Rabu, 21 Disember 2016

PM kagum Utusan Malaysia pelopori teknologi editorial maya


 

ARKIB : 13/05/2000
DR. Mahathir Mohamad mendengar penerangan daripada Khalid Mohd. mengenai konsep editorial maya Utusan Malaysia di Bilik Pulau Pinang, PWTC Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 12 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kagum dengan pencapaian Utusan Malaysia mempelopori teknologi terkini menggunakan konsep editorial maya (KEM) dalam membuat liputan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO.

Perdana Menteri yang membuat lawatan singkat di pusat operasi Utusan Malaysia di Bilik Pulau Pinang, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berkata, teknologi itu sememangnya patut digunakan oleh media dalam era teknologi maklumat sekarang.

''Inilah sepatutnya cara paling mudah untuk bekerja,'' katanya sambil mengucapkan syabas atas pembaharuan tersebut.

Dr. Mahathir meluangkan masa hampir setengah jam meninjau operasi Utusan Malaysia yang membuat liputan perhimpunan agung parti sejak Rabu lepas.

Beliau telah diberi penerangan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Khalid Mohd. mengenai operasi KEM.

Pada lawatan singkat itu, Perdana Menteri sempat berbual dalam sidang video dengan Pengarang Agama Utusan, Astora Jabat yang berada di Ibu Pejabat Utusan di Jalan Chan Sow Lin ketika itu.

Kumpulan Utusan merupakan satu-satunya syarikat media di negara ini yang menggunakan teknologi termoden itu dalam Perhimpunan Agung UMNO ini.

KEM menggunakan pendekatan talian terus dari PWTC ke Ibu Pejabat Utusan iaitu dengan menggunakan Rangkaian Perkhidmatan Digital Bersepadu (ISDN) Telekom Malaysia dalam kerangka Rangkaian Kawasan Luas (WAN).

Menerusi KEM, ia membolehkan halaman muka surat berita, penyusunan reka letak dibuat di mana-mana sahaja termasuk di rumah tanpa memerlukan seseorang itu berada di pejabat. Dengan menggunakan KEM juga, petugas-petugas di ibu pejabat boleh mengikuti secara langsung perjalanan perhimpunan termasuk perbahasan, yang disalurkan menerusi litar televisyen tertutup.

Antara yang turut meninjau pusat operasi Utusan Malaysia hari ini ialah Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Naib Presiden UMNO yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaakob.

Semalam, pusat operasi Utusan Malaysia telah menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, isteri Perdana, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4TT2BXWwR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan