Sabtu, 17 Disember 2016

KL Sentral projek penting tarik pelaburan

ARKIB : 07/03/2000
 
ABDULLAH Ahmad Badawi diiringi Abdul Rahman Maidin (kiri) meninjau bangunan Stesen Kuala Lumpur Sentral di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 6 Mac - Projek Kuala Lumpur Sentral bukan dicadangkan untuk menjadi mercu tanda kerajaan sebaliknya ia projek penting yang bakal menarik pelaburan luar negara, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, projek itu dapat mengerakkan sektor hartanah dan pelancongan negara yang turut memberi sumbangan kepada peningkatan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, ia adalah projek penting bagi Malaysia kerana ia melambangkan usaha negara dalam persediaan ekonomi supaya lebih berdaya saing dalam era globalisasi.

Katanya, setiap kali kerajaan memulakan sesuatu projek dalam meningkatkan infrastruktur ataupun melibatkan diri dalam rancangan-rancangan untuk membina bangunan serta bandar raya yang lebih baik, moden dan besar, kerajaan dituduh membazir dengan projek-projek mega yang seolah-olah dirancang sesuka hati.

''Pengkritik kerajaan itu gagal melihat bahawa usaha-usaha dalam menjalankan projek-projek sedemikian sebenarnya dilaksanakan dengan pertimbangan jangka panjang serta matlamat yang berpandangan jauh,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penyempurnaan pembinaan struktur bangunan Stesen Kuala Lumpur Sentral di sini, hari ini.

Projek tersebut dimulakan pada April 1997, dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun ini.

Ia diterajui oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang memegang ekuiti 64.38 peratus bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (26 peratus) dan Pembinaan Redzai Sdn. Bhd. (9.6 peratus).

Abdullah berkata, beliau difahamkan ramai pelabur asing sudah menunjukkan minat dalam projek Kuala Lumpur Sentral termasuk syarikat Daito & Daisho yang akan membina dua hotel iaitu Hilton International dan Le Meridien.

''Terdapat juga para pelabur asing lain yang sedang mewujudkan usaha sama dengan MRCB untuk membangunkan kompleks perumahan serta kompleks membeli-belah,'' katanya.

Beliau berkata, Kuala Lumpur Sentral adalah satu lagi pembangunan yang dibina secara kompetitif, bertujuan untuk memenuhi keperluan Malaysia di masa hadapan.

''Saya dimaklumkan kos pembinaan bagi projek itu ialah sebanyak RM420 juta yang membuatkannya lebih rendah dari segi kos berbanding dengan stesen Panchiou, Taiwan atau Waterloo dan yang terbaru di Hong Kong.

''Saya yakin satu daripada sebab pengurangan kos itu dapat dilakukan adalah atas keputusan MRCB untuk menggunakan sebanyak 60 peratus bahan-bahan pembuatan daripada sumber-sumber tempatan,'' katanya.

Beliau turut gembira kerana pembinaan projek itu melibatkan suatu pemindahan kemahiran dan teknologi sebuah syarikat kontraktor antarabangsa kepada 200 penyelia tempatan yang berpeluang mempelajari teknik-teknik yang boleh digunakan bagi projek-projek infrastruktur lain di Malaysia.

Menurutnya, ia akan menjadi pusat pengangkutan yang akan memberi pelbagai faedah kepada semua pengguna kerana ia mengintegrasikan sistem-sistem pengangkutan sedia ada di ibu negara dan mempercepatkan perjalanan ke Putrajaya dan KLIA, Sepang.

Di samping itu, katanya, ia juga akan memudahkan perjalanan melalui pembinaan pusat Pemeriksaan Masuk dan Keluar pertama di dunia yang terletak di bandar raya yang merupakan satu inovasi.

Dengan pembinaan stesen Kuala Lumpur Sentral, ujarnya, kerajaan dan sektor swasta telah mewujudkan satu lagi batu asas untuk mencapai Wawasan 2020 dengan membangunkan infrastruktur yang kemas dan efisien di samping merangsang kegiatan pembangunan ekonomi serta memberi faedah dari segi kemudahan kepada rakyat.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie dan Pengerusi MRCB, Datuk Abdul Rahman Maidin.

Oleh: JOHARDY IBRAHIM

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4T5MeYcCG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan