ARKIB : 10/01/2000
CAMERON HIGHLANDS 9 Jan. -
Lebih 15,000 penduduk Kampung Raja dan Blue Valley di sini terputus hubungan
dengan pekan Brinchang dan Tanah Rata apabila jalan utama yang menghubungkan
kawasan-kawasan itu dilanda tanah runtuh sejak malam tadi.
Kebanyakan penduduk yang masih
lagi dibayangi tragedi banjir lumpur yang meragut enam nyawa di sini Khamis
lepas dilaporkan tidak dapat membawa hasil tanaman mereka keluar manakala
penduduk yang beragama Islam tidak dapat mengunjungi saudara-mara sempena Hari
Raya.
Jurucakap Balai Polis Kampung
Raja ketika dihubungi mengesahkan terdapat bahagian yang runtuh di Kilometer
81.6 Jalan Brinchang-Kampung Raja di sini sejak kira-kira pukul 8 malam tadi.
''Pihak kontraktor sedang
bertungkus-lumus membaiki jalan itu yang runtuh setelah tidak dapat menahan air
yang bertakung di bahagian tepinya yang berbukit,'' katanya.
Beliau berkata, saluran air
yang dibina di bawah jalan itu sebelum ini menggunakan batu-bata dan tar
menyebabkan ia tidak berfungsi dengan baik untuk menyalurkan air dari tebing
bukit menuruni cerun melalui bawah jalan itu.
'''Kami difahamkan pihak
kontraktor akan memasang gegelung konkrit di bawah jalan itu bagi
mengukuhkannya,'' katanya.
Beliau berkata, jalan itu
dijangka dapat siap dibaiki malam ini dan orang ramai akan dibenarkan
melaluinya selewat-lewatnya tengah hari esok. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4SpAg3bYc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan