WARTAWAN SINAR HARIAN
6 DISEMBER 2016
Temui khazanah baharu di Karai
Zainuddin menunjukkan bangunan yang pernah digunakan tentera Jepun semasa
menjajah Malaysia pada 1941 yang kini terbiar tanpa penjagaan.
SUNGAI SIPUT (U) - Pekan kecil Karai di Sungai Siput sebelum ini
mungkin terkenal dengan Jambatan Victoria yang berusia lebih 115 tahun.
Namun, siapa sangka, di sebalik
rimbunan pokok di atas bukit, tersergam satu lagi khazanah dipercayai dibina
hampir sama tarikhnya dengan Jambatan Victoria.
Rumah agam berkonsepkan seni
bina Inggeris di belakang Sekolah Agama Rakyat Ad-Dinniyyah sebelum ini mungkin
tidak begitu dipedulikan.
Begitu pun, pencinta monumen
bersejarah, Siti Norlizawati Narawi, 43, mengambil inisiatif membersihkan
bangunan itu bersama beberapa agensi lain dalam usaha mempromosikannya.
Menurutnya, tidak mustahil
sekiranya bangunan ini mampu menjadi ikon di Karai seperti Kellie’s Castle
menjadi lokasi tumpuan di Batu Gajah.
“Struktur bangunan ini unik
kerana seakan menggabungkan seni bina Inggeris dan China. Malah, jika di
perhati dengan mendalam, kita dapat lihat bentuk naga secara abstrak di
bangunan ini.
“Bentuk naga seperti itu sangat
digemari pelancong dari China kerana mereka merasakan ia ada feng shui baik.
“Mungkin pihak berkaitan boleh
mempertimbangkan untuk membuat pakej melawat dua tempat, Jambatan Victoria dan
bangunan ini kerana jaraknya tidak jauh,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk
tempatan, Zainuddin Kassim, 80, berkata, bangunan itu mempunyai banyak sejarah
malah pernah digunakan tentera Jepun sebagai ibu pejabat mereka.
Menurutnya, rumah itu asalnya
dimiliki bangsawan dikenali sebagai Datuk Setia sebelum dia meninggalkannya
ketika Jepun mencerobohi Malaysia pada 1941.
“Waktu itu, ramai orang Melayu
lari keluar dari kampung sebab takutkan tentera Jepun. Ada meriam diletakkan di
hadapan bangunan ini dulu, tapi sekarang tak ada yang tahu ke mana hilangnya.
“Selepas Jepun meninggalkan
Malaysia, bangunan ini pernah dijadikan penempatan sementara untuk anggota
polis sebelum berek mereka disiapkan.
“Akhir sekali, bangunan ini
dijadikan sekolah agama pada tahun 1980an sebelum ditinggalkan begitu saja pada
2004 apabila sekolah itu berpindah ke bangunan baru,” katanya.
Zainuddin berkata, sebagai
penduduk asal di kampung itu, sudah semestinya usaha memulihara bangunan itu
disambut baik kerana ia mempunyai sejarah tersendiri.
“Jika meronda seluruh pekan
Karai, rasanya memang tak ada bangunan lain yang ada reka bentuk seperti
bangunan ini. Boleh dikatakan, bangunan ini hanya satu di sini,” katanya
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 6
DISEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan