ARKIB : 12/12/1999
Ada banyak kejutan kali ini.
Ada yang merasakan diri terpilih tetapi tidak dilantik dan yang tidak menduga
pula terpilih serta menerima pelantikan secara mengejut.
Secara keseluruhan, tiga orang
menteri dan empat timbalan menteri yang bertanding dan menang digugurkan.
Sembilan menteri baru dilantik dan beberapa orang menteri bertukar portfolio
manakala 19 lagi muka baru yang menggabungkan tenaga muda dan lama menduduki
jawatan timbalan menteri.
Apa yang mengejutkan ialah
pelantikan bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Musa
Mohamad sebagai Menteri Pendidikan bagi mengambil alih jawatan Datuk Seri Najib
Tun Razak yang kembali ke Kementerian Pertahanan. Kejutan ini bukan kerana
latar belakang Musa tetapi 'orang luar' daripada arus perdana politik yang
dilantik ke jawatan dianggap kanan dalam kerajaan.
Kejutan juga berlaku apabila
bekas Menteri Besar dan Ketua Menteri hanya diberi jawatan timbalan menteri dan
setiausaha Parlimen manakala di Kelantan, Terengganu dan Selangor tidak ada
seorang pun yang dilantik sebagai menteri.
Perlis pula memecah rekodnya
apabila buat kali pertama, seorang menteri penuh dilantik. Kuota wanita pula
kembali kepada asal apabila hanya dua orang dilantik sebagai menteri penuh.
Pengguguran Datin Paduka Zaleha
Ismail sudah dijangka apabila Datuk Napsiah Omar kembali ke Pusat. Bagaimanapun
Napsiah juga tidak dipilih. Dua bekas pemimpin Semangat 46 pula kembali ke
kabinet iaitu Datuk Rais Yatim sebagai menteri dan Datuk Zainal Abidin Zin
sebagai timbalan menteri.
MCA pula memberi peluang kepada
muka baru apabila Datuk Dr. Ting Chew Peh yang disebut-sebut antara dua orang
menteri akan digugurkan pada pilihan raya umum lalu tidak dilantik semula.
Sebelum ini, Timbalan Presiden MCA, Datuk Lim Ah Lek mengambil keputusan untuk
tidak bertanding pada pilihan raya umum lalu.
Memang mudah untuk menatap
senarai kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Jumaat lalu. Bagaimanapun
seperti kata Dr. Mahathir, untuk mendapatkan nama-nama yang sesuai bukan satu
kerja mudah dan terpaksa mengambil masa. Dr. Mahathir selaku Pengerusi BN
terpaksa berhati-hati membentuk kabinet baru ini supaya ia dapat memuaskan hati
semua pihak serta membentuk barisan yang benar-benar mantap dan bertenaga.
Dr. Mahathir perlu memastikan
kabinet alaf baru ini benar-benar dapat memantapkan lagi jentera pentadbiran
kerajaan supaya rakyat yang memberi mandat kepada BN mendapat manfaatnya.
Kabinet yang membariskan pemimpin yang diyakini rakyat dapat membantu kerajaan
pada masa depan. Setakat ini masyarakat kebanyakannya menyambut baik pengumuman
kabinet baru itu.
Seperti biasa, parti-parti
pembangkang sememangnya akan memandang sinis terhadap apa juga keputusan
kerajaan. Awal-awal lagi barisan pembangkang menyifatkan barisan kabinet ini
tidak mampu membawa Malaysia ke alaf baru. Ada juga yang mempertikaikan
pelantikan semula Datuk Dr. Abdul Hamid Othman yang tewas di Parlimen Sik
sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Sebelum ini ramai yang sudah
menjangka sama ada Dr. Abdul Hamid atau Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Yusof
Noor yang tewas pada pilihan raya umum lalu akan dilantik sebagai senator bagi
membolehkan mereka menduduki jawatan menteri.
Ini adalah kerana kabinet BN
masih memerlukan pemimpin berlatar-belakangkan agama yang mampu menangkis
segala serangan ke atas kerajaan berhubung isu-isu agama. Kehadiran lebih ramai
pemimpin Pas di Dewan Rakyat kali ini memerlukan pemimpin yang mampu memberi
hujah mereka secara berkesan.
Soal sama ada Dr. Abdul Hamid
atau Dr. Yusof, UMNO tentunya tidak ketandusan pemimpin berlatarbelakangkan
agama untuk ditonjolkan. Jika tidak ada sekalipun, BN mungkin boleh mengambil
langkah membawa orang luar seperti dilakukan terhadap Musa. Bagaimanapun kerana
yang akan dihadapi adalah golongan politik (Pas), maka orang politik juga yang
dilihat lebih sesuai memikul tanggungjawab ini. Dalam hubungan ini Dr. Abdul
Hamid lebih berpengalaman.
Inilah (pengalaman) yang menjadi
faktor kepada penyusunan kabinet Dr. Mahathir. Di samping pengalaman dan faktor
prestasi, kabinet ini juga memperlihatkan agihan peringkat negeri dan parti
serta adunan muka lama dan baru. Kehadiran begitu ramai muka baru dan dianggap
muda juga dilihat sebagai pendedahan awal untuk barisan pelapis ini mengambil
alih kepimpinan pada masa depan. Ia menggabungkan kombinasi kematangan,
kepakaran dan pengalaman pemimpin pelbagai kaum termasuk di Sabah dan Sarawak.
Pelantikan 28 orang menteri
menyertai kabinet ini jelas menunjukkan keseimbangan pencapaian parti-parti
politik dalam pilihan raya umum lalu. UMNO mempunyai 17 menteri penuh termasuk
Perdana Menteri dan timbalannya, manakala MCA juga memenuhi kuota enam menteri
sementara MIC, Gerakan dan parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak
masing-masing mendapat satu jawatan menteri.
Seperti disebutkan, kejutan
yang dapat dilihat pada barisan kabinet kali ini ialah pelantikan tokoh luar
daripada parti politik. Portfolio yang diberikan kepada Musa juga dilihat
sebagai paling kanan. Kebanyakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri
melalui portfolio ini.
Musa memecah monopoli atau
tradisi UMNO selama ini yang meletakkan orang kanan dalam parti (kecuali ketika
Datuk Dr. Sulaiman Daud) sebagai penyandang jawatan itu. Ketika pemimpin Parti
Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) memegang jawatan itu, terdapat desakan
daripada ahli-ahli UMNO supaya jawatan itu dikembalikan kepada UMNO.
Bagaimanapun pelantikan Musa
juga tentunya mendapat restu daripada UMNO khususnya Badan Perhubungan UMNO
Pulau Pinang yang dipimpin oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ini kerana
Musa dinamakan di bawah kuota UMNO Pulau Pinang. Mungkin selepas ini akan
timbul pelbagai spekulasi berhubung pelantikan Musa.
Bukan setakat Musa sebagai muka
baru mengetuai kementerian tetapi timbalannya, Senator Datuk Aziz Shamsuddin
dan Hon Choon Kim manakala setiausaha Parlimen pula disandang oleh ahli
akademik iaitu Datuk Dr. Mahadzir Md Khir.
Semua pihak terutama di dalam
UMNO tidak seharusnya membuat pelbagai spekulasi mengenai pelantikan menteri
pendidikan ini. Pelantikan Musa harus dilihat sebagai penghargaan kepada ahli
akademik. Musa adalah seorang tokoh akademik yang berjaya mencipta kejayaan
semasa menjadi Naib Canselor USM selama 13 tahun.
Di bawah era Musa, USM menempa
banyak kejayaan. Apa yang diharapkan, Musa dapat memberi suntikan baru kepada
kementerian ini bagi melahirkan lebih ramai golongan intelek terutama di
kalangan anak-anak Melayu yang semakin layu pencapaian mereka dalam bidang
akademik. Diharapkan perubahan di kementerian ini dapat memenuhi hasrat
kerajaan supaya bidang pendidikan negara berkembang lebih baik tanpa
dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Pada alaf baru, Malaysia harus melahirkan
lebih ramai cerdik pandai dan menjadi pusat kecemerlangan pendidikan serantau.
Dari sudut politik pula, secara
tidak langsung, pelantikan Musa akan melenyapkan pelbagai andaian orang politik
mengenai kedudukan seseorang dalam barisan kepimpinan parti dan kerajaan
menjelang pemilihan UMNO tahun depan.
Tidak dinafikan ada signal di
sebalik pelantikan orang luar ini. Najib tentunya tidak berkecil hati kerana
yang menggantikan beliau bukan di kalangan ahli UMNO yang mempunyai cita-cita
besar untuk naik lebih tinggi, sebaliknya beliau adalah tokoh akademik yang
mempunyai wawasan dalam bidang pendidikan.
Mungkin andaian sebaliknya akan
berlaku jika pemimpin lain dilantik ke kementerian berkenaan. Najib tentu
dianggap sebagai turun pangkat sedangkan Kementerian Pertahanan juga mempunyai
kepentingannya yang tersendiri. Biar apa pun, Najib berhadapan dengan
percaturan politik yang menarik lebih-lebih lagi kemenangan tipis di kubu
kuatnya, Pekan.
Selain Musa, turut mendapat
perhatian ialah penampilan generasi muda sebagai menteri penuh yang dilihat
sebagai persiapan awal parti-parti komponen BN menyediakan pemimpin pelapis.
Ini dapat dilihat dengan pelantikan Datuk Nazri Tan Sri Aziz (Kementerian
Pembangunan Usahawan), Datuk Hishammuddin Tun Hussein (Belia dan Sukan), Datuk
Ong Ka Ting (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Datuk Dr. Fong Chan Onn
(Sumber Manusia). Begitu juga dengan penampilan generasi muda dalam barisan
timbalan menteri seperti Mohamed Khaled Nordin (Kerja Raya), Dr. Abdul Latif
Ahmad (Sumber Manusia), Datuk Ong Tee Keat (Belia dan Sukan) dan Dr. Tan Kee
Kwong (Tanah dan Pembangunan Koperasi).
Hishammuddin yang juga Pemangku
Ketua Pemuda UMNO diberi tanggungjawab yang paling sesuai dengan jiwa mudanya
bagi mencorakkan masa depan generasi muda negara ini.
Hishammuddin mempunyai
tanggungjawab berat untuk melahirkan generasi muda yang bersemangat baru dan
bertanggungjawab terhadap masa depan negara yang pastinya akan menghadapi
pelbagai cabaran. Banyak isu yang berkaitan dengan golongan belia harus
ditangani segera di samping terus melonjakkan mutu sukan negara. Apa yang
menariknya, Hishammuddin dibantu oleh Ketua Pemuda MCA, Tee Keat.
Melihat daripada komposisi
negeri pula, ternyata, Kelantan dan Terengganu tidak mempunyai seorang wakil
pun dalam barisan kabinet kali ini. Alasan yang diberikan tidak ada lagi
kekosongan untuk wakil negeri itu dilantik sebagai ahli Dewan Negara.
Persoalannya kenapa tidak dilantik Tengku Razaleigh Hamzah, satu-satunya wakil
BN yang menang di Kelantan?
Dalam hal ini Dr. Mahathir
telah menjelaskan bahawa "jika seseorang tidak memenuhi kriteria tentulah
kita tidak boleh melantiknya tanpa mengira sesiapa''.
Tengku Razaleigh nampaknya
akur. Bagi Terengganu pula, ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Selama ini,
Terengganu (sebelum pilihan raya 1999) tidak ada wakil sebagai menteri. Negeri
itu hanya mempunyai tiga orang timbalan menteri.
Mungkinkah ketiadaan wakil
Kelantan dan Terengganu menyebabkan kabinet ini bersifat sementara. Dr.
Mahathir tentunya tidak mahu meninggalkan dua negeri Pantai Timur itu begitu
sahaja. BN masih ada penyokong di sana. Mungkin jika ada rombakan selepas ini,
jumlah menteri di negeri itu akan dikurangkan. Sebelum ini walaupun Kelantan
menjadi milik Pas, ada dua menteri penuh dan seorang timbalan menteri.
Selangor juga tidak mempunyai
menteri kali ini selepas Zaleha digugurkan. Selangor hanya mempunyai lima
timbalan menteri (2 UMNO, 2 MCA, 1 MIC) dan dua setiausaha Parlimen.
Ada juga yang melihat kabinet
kali ini sebagaikabinet membalas budi parti komponen atau negeri-negeri yang
berjaya menunjukkan kecemerlangan dalam pilihan raya umum lalu? Mungkin ini ada
kebenarannya apabila negeri yang menunjukkan pencapaian terbaik mendapat
imbuhan yang baik.
Johor misalnya yang mencatatkan
kejayaan 100 peratus memperoleh enam jawatan menteri, tiga timbalan menteri dan
dua setiausaha Parlimen. Ini bermakna daripada 20 ahli Parlimen Johor, 11
daripadanya berada dalam kabinet. Bagaimanapun ketokohan pemimpin juga
mempengaruhi faktor pelantikan ini.
Perlis pula memecah tradisi
kerana walaupun hanya ada tiga kerusi Parlimen tetapi seorang mendapat jawatan
menteri. Melihat dari sudut politik juga, perubahan yang berlaku dalam kabinet
hari ini akan turut mempengaruhi beberapa perubahan yang dijangka berlaku dalam
kepimpinan parti komponen BN menjelang pilihan raya akan datang.
Parti-parti UMNO, MCA, Gerakan
dan MIC dijangka memilih barisan kepimpinan baru selepas beberapa perubahan
yang dapat dilihat sepanjang pilihan raya umum lalu.
Mungkin, dalam tempoh lima
tahun akan datang kabinet ini akan mengalami rombakan lagi. Namun apa yang
diharapkan, barisan kabinet yang akan mengangkat sumpah jawatan Selasa ini
dapat bekerja secepat mungkin bagi membawa rakyat ke alaf baru secara bebas
sepadu dan maju sesuai dengan manifesto BN. Kita mengharapkan gandingan ini
dapat memberi manfaat kepada rakyat seluruhnya tanpa mengira fahaman politik
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4SirQFwKt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan