Khamis, 8 Disember 2016

Ramly Raja setem -- Menghimpun ilmu dengan setem selama 50 tahun

ARKIB : 05/09/1999
NAMA Ramly Yaacob dari Pasir Mas, Kelantan, memang tidak ramai yang mengenalinya kecuali sahabat handai dan saudara-mara.

Tetapi tidak keterlaluan dikatakan bahawa namanya memang cukup dikenali di kalangan para pengumpul setem tempatan malah di peringkat antarabangsa sekalipun.

Kerana itu tidak hairanlah bagi bagi para pengumpul setem di Kelantan, Ramly, 68 telah pun digelar 'Raja Setem' kerana kehebatannya dalam hobi tua itu.

Ketika inipun Ramly dianggap pengumpul setem Melayu terunggul di negara ini kerana penglibatan serta minatnya yang mendalam dalam hobi tersebut sejak hampir 50 lalu memang mengagumkan.

Meninjau ke rumahnya di Kampung Dangar, Pasir Mas baru-baru ini sememangnya menceritakan hakikat tersebut.

Keadaan mejanya yang sarat dengan sampul-sampul surat kiriman para peminat hobi tersebut dari seluruh dunia, rak-rak yang mengandungi album-album atau bekas-bekas setem pelbagai bentuk, dinding yang dihiasi replika-replika setem, susunan katalog-katalog setem dari seluruh dunia dan majalah-majalah setem sudah cukup melahirkan kekaguman terhadap bapa lima anak yang juga bekas penggawa Pasir Mas ini.

Pendek kata bilik khas sekecil itu mengandungi jutaan keping setem tempatan dan dari seluruh dunia.

Setem tersebut meliputi dari yang terkini sehinggalah yang tidak ternilai harganya kerana telah menjadi antik.

Malah rakan-rakan sehobinya dari dalam dan luar negara pula adalah dari semuda pelajar sekolah rendah sehinggalah yang sebaya dengannya.

Bagi Ramly, setem sudah menjadi sebahagian daripada dunianya saban hari.

Setiap pagi selepas solat subuh, dia sudah pasti akan ke Pejabat Pos Pasir Pas untuk mengutip berbelas-belas surat dari rakan-rakan sehobi.

Kemudian dia akan terus ke bilik tersebut untuk menumpukan perhatian kepada pelbagai aktiviti yang membabitkan hobi tersebut. Kecuali untuk bersembahyang atau makan minum, di bilik itulah Ramly berada saban hari membelek-belek setem-setem yang diterimanya dari seluruh negara dan dunia, memfail dan menyusunnya, membalas surat-surat dan sebagainya.

"Saya berminat mengumpul setem sejak berumur tujuh tahun lagi secara senyap-senyap. Ketika itu bapa saudara saya seorang peniaga, sudah pasti banyak menerima surat dari rakan-rakan sepeniaga.

"Setem-setem di sampul surat yang diterimanya sudah pasti saya ambil dan simpan di dalam album,'' katanya.

Ketika bersekolah, dia giat bersahabat pena sehingga sejauh Australia, England, New Zealand dan negara-negara Komanwel yang lain. Sehinggalah Ramly telah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, hobi itu disuburkan lagi dengan mengikuti kursus pengumpulan setem secara pos di sebuah agensi di England.

"Kumpul setem ini amat berfaedah kerana di situlah kita tahu tamadum sesebuah masyarakat dan negara, sebagai perakam sejarah, sumber geografi, politik, produk sesebuah bangsa, nilai-nilai kehidupan dan sebagainya selain bentuk pelaburan jangka panjang yang menguntungkan,'' katanya yang telah pun memiliki tiga buah album besar pada usia 10 tahun.

Di Malaysia misalnya, setem merakam sejarah Malaysia ketika dijajah British, Jepun, merdeka dan seterusnya setelah merdeka.

Begitu juga dengan cara pengeluarannya, jika dahulu setem-setem di negara ini diselaras dan dikeluarkan oleh Crown Agent di England tetapi pada hari ini, Malaysia mampu mencetak setemnya sendiri dengan kuantiti dan kualiti yang membanggakan. Ramly paling menyayangi koleksi setem-setemnya yang dikeluarkan pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang memaparkan wajah sultan-sultan Melayu lampau.

"Kesemuanya ini tidak ternilai harganya dan ada di antaranya terlalu berharga buat saya walaupun ditawarkan pada harga yang mahal.

"Saya tidak menafikan di kalangan mereka yang gila mengumpul setem mereka akan membayar berapa sahaja asalkan memperolehi setem-setem yang diidamkan lebih-lebih lagi yang lama usianya,'' tambahnya yang merupakan ahli Persatuan Filateli Malaysia.

Ramly mempunyai cara tersendiri dan berkesan dalam mengumpul setem dari seluruh dunia. Sistem yang digunakan ialah secara 'surat berantai' yang menghubungkannya dengan ratusan peminat hobi tersebut termasuk dari Israel.

Beliau juga mengumpul koleksi setem-setem dari Iran yang khabarnya begitu sukar untuk diperolehi.

Ketika mengunjungi bilik setemnya baru-baru ini, Ramly baru menerima belasan sampul surat belum berbuka dari beberapa benua.

Ramly tidak sanggup membiarkan minat dan pengetahuannya mengenai setem terkubur begitu sahaja apabila beliau meninggal dunia kelak.

Selain seorang anak dan isterinya turut sama membantunya menguruskan hobi tersebut, dia juga kerap mengadakan pameran-pameran setem di sekolah-sekolah di Kelantan yang sehingga kini telah sebanyak 100 buah kesemuanya.

"Di sekolah-sekolah itulah saya menyemai minat mengumpul setem di kalangan pelajar-pelajar.

"Saban hari rumah saya juga dikunjungi oleh pelajar-pelajar sekolah untuk bertanya maklumat,'' katanya.

Ramly juga bukan asing buat Pos Malaysia kerana selain menjadi rujukan, turut dijemput mengiringi pameran-pameran setem di peringkat antarabangsa.

"Saya tidak merasa rugi untuk menghabiskan sejumlah wang menghadiri seminar-seminar mengenai setem walau sejauh mana sekalipun kerana di sanalah para peminat setem dapat bertukar-tukar pengalaman,'' ujarnya lagi.

Tidak hairanlah, Ramly mempunyai ramai rakan dari seluruh dunia kerana mereka berkongsi pengalaman dan hobi yang sama dengannya.

Adalah menjadi hasrat Ramly untuk menyemai sebanyak mungkin minat mengumpul setem di kalangan generasi muda di negara ini terutama orang-orang Melayu.

Sehingga inipun, Ramly telah pun mempunyai senarai ratusan pelajar terutama di sekitar pantai timur yang menjadi anak muridnya secara pos.

Katanya, orang Melayu memang kurang berminat mengumpul setem berbanding kaum-kaum lain dan ini amat beliau rasakan apabila menghadiri seminar-seminar atau bengkel-bengkel mengenai setem di peringkat antarabangsa.

"Minat mengumpul setem di Malaysia sendiri masih ketinggalan berbanding negara-negara Asean lain. Di Thailand, Singapura dan Indonesia misalnya telah pun mempunyai majalah atau akhbar khas mengenai pengumpulan setem,'' tambahnya. Justeru pada kesempatan ini, beliau amat mengalu-alukan jika lebih ramai generasi muda di negara ini dapat bertemu dengannya untuk mendapatkan ilmu mengumpul setem.

"Saya bersedia menawarkan ilmu mengumpul setem dan memberi tunjuk ajar untuk menguruskannya,'' ujarnya yang turut begitu berminat mengumpul wang kertas, syiling dan yang terbaru kad telefon.

Kepada mereka yang ingin menghubungi Ramly serta bertanya lebih lanjut tentang setem boleh dihubungi melalui Peti Surat 606, 17007 Pasir Mas, Kelantan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4SFZZONu7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan