Selasa, 20 Disember 2016

Alat timbang dua muka wajib 2001

ARKIB : 29/04/2000
KUALA LUMPUR 28 April - Semua peniaga di negara ini wajib menggunakan alat timbang dua muka mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penggunaan alat timbang itu adalah untuk memastikan hak pengguna lebih dilindungi kerana mereka juga boleh melihat kadar timbangan sesuatu barangan.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya sedang berusaha mendapatkan bekalan alat timbang itu dari Thailand agar mencukupi.

''Kementerian akan mengeluarkan surat pekeliling mengenai penguatkuasaan alat timbang dua muka itu tidak lama lagi,'' katanya.

Sementara itu penggunaan alat timbang satu muka masih dibenarkan sehingga tarikh penguatkuasaan itu, katanya sambil menambah ketika ini pihaknya mendapati lebih 283,000 peniaga yang masih menggunakan alat timbang satu muka.

Dalam pada itu para peniaga hendaklah membeli alat timbang dua muka yang mempunyai tanda kelulusan SIRIM bagi memastikan kualitinya, katanya kepada pemberita selepas meninjau harga dan pelabelan barangan keperluan harian di Pasar Borong Selayang dan Pasar Keramat, di sini hari ini.

Pada masa ini alat timbang dua muka boleh didapati di pasaran pada harga antara RM120 dan RM150 seunit.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya juga akan memilih beberapa pasar contoh di seluruh negara untuk membolehkan peniaga membuat rujukan sistem pelabelan harga yang betul.

''Ramai peniaga yang tidak faham cara mempamerkan tanda harga dengan betul dengan meletakkannya di tempat tersembunyi,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_06.htm#ixzz4TNFvLHuA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan