Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) menggariskan empat reaksi negatif dari dalam dan luar negara mengenai projek Malaysia mengeluarkan kereta nasional.

Pertamanya, menurut beliau, seorang ahli ekonomi mentertawakan projek kereta nasional. Kata Pengarah Urusan EON itu, permintaan kereta di Malaysia yang masih kecil iaitu sekitar 109,000 unit pada tahun 1985 dan kepakaran teknikal Malaysia yang masih di belakang Singapura serta pelbagai lagi hujah ekonomi yang lain digunakan bagi menafikan kemampuan projek kereta nasional.

Kedua, menurut Adzmi, juruanalisis pelaburan dari syarikat tajaan kerajaan pula mengambil jalan yang agak selamat apabila memberi pandangannya mengenai projek kereta nasional walaupun secara peribadinya beliau agak tidak yakin dengan kemampuan projek kereta Malaysia. ''Pendapat beliau lebih berasaskan kepada prestasi yang kurang memuaskan oleh syarikat HICOM,'' katanya yang juga bekas Pengurus Besar Pentadbiran dan Kewangan Proton (sehingga 1992).

Menurut Adzmi, ahli ekonomi lain pula berpendapat bahawa Malaysia tidak mungkin dapat meniru Jepun dan Jerman dalam menjadi negara industri berat kerana belum membangunkan industri sokongan. Majalah The Economist 1987 juga ada menyiarkan satu rencana yang menyindir keupayaan kereta nasional yang menggunakan teknologi lama dari Jepun, tulis beliau dalam buku berkenaan. Malah, menurut Adzmi lagi, pandangan dan pemikiran Dr. Mahathir terlalu jauh ke hadapan jika dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan yang seangkatan dengannya. Ia merupakan perkembangan lalu dan kini hanya tinggal sebagai detik sejarah untuk membuktikan bahawa pandangan-pandangan serong itu sememangnya berniat memperkecil-kecilkan kebolehan Malaysia. Kita harus berbangga dengan pencapaian hari ini.

Dalam senarai halangan utama, Proton telah menghadapi dua cabaran iaitu kemelesetan ekonomi pada pertengahan 1980-an dan Julai 1997. Negara telah menyaksikan begitu sukarnya Proton menghadapi masa depan ekoran kemerosotan pengeluaran kereta. Bagaimanapun ia berupaya menanganinya sehingga membolehkan model baru dilancarkan pada hari ini.

Tidak dinafikan bahawa pemulihan prestasi syarikat berkenaan juga ada kaitan dengan keyakinan pembeli ke atas kualiti keluaran Proton. Tambahan pula ia memberi gambaran bahawa Malaysia juga mempunyai keupayaan menangani masalah-masalah yang harus dilalui. ''Ini semua kos yang ditanggung oleh kerajaan kerana ingin menjadi sebuah negara industri,'' kata Dr. Mahathir sebagai sokongan moral kepada Proton pada penghujung 1980-an.

Krisis kewangan Julai 1997 boleh digambarkan sebagai masalah kecil, sebaliknya syarikat-syarikat kereta nasional termasuk Proton perlu menghadapi cabaran masa depan yang lebih sengit dan besar ekoran era globalisasi.

Terdapat empat objektif utama yang telah digariskan oleh kerajaan dalam penubuhan projek kereta nasional iaitu menyusun semula industri automatif di Malaysia, menggalakkan pertumbuhan industri sokongan dan hiliran, mencapai perpindahan teknologi dan menambah penyertaan Bumiputera di dalam industri automotif. Semenjak kereta Proton dilancarkan pada September 1985, ia merupakan kereta yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia. Pengeluarannya pada tahun pertama yang cuma dalam lingkungan 7,500 unit telah bertambah berkali ganda sehingga mencecah angka 196,000 tiga tahun lalu. Kereta keluaran Proton menguasai antara 60 hingga 65 peratus pasaran dalam negara berbanding hanya 11 peratus pada 1985.

Adzmi juga menyebut dalam buku berkenaan bahawa segelintir rakyat Malaysia telah menempah kereta nasional tanpa melihat model kereta terlebih dahulu kerana semangat kebangsaan mereka terhadap produk barangan Malaysia, lalu mendorong mereka membeli kereta nasional sebagai kereta kedua atau ketiga.

''Sambutan sebeginilah yang menjadi teras kepercayaan rakyat kepada usaha murni kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri,'' katanya lagi.

Kejayaan kereta nasional dapat dibuktikan melalui beberapa kejayaan termasuk memenangi enam anugerah emas di Pameran Antarabangsa di Birmingham, Britain. Di samping itu, kereta Proton Saga diiktiraf sebagai kereta ''Best Value For Money'' oleh sebuah majalah What Car di Britain. Proton Saga yang digantikan dengan Proton Iswara pada 1992, masih merupakan kereta pilihan terbaik rakyat negara ini dalam kumpulan berpendapatan pertengahan.

''Kejayaan ini adalah hasil kecekapan pekerja Proton, termasuk pihak pengurusan yang telah berusaha secara satu pasukan yang efektif. Tanpa kecekapan dan usaha secara satu pasukan tidak mungkin kejayaan ini boleh dicapai,'' kata Dr. Mahathir dalam perutusan khas untuk semua pegawai dan pekerja Proton apabila ia buat tahun kedua berturut-turut menerima pengiktirafan tinggi dalam kaji selidik kendalian Persatuan Pengguna United Kingdom pada 1998.

Pada majlis pelancaran jualan kereta nasional pada 1 September 1985, Dr. Mahathir menekankan: ''Kita mengadakan Perusahaan Otomobil Nasional Berhad bukan untuk membuat kereta semata-mata.''

Di samping itu, langkah tersebut bertujuan menegakkan maruah bangsa dan negara.

''Ia melambangkan kita sebagai bangsa yang bermaruah, bangsa yang sanggup menghadapi cabaran, bangsa yang bila jatuh akan bangun semula dan mengatasi sebarang rintangan dan akan berjaya,'' katanya.

Susulan pencapaian projek kereta nasional ialah kejayaan Petronas mencipta enjin komersial prototaip amat besar ertinya bagi industri automotif Malaysia dan kemajuan negara. Bagaimanapun, kereta-kereta Proton dan keluaran Perusahaan Otombil Nasional Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) yang dipasarkan dalam dan luar negara setakat ini bukan 100 peratus buatan Malaysia.

Model terbaru yang akan dilancarkan sebagai model pengenalan hari ini akan membawa gambaran kejayaan sebenar Proton. Kejayaan yang akan dipaparkan pastinya menjadi kebanggaan rakyat keseluruhan, hasil tenaga kerja pakar-pakar yang seharusnya mengagumkan kita semua dan menjadi titik tolak kejayaan masa depan. Kita perlu menanti 'pendedahan' yang bakal dibuat oleh Dr. Mahathir malam ini.

Dua tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Tengku Mahaleel Tengku Ariff pernah berkata, ia akan menghasilkan kereta nasional reka bentuk baru sepenuhnya pada alaf baru supaya lebih bersaing di arena antarabangsa. Apakah mungkin kata-kata itu dikotakan hari ini? Nampaknya, Proton sudah bersedia menghasilkan kereta teknologi tempatan yang berbeza dengan model-model sedia ada. Ia seiring dengan kebimbangan beliau bahawa nasib Proton akan terjejas sekiranya pembaharuan dari segi teknologi produknya tidak diambil kira. Pokoknya, Proton tidak harus menjadi pemain utama di dalam pasaran tempatan, tetapi juga pasaran dunia. Sebagaimana dikatakan oleh beliau, bagi menghasilkan reka bentuk model baru ia memerlukan 1.5 juta jam bekerja. Justeru, kita mengakui bahawa rakyat Malaysia mempunyai ketabahan untuk menghasilkan hasil yang berkualiti untuk kegunaan peringkat domestik dan antarabangsa.

Industri kereta nasional negara, Proton, perlu bersedia bersaing dengan pengeluar kereta daripada lain-lain negara di rantau ini menjelang pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN tidak lama lagi.

Beberapa model sudah tentu berada dalam senarai penyelidikan dan pembangunan Proton selepas Kumpulan DRB-HICOM membeli ekuiti Lotus empat tahun yang lalu dan setelah pengurusan Proton diambil alih oleh Petronas.

Adzmi juga pernah berkata dalam temu bual dengan Utusan: ''Kita tidak boleh duduk begitu sahaja. Sebaliknya perlu mewujudkan situasi ghairah di pasaran.

''Malah pelanggan-pelanggan di negara ini juga diselerakan dengan model- model baru. Jadi kita perlu bersaing dengan mengadakan model baru.''

Sepanjang 16 tahun lalu, Proton telah berkembang dalam banyak segi - kepakaran tenaga kerja, peningkatan teknologi reka bentuk, kualiti produk, membantu mewujudkan industri sokongan dan peluang-peluang pekerja kepada beribu-ribu rakyat Malaysia.

Usaha kerajaan melaksanakan projek kereta nasional sebenarnya tidak sia-sia. Syarikat-syarikat kereta nasional tempatan tidak mungkin bersaing dengan organisasi antarabangsa jika projek berkenaan dimulakan lewat.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4TSfGMrt7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan