ARKIB : 06/03/2000
LIMA hari sebelum sambutan
ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-42, Perdana Menteri Datuk Seri Dr.
Mahathir mengumumkan restu kerajaan menukarkan status Institut Teknologi Mara
(ITM) menjadi sebuah universiti.
Berita gembira itu disampaikan
oleh Dr. Mahathir pada satu majlis perhimpunan yang dihadiri oleh lebih 15,000
siswazah dan bekas siswazah ITM. Mereka menyambut berita yang dinanti-nantikan
itu dengan sorakan dan tepukan bergemuruh, dan sesetengahnya menitiskan air
mata kegembiraan.
Enam bulan selepas peristiwa
bersejarah pada satu petang bulan Ogos itu, pindaan ke atas Akta ITM 1976
diluluskan oleh Dewan Rakyat sebulat suara. Ia sekarang menunggu kelulusan
Dewan Negara sebelum boleh diwartakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan
Agong. Bagaimanapun, ITM sudah dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara atau
ringkasnya UiTM.
''Saya rasa lega sungguh
sekarang,'' kata Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Zaidee Laidin
ketika ditemui di pejabatnya, minggu lalu. Beliau wajar berasa lapang dada
kerana usaha menaikkan taraf pusat pendidikan yang mempunyai kedudukan istimewa
dalam kamus survival orang Melayu itu telah menjadi kenyataan.
Ahmad Zaidee bagaimana pun
mengakui bahawa penukaran nama itu adalah langkah pertama untuk satu perjalanan
panjang yang penuh liku. Bagi beliau, apa yang lebih penting adalah bagaimana
mahu mengubah cara berfikir para pelajar dan pensyarahnya serta persepsi orang
ramai terhadap UiTM.
''UiTM memerlukan satu anjakan
paradigma, satu corak pemikiran baru bagi menyesuaikan perubahan statusnya
daripada kolej kepada universiti,'' katanya.
Justeru, Ahmad Zaidee berkata,
beliau melihat perlunya diperbanyakkan program penyelidikan dan pembangunan
melalui kursus Sarjana dan Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) yang sedang
dirancang untuk diwujudkan di semua fakulti. Malah beliau yakin ia dapat
dilakukan dengan semangat yang ditunjukkan oleh para pensyarah di universiti itu
yang mahu melihat banyak kursus sarjana dan PhD ditawarkan di UiTM.
''Saya ditanya oleh seorang
profesor: Datuk kenapa kita takut mengadakan kursus PhD sedangkan kita ada
lebih 200 pensyarah yang lulus PhD? Dia kata dia sudah berkhidmat di universiti
yang lebih kecil yang mempunyai bilangan pensyarah PhD yang kurang tetapi ada
menganjurkan kursus untuk PhD. Dia kata UiTM sudah lebih layak untuk
menganjurkan kursus PhD,'' katanya.
Ahmad Zaidee yakin, berdasarkan
prestasi kursus sarjana yang telah dianjurkan sejak beberapa tahun lalu, UiTM
mampu menandingi pencapaian universiti-universiti lain yang ada di negara ini
dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.
Dari satu sudut lain, Ahmad
Zaidee berharap perubahan status itu akan turut mengubah sikap dan cara
pembelajaran di kalangan para pelajar.
Katanya, perubahan status itu
telah menanam keyakinan diri di kalangan para pelajar untuk terus berjaya di
peringkat pengajian yang lebih tinggi.
''Cara belajar pun kita kena
ubah. Sebagai seorang pelajar universiti walaupun mengambil diploma, mereka
kena cari bahan-bahan tambahan. Tidak boleh lagi bergantung kepada nota
pensyarah semata-mata,'' katanya.
Ahmad Zaidee turut menangkis
tuduhan sesetengah pihak bahawa peningkatan status sebagai sebuah universiti
itu bagai dipaksa-paksa, terlalu awal dan tidak menjamin kualiti.
Katanya, dari segi pendidikan,
UiTm telah lama melaksanakan program Jaminan Kualiti Akademik dan Penilaian
yang diselenggarakan oleh sebuah jabatan.
Jabatan itu berperanan
menyelaraskan peperiksaan, pengawalan tahap dan mutu soalan serta sistem
pemarkahan bagi menjamin kualiti para pelajar yang dihasilkannya.
Pada masa yang sama, beliau
berkata, UiTM melaksanakan sistem pengurusan dan pentadbiran yang selaras di
antara kampus pusat dan kampus-kampus cawangannya di seluruh negara.
Katanya, penumpuan yang khusus
akan diberikan bagi meningkatkan kecekapan dalam bidang pengurusan.
''Kita turunkan kuasa kepada
cawangan dalam beberapa perkara seperti pengurusan cawangan itu sendiri. Tetapi
kita selaraskan pentadbiran dan pengurusan di peringkat cawangan dan pusat,''
katanya.
Selain penukaran nama dan
mewujudkan jawatan-jawatan yang bersesuaian dengan statusnya sebagai
universiti, pindaan kepada Akta ITM 1976 itu juga bertujuan menjadikan
penubuhannya tertakluk kepada peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 153 menyentuh mengenai
kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.
Tanggungjawab memelihara keistimewaan kumpulan bumiputera ini terletak di bawah
kuasa Yang di-Pertuan Agong. Justeru, pelantikan Seri Paduka sebagai Canselor
UiTM adalah sangat bersesuaian dan menepati semangat serta matlamat peruntukan
tersebut.
Ketika membahaskan rang
undang-undang pindaan itu di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk
Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan krisis survival orang Melayu yang masih berpanjangan
dalam bidang pendidikan dan pekerjaan.
Memetik sumber Jabatan
Perangkaan Negara beliau berkata, pada tahun 1998 terdapat hanya kira-kira 28.7
peratus arkitek bumiputera berbanding 71 peratus bukan bumiputera, 15.2 peratus
akauntan, 30.9 peratus peguam dan 35.8 peratus doktor perubatan.
''Kurangnya bumiputera dalam
profesion tertentu memperlihatkan dengan jelas bahawa sebenarnya bumiputera
jauh ketinggalan dalam bidang pendidikan,'' katanya.
Ahmad Zaidee menyedari hakikat
jurang perbezaan pencapaian antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera ini.
Bagaimanapun beliau optimis UiTM mampu menjadi memacu perubahan positif untuk
orang Melayu.
Keyakinannya itu beliau
sandarkan kepada satu pertiga graduan ITM yang kini menjadi tenaga pengajar di
UiTM.
''Mereka ini memahami sejarah
dan matlamat institusi ini dan mahu mencurah bakti demi survival orang
Melayu,'' katanya.
Justeru, perubahan status itu
sudah semestinya turut mengubah skim perkhidmatan kakitangannya yang agak jauh
ketinggalan berbanding universiti-universiti lain. Adalah diharapkan supaya
kertas cadangan mengenai pindaan gaji kakitangan UiTM yang menurut laporan kini
sedang diteliti oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dapat disegerakan.
Ketika berucap menggulung
perbahasan rang undang-undang pindaan itu pada 24 Februari lalu, Menteri
Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad berkata, penukaran status ITM kepada
universiti bukan bermotifkan politik untuk memancing undi orang Melayu.
Katanya, ini memandangkan ITM
pada dasarnya telah pun beroperasi sebagai sebuah universiti sejak 1996 setelah
ia diberi kuasa mengeluarkan ijazah hingga ke peringkat Ijazah Falsafah
Kedoktoran (PhD).
Malah ITM sendiri telah lama
menawarkan kursus bertaraf ijazah sejak tahun 1960-an lagi. Seperti kata
Penasihat Undang-Undang UiTM, Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi: ''Pindaan ini
seperti meletakkan ising ke atas kek. Keknya telah siap masak pada tahun
1996.''
Persoalannya sekarang ialah
bagaimana menentukan kualiti kek itu terus sedap, berkualiti, ada khasiat dan
digemari ramai? Itulah cabaran yang kini dipikul oleh warga UiTM demi survival
bangsa Melayu
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4T3syOetH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan