Khamis, 8 Disember 2016

Generasi muda semarakkan sambutan gemilang Hari Kebangsaan di seluruh negara -- Patriotisme menyerlah

ARKIB : 01/09/1999
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Generasi muda Malaysia hari ini menyemarakkan semangat patriotisme dengan keluar beramai-ramai bersama beratus-ratus ribu rakyat di seluruh negara bagi menyaksikan serta mengambil bahagian dalam sambutan berwarna-warni Hari Kebangsaan ke-42, yang terakhir bagi alaf ini.

Kehadiran anak-anak muda, berganding tangan bersama-sama pemimpin-pemimpin negara dan rakyat jelata jelas merealisasikan maksud ''Bersatu Ke Alaf Baru'' yang menjadi tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

''Saya mewakili ribuan kawan-kawan sebaya di sini hari ini mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana membersihkan nama kami,'' kata Mohamed Azli Abdullah, 23, pelajar sarjana muda perakaunan Universiti Teknologi Mara yang ditemui di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Dengan mengambil semangat jitu 100,000 rakyat Malaysia yang menyambut Se Abad Malaysia ke Alaf Baru di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, beliau adalah antara berpuluh ribu orang ramai yang tiba awal pagi untuk menyaksikan perbarisan di dataran bersejarah itu.

Rata-rata generasi muda gembira kerana kenyataan Perdana Menteri malam tadi sekali gus "membersihkan" mereka daripada pelbagai tuduhan kononnya generasi muda alpa dengan kemewahan, tidak memahami erti kemerdekaan, apatah lagi bersifat patriotik.

Mohamed Azli dan empat rakan yang berada di Dataran Merdeka sejak pukul 6 pagi untuk menyaksikan perbarisan Hari Kebangsaan dan melihat dari dekat wajah-wajah pemimpin negara berkata, mereka tumpang bangga di atas kejayaan demi kejayaan yang ditempa oleh Malaysia.

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad malam tadi menyatakan kegembiraan beliau melihat kebanjiran generasi muda di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan dengan ceria dan sorak-sorai.

Di Dataran Merdeka pagi ini, pelancong asing turut tidak melepaskan peluang datang awal bagi menyaksikan upacara meriah yang disiarkan secara langsung oleh kesemua saluran televisyen dan radio tanah air.

Sambutan yang sama diadakan serentak di seluruh pelosok negara pagi ini.

Seramai 2,100 murid sekolah, yang mewakili semangat generasi muda negara, lengkap berpakaian sukan mengindahkan Dataran Merdeka apabila mempersembahkan gimrama serta membentuk formasi logo Hari Kebangsaan.

Seorang peserta persembahan gimrama, T.J Liew, 17, juga turut gembira dengan kenyataan Dr. Mahathir itu berkata, bukan semua remaja "jahat dan suka lepak" tetapi sedikit sahaja yang sebegitu.

''Ramai yang baik... macam saya (sambil ketawa)... kami hanya belajar untuk mengejar cita-cita, kami sayangkan negara dan keluarga,'' katanya.

Dengan cuaca pagi yang baik dan cerah, mata orang ramai tidak lekang daripada memberi perhatian kepada pelbagai acara yang disertai oleh 9,000 peserta, mewakili pelbagai agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta.

Pertunjukan padang serta acara kemuncak perbarisan berjalan lalu oleh kontinjen mewakili syarikat swasta, badan korporat, pasukan berpakaian seragam, pasukan keselamatan dan pasukan pancaragam sekolah-sekolah, bermula pukul 8.30 pagi.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang hadir menerima tabik hormat perbarisan dari pentas khas di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Di sisi beliau ialah Perdana Menteri, Dr. Mahathir.

Turut berada di pentas khas dan jemputan terdiri daripada barisan jemaah menteri, para perwakilan asing dan tetamu kehormat.

Acara sambutan ulang tahun hari kemerdekaan itu dimulakan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang sambil diiringi oleh lagu Negara Ku.

Sebelum upacara menaikkan bendera, empat helikopter Nuri yang membawa Jalur Gemilang dan bendera-bendera angkatan tentera dan tiga cabangnya melakukan lintas hormat sebaik saja Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong tiba di Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad pada pukul 8 pagi.

Baginda yang berpakaian lengkap Field Marshal turut memeriksa kawalan hormat oleh para pegawai dan lain-lain anggota dari Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja.

Sambutan telah dimeriahkan dengan deklamasi sajak bertajuk Bersatu Ke Alaf Baru sambil diiringi tembakan meriam 14 das yang dilepaskan oleh Rejimen Artileri.

Keceriaan sambutan turut diwarnai oleh nyanyian lagu tema Hari Kebangsaan oleh koir dari Institut Bahasa Melayu yang diiringi oleh pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Acara perbarisan yang disertai oleh 6,916 peserta dari 73 kontinjen berjalan kaki didahului pasukan pancaragam Sekolah Menengah Sri Putri dan diikuti oleh 195 kontinjen berkenderaan.

Turut serta dalam perbarisan itu ialah wira samudera negara, Datuk Azhar Mansor, kontinjen Sukan SEA, pendaki Gunung Everest, pasukan misi penerjunan penjelajah di kutub utara.

Selain itu orang ramai juga berpeluang menyaksikan lebih dekat lagi kereta lumba Formula 1 pasukan Petronas Sauber, pasukan berkuda dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), PDRM dan pengawal istiadat berkuda Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Di Perlis, rakyat turut menyaksikan perarakan berwarna warni yang turut disertai oleh pasukan berkuda dan gajah.

Perarakan itu turut menyaksikan kontinjen Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mempamerkan sepanduk sepanjang 200 meter yang dihasilkan secara gotong-royong oleh kakitangan MPK yang memaparkan pelbagai kata semangat termasuk kempen membayar cukai.

Di Kuala Terengganu, 131 kontinjen dianggotai 10,000 peserta mewakili pelbagai sektor menyertai perbarisan Hari Kebangsaan itu.

Upacara itu turut dimeriahkan dengan penyertaan Pasukan Lumba Basikal Jelajah Terengganu 1999 dan perarakan 14 buah kenderaan tentera, 40 buah kenderaan polis termasuk motosikal Jaguh dan bot Marin, bomba dan penyelamat serta kenderaan radio bergerak, polis siber dan 'detektif kita' yang terdiri daripada kadet polis.

Di Papar, Sabah cuaca cerah pada sebelah pagi membolehkan puluhan ribu penduduk dari sekitar barat Sabah membanjiri bandar ini sejak awal pagi bagi menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan yang diadakan pertama kali di daerah ini.

Di Kota Bharu, perayaan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamad ke-IV di sini disambut meriah oleh kira-kira 10,000 orang serta 3,550 anggota daripada 95 kontinjen.

Di Alor Setar, lebih 10,000 orang menyaksikan upacara sambutan Hari Kebangsaan.

Upacara dimeriahkan dengan pertunjukan pancaragam sekolah, kebudayaan, ketenteraan dan pertunjukan udara oleh tiga pesawat ringan dari Kelab Penerbangan Kedah.

Di Bintulu, Sarawak sejumlah 62 kontinjen membabitkan 2,500 peserta pelbagai sektor menyertai perbarisan Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini.

Di Muar, Johor, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang berlangsung di sini bermula sejak 6 petang semalam dengan majlis tahlil, doa kesyukuran dan syarahan agama di Masjid Jamek Bandar Tangkak.

Pagi ini lebih 17,000 orang menyertai sambutan Hari Kebangsaan bersama-sama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Exco-Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Di Ipoh, sebanyak 70 kontinjen yang dianggotai seramai 3,640 peserta mengambil bahagian dalam perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini hari ini.

Di Butterworth, ribuan orang ramai membanjiri Padang Perbandaran di sini bagi menyaksikan upacara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.

Di Melaka, lebih 4,000 orang anggota 73 kontinjen yang mewakili pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, pasukan beruniform, sekolah dan pelbagai pertubuhan mengambil bahagian dalam perarakan yang diadakan buat pertama kalinya di Dataran Sejarah, Ayer Keroh di sini.

Di Seremban, perbarisan Hari Kebangsaan peringkat negeri disertai oleh 72 kontinjen yang bermula dan berakhir di Padang Majlis Perbandaran Seremban.

Di Kuantan, kira-kira 30,000 orang menghadiri sambutan tersebut di Padang Majlis Perbandaran Kuantan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4SF4LJ8Pl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan