Selasa, 20 Disember 2016

Pendeta Za'ba contoh anak Melayu berpandangan global

ARKIB : 30/04/2000
 
DR. MAHATHIR Mohamad (kiri) menurunkan tandatangan pada gambar Pendeta Za'ba selepas merasmikan Simposium Jati Diri Melayu Abad 21 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 29 April - Pendeta Za'ba semasa hayatnya menjadi contoh anak Melayu yang berpandangan global dan mempunyai visi dalam tindak-tanduknya, kata Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ia dapat dilihat berdasarkan pandangan-pandangan yang dikemukakannya melalui tulisan tentang pendidikan, kepercayaan dan politik orang Melayu.

''Pandangannya bukan sahaja sesuai untuk masanya malahan sesuai juga untuk menangani masalah-masalah selepasnya,'' kata beliau ketika menyampaikan ucap utama pada majlis perasmian Simposium Jati Diri Melayu Abad 21 bersempena pelancaran Kursi Za'ba di sini hari ini.

Dr. Mahathir turut melancarkan lawan web Kursi Za'ba dan Ensiklopedia Global serta menerima sumbangan daripada badan korporat.

Menurut Perdana Menteri, Pendeta Za'ba menyedari peranan pendidikan sebagai ejen perubahan sosial yang penting kerana ilmu dan pengetahuan merupakan syarat utama untuk meneroka bidang lain.

Beliau berkata, Za'ba mengesyorkan supaya diperkenalkan konsep 'pendidikan yang sempurna' iaitu percantuman antara pendidikan ilmu duniawi dengan pendidikan ilmu agama.

Jika diteliti dengan mendalam, kata Dr. Mahathir, konsep pendidikan yang diyakini oleh Za'ba itu adalah selaras dengan pemikiran yang diutarakan oleh sarjana pendidikan Islam mutakhir.

Beliau menambah, Za'ba menekankan penggunaan bahasa asing selain bahasa sendiri kerana menyedari kepentingannya sebagai perantaraan untuk membolehkan masyarakat bukan sekadar memahami keadaan dan pemikiran sendiri tetapi juga masyarakat lain.

Kata Perdana Menteri lagi, pemerhatian Za'ba terhadap bangsanya adalah menyeluruh yang mana kelemahan orang Melayu menurutnya, disebabkan oleh salah tafsir masyarakat terhadap perkara-perkara pokok dalam keimanan.

Sebagai contohnya kata beliau penggunaan perkataan 'takdir'. Orang Melayu pada umumnya memberi pengertian takdir sebagai nasib yang tidak boleh diubah walaupun usaha boleh dibuat untuk memperbaikinya.

Kesedaran Za'ba tentang politik, kata Dr. Mahathir dikesan apabila beliau mula berjinak-jinak dengan Kaum Muda pimpinan Sheikh Mohd. Tahir Jalaluddin dan kemudiannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Katanya, apabila penglibatan Za'ba dalam politik telah dihidu oleh Inggeris, beliau tidak dinaikkan pangkat dan ditahan gaji selama lima tahun tetapi ia tidak mematahkan semangat Za'ba.

Malahan kata Perdana Menteri, Za'ba telah memimpin masyarakat Melayu menentang Malayan Union kerana baginya perancangan Inggeris adalah bertujuan melemahkan dan menguasai orang Melayu.

''Senario yang ditunjukkan oleh Za'ba semasa hayatnya merupakan contoh jati diri Melayu yang dapat dicontohi dan dibanggakan,'' ujarnya.

Sejajar dengan itu, jelas Dr. Mahathir pelancaran Kursi Za'ba bagi memperingati jasanya adalah sesuatu yang baik.

''Tetapi lebih besar daripada hanya mengingati nama seorang jaguh kebangsaan ialah dengan memahami falsafah dan pendekatan perjuangannya dan meneruskannya dalam konteks zaman ini,'' katanya.

Pembaharuan yang dilakukan oleh Za'ba kata Dr. Mahathir tidak statik dan beku sebaliknya dinamik dan terpulanglah kepada generasi yang menyusul Za'ba untuk menjayakan perjuangannya secara berterusan.

''Tidak ada tugu yang boleh dibina untuk Za'ba yang boleh membanggakannya seperti tugu budaya Melayu baru yang dicita-citakan olehnya,'' kata beliau.

Hadir sama pada majlis perasmian tersebut ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr. Ashari Che Mat, para akademik, cendekiawan Melayu serta para pelajar.

Simposium sehari ini turut mendapat kerjasama Pusat Penyelidikan Ensiklopedia Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz4TNXJGVJZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan