Khamis, 15 Disember 2016

Imbuhan baru untuk rakyat -- 400,000 pesara turut dapat kenaikan pencen 10 peratus

ARKIB : 26/02/2000
 
DR. MAHATHIR Mohamad berjabat tangan dengan Menteri Kewangannya, Daim Zainuddin selepas pembentangan Belanjawan 2000 di Parlimen semalam. - Gambar ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin hari ini membentangkan semula Belanjawan 2000 dengan memperkenalkan beberapa faedah tambahan kepada rakyat.

Menurutnya, faedah tambahan itu dapat diberikan berikutan pengukuhan ekonomi negara dan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar tahun lalu sebanyak 5.4 peratus berbanding unjuran pertumbuhan 4.3 peratus.

Daim berkata, lebih 400,000 pesara dan penerima pencen kerajaan akan turut menikmati manfaat daripada kenaikan 10 peratus gaji kakitangan awam yang dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.

''Pencen yang diterima oleh mereka akan diselaraskan dengan kenaikan gaji, sepertimana yang diperuntukkan oleh Akta Pelarasan Pencen 1980,'' katanya ketika membentangkan Belanjawan 2000 di Parlimen di sini hari ini.

Daim membentangkan Belanjawan 2000 buat kali pertama pada 29 Oktober, tetapi Parlimen telah dibubarkan pada 11 November sebelum ia sempat diluluskan, bagi membolehkan pilihan raya ke-10 diadakan.

Menurut Menteri Kewangan, anggota perkhidmatan awam yang telah diletakkan di bawah skim pencen juga dibenarkan untuk mengeluarkan baki caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa perlu menunggu had umur 55 tahun.

Ia akan berkuat kuasa serta-merta.

Bahagian caruman yang dibuat oleh kerajaan pula akan dipindahkan ke Kumpulan Wang Amanah Pencen.

''Kedua-dua langkah ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan perbelanjaan pengguna bagi mengukuhkan permintaan serta memesatkan lagi kegiatan ekonomi dalam negeri.''

Sehubungan dengan keprihatinan kerajaan dengan masalah pelajar-pelajar di luar negara berikutan peningkatan kos sara hidup, Daim berkata, kadar biasiswa dan pinjaman pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA di 15 buah negara akan di naikkan antara 10 peratus hingga 65 peratus.

Pelajar institut pengajian tinggi swasta dalam negara juga tidak dilupakan dengan kadar pinjaman dinaikkan sebanyak RM500 kepada RM12,500 bagi aliran sastera dan RM16,500 bagi aliran sains, tambah Menteri Kewangan itu.

Daim berkata, kadar wang saku serta bantuan kewangan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan ditambah melibatkan peruntukan sebanyak RM34.29 juta.

Ia melibatkan warga tua, anak-anak yatim, golongan kurang upaya dan keluarga termiskin.

''Pelarasan pencen dan peningkatan bantuan kepada pelajar serta golongan kurang bernasib baik itu akan melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM370 juta,'' kata Daim.

Langkah-langkah yang terkandung dalam Belanjawan 2000 yang dibentangkan Daim hari ini sebahagian besarnya adalah sama dengan yang diumumkan pada Oktober lepas, dengan perubahan kecil tetapi positif kepada petunjuk pertumbuhan ekonomi hasil daripada iklim ekonomi yang semakin baik.

Daim juga mencadangkan peruntukan belanjawan yang sama sebanyak RM78.03 bilion bagi tahun ini, Daripada jumlah itu sebanyak RM53.35 bilion merupakan perbelanjaan mengurus manakala RM24.67 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan itu juga memberi potongan satu peratus kepada cukai pendapatan individu.

Daim mengambil masa hanya kira-kira 45 minit untuk membacakan ucapan Belanjawan 2000 yang telah dipendekkan itu, hanya separuh daripada tempoh yang biasa diambil oleh seseorang menteri kewangan untuk tugasan itu.

Beliau berkata, pencarum KWSP juga akan diberi kemudahan tambahan selain pengeluaran sebahagian caruman bagi membiayai pendidikan anak-anak di peringkat tinggi iaitu pengeluaran caruman dengan tujuan untuk membeli komputer.

''Pengeluaran di bawah Skim Pengeluaran Pendidikan Anak Ahli KWSP ini akan mula berkuat kuasa secepat mungkin,'' katanya.

Menurut Daim, kerajaan turut memperuntukkan RM236.9 juta untuk memperhebatkan program keagamaan ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang berperibadi mulia.

''Kerajaan akan meningkatkan usaha menerapkan gaya hidup sihat serta mengurangkan kegiatan negatif, termasuk yang berpunca daripada amalan merokok dan meminum minuman keras.

''Sehubungan dengan itu, kerajaan akan terus mengkaji kadar cukai ke atas kedua-dua barangan ini dari semasa ke semasa,'' katanya.

Daim berkata, Malaysia harus bertindak berani untuk mengubah paradigma daripada sebuah ekonomi berteraskan pengeluaran (p-ekonomi) kepada ekonomi berteraskan pengetahuan (k-ekonomi) selaras dengan usaha untuk memesatkan pembangunan industri teknologi tinggi di negara ini.

Sebuah jawatankuasa pemandu, katanya telah ditubuhkan di Kementerian kewangan bagi menyediakan pelan induk ekonomi yang dijangka siap dalam masa enam bulan.

Daim menambah, satu pasukan petugas yang berasingan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti projek berkualiti tinggi termasuk projek k-ekonomi yang layak diberi galakan istimewa.

Selaras dengan itu juga, syarikat tersenarai tempatan diberikan pengecualian daripada had 25 peratus bagi perolehan harta intelek dan syarikat milik rakyat Malaysia yang berdaftar di luar negara.

Ia dibuat bagi menggalakkan syarikat-syarikat tersebut membawa balik harta intelek dan perniagaan ke Malaysia, kata Daim.

Menurut beliau, lebih 120,000 penduduk di kawasan pedalaman akan dapat menikmati kemudahan telefon apabila kerajaan memperkenalkan wireless in local loop ke kawasan tersebut.

''Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM318 juta yang akan dibuat oleh Telekom Malaysia Bhd.,'' katanya.

Memandangkan pilihan raya umum sudah berakhir dan rakyat telah membuat keputusan untuk memberi mandat baru kepada Barisan Nasional, Menteri Kewangan itu mengajak semua lapisan rakyat mengetepikan perbalahan yang ada dan bersama-sama bermuafakat serta mengukuhkan perpaduan.

''Kita juga perlu berani mengambil tindakan bagi menjaga kepentingan kita, menanam tekad serta keazaman dan semangat juang yang tinggi. Kita mesti mempunyai keyakinan bahawa kita boleh membina sebuah negara yang mampu bersaing dan mempunyai daya tahan yang tinggi untuk muncul sebagai negara maju,'' katanya.

Oleh: MOHD. ASUKI ABAS

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4SxOPkKKF © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan