Sabtu, 3 Disember 2016

Siput Sarawak... perginya seorang primadona


 

ARKIB : 04/06/1999
Siput Sarawak... perginya seorang primadona
SIPUT SARAWAK.

Zaman gemilangnya telah lama berlalu. Layar cerianya semasa di Jalan Ampas berubah menjadi layar lara ketika hari-hari terakhir hayatnya.

Di Jalan Ampas tahun 50-an, dia sukar disaingi oleh pelakon yang ada waktu itu untuk menjiwai watak perempuan jahat, pisau cukur atau penari kabaret yang lincah lagi menggoda.

Itulah primadona filem Melayu, Siput Sarawak yang terakhir sekali muncul dalam filem Layar Lara dua tahun lalu sebagai pelakon undangan istimewa.

Semalam Siput atau nama sebenarnya Ramlah Mohamad Sulaiman telah meninggal dunia di rumahnya di Kempas Road, Singapura pada usia 78 tahun kerana sakit tua.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Pusara Abadi, Singapura selepas waktu Zuhur semalam. Hilanglah seorang lagi pelakon yang pernah memberi sinar kepada Jalan Ampas 40 tahun lalu.

Hari-hari terakhir Allahyarham hampir senasib dengan watak Auntie Zai (lakonan Azean Irdawaty) dalam Layar Lara yang ditinggalkan dunia bintang yang gemilang.

Allahyarham menghabiskan usia tuanya dalam keadaan yang agak menyedihkan. Kerana zaman kegemilangannya telah berlalu, Allahyarham tidak lagi mendapat tawaran berlakon.

Selepas berlakon dalam Layar Lara, Allahyarham pernah menetap beberapa ketika di Kuala Lumpur dengan harapan dapat mencari rezeki sebagai pelakon. Tetapi apabila Allahyarham berada di penghujung karier, tidak ada pihak yang memberi tawaran kepadanya. Ini membuatkan Allahyarham kembali ke Singapura.

Lebih malang apabila Allahyarham yang juga ibu kepada penyanyi Anita Sarawak telah lupa ingatan.

Dalam satu pertemuan dengan primadona itu ketika dia berkunjung ke Kuala Lumpur dua tahun lalu, Allahyarham berkata, dia akan berlakon di sepanjang hayatnya.

Sepanjang kariernya, Siput telah berlakon lebih kurang 50 filem dan antara yang paling menonjol ialah Hujan Panas, Racun Dunia, Korban Fitnah, Patung Chendana, Hujan Gerimis, Naga Tasik Cini, Jiran Sekampung dan Mangsa.

Dalam filem Melayu di Jalan Ampas, selain daripada Allahyarham Salleh Kamil, Siput adalah pelakon yang dibenci kerana keberkesanan watak jahatnya.

Allahyarham sering berpasangan dengan P.Ramlee, S. Roomai Noor, (juga pernah menjadi suaminya), Salleh Kamil dan beberapa pelakon lelaki lagi dalam filem-filem yang bertemakan sosial.

Walaupun tidak boleh membaca, Siput pernah berkata, dia tidak pernah menghadapi masalah untuk menjiwai setiap watak yang diberikan kepadanya.

Hujan Panas adalah antara filem yang paling digemarinya. Keberkesanan lakonannya dalam filem itu membuatkan dia terus mendapat peluang berlakon watak jahat.

Mengimbas sejarah awalnya, Siput mula berlakon bangsawan Siput Kuyung bersama bapanya Dollah Sarawak (nama sebenar Mohamad Sulaiman) sejak berusia 11 tahun. Dollah Sarawak adalah nama besar dalam dunia bangsawan yang kemudian menjadi pelakon filem.

Selepas Perang Dunia Kedua, Siput menjadi penyanyi kabaret di Singapura sebelum berpeluang berlakon dalam filem pertamanya berjudul Singapura Waktu Malam.

Dalam kariernya, anugerah tertinggi yang pernah diberikan kepadanya ialah Anugerah Artis Veteran di Festival Filem Malaysia ke 9 (FFM-9) tahun 1991.

Sementara itu pelakon veteran Zaini Sattar yang sering menguruskan aktiviti artis veteran di Singapura ketika dihubungi berkata, banyak pelakon veteran yang menetap di sana hadir memberi penghormatan terakhir.

Antaranya Zaiton, Hashimah Yon, Sri Dewi, Momo Latif dan banyak lagi

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_01.htm#ixzz4Rpqb3bSC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan