Isnin, 19 Disember 2016

Membangunkan Sungai Kinta


 

ARKIB : 20/04/2000
Membangunkan Sungai Kinta
TAJOL ROSLI bersama beberapa pegawai kanan kerajaan menaiki bot dari tebing Gunung Curau dekat Taman Seenivasagam menghilir melalui Sungai Kinta hingga sampai ke tebing Bangunan Seri Kinta Ipoh untuk melihat dari dekat keadaan kebersihan air sungai dan kedudukan tanah di kedua-dua belah tebing sungai tersebut di Ipoh, baru-baru ini.

Oleh: AHMAD NAZRI HASHIM
TIDAK ramai orang termasuk warga kota Ipoh sendiri tahu bahawa Sungai Kinta yang melalui di tengah-tengah pusat bandar Bandaraya Ipoh pernah memainkan peranan penting sebagai alat perhubungan utama antara Ipoh dengan kawasan lain di Perak suatu masa dahulu.

Mengikut sejarah pembukaan Ipoh, pada tahun 1890-an, Sungai Kinta adalah satu-satunya alat perhubungan Ipoh dengan kawasan lain di negeri ini dan dunia luar ketika itu.

Peranan penting Sungai Kinta dapat dilihat dengan ketara apabila barang perdagangan dan makanan untuk keperluan penduduk Ipoh ketika itu dibawa menggunakan sampan melalui Sungai Kinta.

Pembukaan laluan kereta api di Lembah Kinta yang menghubungkan Ipoh dengan Teluk Intan pada tahun 1895 sedikitpun tidak menjejaskan kepentingan Sungai Kinta yang terus memainkan peranan penting sebagai alat perhubungan di Ipoh ketika itu.

Kepentingan Sungai Kinta kepada penduduk Ipoh berterusan sehinggalah ia digantikan dengan jalan darat berikutan pembangunan yang berlaku di Pekan Lama yang terletak di sebelah utara Sungai Kinta.

Pembangunan pesat di Pekan Lama dan kekurangan kawasan baru untuk dimajukan lagi di situ, telah menyebabkan pembangunan baru terpaksa dijalankan di sebelah selatan Sungai Kinta yang kini dikenali sebagai Pekan Baru.

Sehingga hari ini, pusat bandar Ipoh terbahagi kepada dua bahagian iaitu Pekan Lama di utara Sungai Kinta dan Pekan Baru di selatan Sungai Kinta.

Bagaimanapun, kemajuan yang berlaku di Pekan Baru dan kawasan persekitarannya telah menyebabkan Pekan Lama kini ketinggalan daripada arus pembangunan semasa.

Aktiviti-aktiviti sosial dan ekonomi yang lebih tertumpu di kawasan Pekan Baru berbanding Pekan Lama telah menyebabkan Pekan Lama menjadi seolah-olah 'bandar mati' pada sebelah malam.

Perkara ini diakui sendiri oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Talaat Husain bahawa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang berusaha untuk meningkatkan aktiviti ekonomi di Pekan Lama yang mengalami ekonomi yang pudar.

Kerajaan Perak baru-baru ini merancang untuk membangunkan Sungai Kinta yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Ipoh sebagai kawasan tarikan pelancongan.

Selain sebagai kawasan tarikan pelancongan, kerajaan negeri dan MBI dapat menghidupkan semula aktiviti ekonomi dan sosial di Pekan Lama di sebelah malam.

Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata, Kerajaan Perak akan meminta MBI merancang membangunkan kawasan Sungai Kinta sepanjang 3 kilometer yang melalui di tengah-tengah bandar raya Ipoh sebagai kawasan tarikan pelancongan.

Katanya, antara pembangunan yang dirancang di sungai itu termasuk mendirikan gerai-gerai makanan, kraf tangan dan sebagainya di kiri dan kanan tebing sungai itu.

Selain itu, kerajaan negeri juga merancang mengadakan pentas terbuka di tebing sungai itu bagi membolehkan persembahan tarian kebudayaan diadakan pada sebelah malam bagi menarik para pelancong.

''Beberapa jambatan khusus untuk kegunaan orang ramai akan juga dibina bagi membolehkan orang ramai menyeberang sungai itu,'' ujarnya.

Tajol berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk mendalamkan Sungai Kinta bagi membolehkan aktiviti-aktiviti sukan air seperti berkanu dapat diadakan di sungai itu.

''Kerajaan negeri berharap pembangunan yang dijalankan di Sungai Kinta akan menghidupkan semula aktiviti ekonomi kawasan Pekan Lama di bandar raya itu terutama pada waktu malam,'' tambahnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedia menimbangkan untuk membangunkan kawasan itu secara usaha sama dengan pihak swasta kerana kerajaan negeri tidak mampu untuk memajukan sungai itu secara bersendirian.

''Kerajaan negeri berharap Sungai Kinta dapat dimajukan seperti Sungai Sarawak bagaimana pun kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukan lebih RM200 juta seperti yang dibelanjakan bagi memajukan Sungai Sarawak,'' tegasnya.

Sebagai sebuah kerajaan yang 'mesra rakyat, Kerajaan Perak mempelawa orang ramai untuk memberi pendapat dan cadangan mereka berhubung cara-cara terbaik untuk memajukan Sungai Kinta.

Menurut Tajol, mereka boleh memberikan pendapat dan cadangan mereka melalui surat kepada kerajaan negeri atau melalui surat khabar

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4THmUTj7K © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan