Ahad, 18 Disember 2016

Shahrul Neeza, Nicol terbaik


 

ARKIB : 04/04/2000
NICOL yang pernah mengharumkan nama negara dengan menjuarai kategori wanita Kejohanan Skuasy Remaja Dunia dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan 1999 pada majlis di Hotel Sheraton, Subang, semalam.

ATLET lumba basikal, Shahrul Neeza Mohd. Razalli dan pemain skuasy remaja negara, Nicol Ann David masing-masing diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara 1999 di Subang Jaya, semalam, lapor SRY ANGRENI MOHD. ZET.

Shahrul menewaskan 14 atlet lain yang turut dicalonkan termasuk pesaing terdekatnya, perenang Elvin Chia sementara Nicol dipilih daripada 10 pencalonan yang diterima.

Dengan anugerah itu, Shahrul dan Nicol masing-masing menerima wang tunai RM10,000 serta piala daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Shahrul dipilih berdasarkan prestasi cemerlangnya tahun lalu termasuk membantu pasukan negara menduduki tempat kedua keseluruhan bagi kategori pasukan Asia Timur pada perlumbaan Le Tour de Langkawi.

Pelumba berusia 30 tahun itu juga meraih dua pingat emas melalui acara ujian masa individu dan lebuh raya individu pada Sukan SEA di Brunei di samping muncul naib juara pada Terbuka Perlis yang disertai 54 peserta.

Dia turut menduduki tempat keempat daripada 41 peserta pada Kejohanan Jelajah Malaysia dan tempat ke-27 daripada 45 pelumba pada Kejohanan Antarabangsa Jelajah Azerbaijan, Mei tahun lalu.

Sementara itu, pemilihan Nicol sememangnya diduga berdasarkan kecemerlangannya beraksi di kejohanan antarabangsa termasuk menjuarai Kejohanan Remaja Asia di Kuala Lumpur pada bulan Januari dan Kejohanan Remaja Dunia di Belgium pada Ogos.

Selain daripada itu dia turut menjuarai tiga kejohanan antarabangsa iaitu Terbuka Jerman dan Terbuka Australia bagi kategori bawah 19 tahun serta Terbuka Britain bagi kategori bawah 17 tahun.

Perenang remaja, Yeoh Ken Nee pula dipilih sebagai Olahragawan Harapan berdasarkan pencapaiannya meraih dua pingat emas pada Sukan SEA Brunei menerusi acara 3 meter papan anjal dan 10 meter platform.

Atlet berusia 16 tahun itu juga menduduki tempat keenam dalam acara 3 meter papan anjal pada Kejohanan Grand Prix Terjun FINA/Terbuka China, Mei lepas.

Anugerah Olahragawati Harapan pula diberikan kepada atlet olahraga berpotensi, Noraseela Mohd. Khalid.

Atlet lompat pagar 400 meter itu berjaya memperbaharui rekod acara yang diminatinya untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA Brunei.

Atlet berusia 20 tahun itu juga menduduki tempat pertama di Terbuka Thailand, Terbuka Singapura, Sukan Universiti di Sepanyol dan Kejohanan Antara Universi ASEAN.

Majlis itu juga turut memilih mendiang Datuk Alexander Lee Yu Lung untuk menerima Anugerah Tokoh Sukan dan Datuk Mohamad Taha Ariffin serta Noh Abdullah menerima Anugerah Kepimpinan Sukan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TCRk65nK © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan