ARKIB : 18/12/1999
Kita negara pertama simpan
pendua al-Quran Saidina Othman
SHEIKH Habibullah Ismail Solih
dari Uzbekistan menunjukkan replika naskhah kitab suci al-Quran lama pada zaman
Khalifah Saidina Othman yang akan diserahkan kepada Muzium Negara di Kuala
Lumpur, semalam. Turut sama Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti Dr. Kamarul
Baharin Buyong (belakang). - Gambar Bernama.
KUALA LUMPUR 17 Dis. - Malaysia
mencatat satu lagi sejarah hari ini sebagai negara pertama menyimpan naskhah
pendua kitab al-Quran yang dibaca oleh Khalifah Saidina Othman, ketika baginda
dibunuh.
Pendua al-Quran, yang disalin
semula dengan tepat daripada naskhah asal yang tersimpan rapi di Pusat Islam
Uzbekistan di Tashkent itu, diserahkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan
Antikuiti Datuk Dr. Kamarul Baharin Buyong oleh pakar khat (kaligrafi)
Uzbekistan Sheikh Habibullah Ismail Solih, yang menghasilkan sendiri replika
itu.
"Mushaf (pendua)
satu-satunya ini dibuat dan dipersembahkan dengan rasa kasih sayang dan
perhubungan antara Uzbekistan dan Malaysia," kata Habibullah pada majlis
penyerahan kibab suci itu di Jabatan Muzium dan Antikuiti di sini petang ini.
Habibullah, yang bercakap dalam
bahasa Arab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Ketua Penolong
Pengarah Bahagian Pendidikan dan Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (Jawi) berkata, beliau mengambil masa dua tahun untuk menyudahkan
replika al-Quran itu.
Al-Quran asal Saidina Othman
yang disimpan di Tashkent dan masih mempunyai kesan darah baginda yang mati
ditikam, telah diiktiraf sebagai salah satu bahan kenangan dunia oleh
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (Unesco).
Dr. Kamarul Baharin berkata,
pendua al-Quran yang unik dan bersejarah itu akan disemak oleh para pegawai
Jawi terlebih dahulu sebelum dipamerkan kepada orang ramai pada tahun hadapan.
Menurut Habibullah, kitab asal
yang disimpan di Tashkent itu, berusia kira-kira 1,400 tahun dan mempunyai
kesan darah Saidina Othman pada helaian ke-24 surah al-Baqarah dan beberapa
helai muka surat yang lain, tetapi kesan itu adalah tinggalan setelah darah itu
dikesat.
Al-Quran asal itu ditulis atas
kepingan kulit kijang dan dibawa dari Kuffa, sebuah pekan kecil di Iraq ke
Tashkent (dulunya Samarkand) oleh Panglima Islam Timurlane selepas beliau
menawan Iraq pada ketika itu.
Dr. Kamarul Baharin berkata,
berdasarkan sumber-sumber yang dipercayai, pada masa ini hanya terdapat empat
naskhah al-Quran asli yang ditulis dan dihasilkan pada zaman Saidina Othman dan
masing-masing sebuah disimpan di Pusat Islam Uzbekistan di Tashkent, makam
Saidina Hussain di Kaherah, Muzium Islam Istanbul dan Muzium Topkapi Istanbul.
Katanya, beberapa sumber zaman
pertengahan menyebut bahawa al-Quran asli zaman Saidina Othman yang terdapat di
Damsyik, Madinah, Mekah, Kuffa, Homsa dan Basra telah hilang, dan salinan di
Cardoba dipercayai tenggelam di lautan.
Menurut Habibullah, beliau
terpaksa mencuba sebanyak 50 kali untuk mendapatkan ketepatan tulisan khat
mengikut tulisan asal daripada segi tebal dan nipisnya huruf-huruf itu.
Tulisan al-Quran itu adalah
jenis khat nasaf hijazi lama dan termasuk dalam jenis khat kufi tetapi
keseluruhan tulisan itu tidak ditemui lagi di tempat asalnya di Kuffa, Iraq
walaupun ia diasaskan di situ.
Dr. Kamarul Baharin berkata,
hasrat Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan salinan pendua al-Quran Saidina
Othman yang boleh dikatakan tertua di dunia itu timbul setelah Perdana Menteri
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad melawat Pusat Islam Uzbekistan, di Tashkent.
"Maka timbul hasrat
Kerajaan Malaysia untuk mendapat salinan atau pendua al-Quran itu untuk
diabadikan dalam muzium di Malaysia," katanya. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4Sm9bsFI6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan