Isnin, 19 Disember 2016

Jenazah Raja Perlis selamat dimakamkan

ARKIB : 18/04/2000
KANGAR 17 April - Jenazah Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail selamat dimakamkan dengan penuh istiadat di Makam Diraja Arau pukul 3.52 petang ini.

Almarhum ialah Raja Perlis yang pertama disemadikan di makam yang terletak di pinggir Sungai Arau itu.

Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Alim Panglima Mat Jaya Hussin, membacakan doa pada pemakaman itu.

Terdahulu jenazah baginda dibawa keluar dari Istana Arau menuju Masjid Negeri yang terletak kira-kira 300 meter dari situ untuk disembahyangkan selepas masuk waktu zuhur.

Kerabat diraja dan para pembesar menyertai ribuan rakyat jelata menunaikan sembahyang jenazah yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan Negeri.

Jenazah baginda kemudiannya ditarik dengan kenderaan khas oleh para pegawai tentera ke Makam Diraja Arau yang terletak kira-kira 300 meter dari masjid itu untuk dimakamkan.

Tuanku Syed Putra, 79, mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.20 petang semalam setelah dirawat di situ sejak 21 Mac lalu.

Almarhum merupakan raja yang paling lama memerintah.

Semasa hayatnya, baginda telah melalui pelbagai pengalaman yang tidak ternilai dalam lipatan sejarah negara, termasuk zaman penjajahan dan perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan.

Keseluruhan raja-raja Melayu, termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah menziarahi jenazah Almarhum Tuanku Syed Putra di Balairung Seri Istana Arau.

Sultan Kedah, Sultan Perak, Pemangku Raja Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tengku Mahkota Johor, Sultan Pahang, Sultan Terengganu dan Sultan Kelantan juga berangkat hadir.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Hamdan Sheikh Tahir, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Zaidi Addruce serta Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai turut tiba memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah baginda.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin juga hadir memberikan penghormatan bersama-sama beberapa menteri kabinet dan Menteri Besar.

Juga hadir ialah Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Tan Sri Tajudin Ramli dan Pengerusi Renong, Tan Sri Halim Saad.

Sejak malam tadi, ribuan rakyat turut memberikan penghormatan dengan menziarahi jenazah baginda di istana apabila dibawa pulang dari Kuala Lumpur.

Jenazah diusung keluar dari Istana Arau pada kira-kira 1.40 petang sejurus selepas istiadat pemasyhuran pelantikan Raja Perlis yang diiringi tembakan meriam tiga das sebagai tanda penghormatan.

Upacara sembahyang jenazah di Masjid Negeri Arau diimamkan oleh Mufti Negeri, Datuk Alim Panglima Mat Jahya Husin.

Sementara itu ribuan rakyat jelata membanjiri jalan raya dan sekitar makam yang bertentangan dengan masjid itu untuk menghormati dan melihat istiadat pemakaman yang berlangsung sebaik sahaja jenazah dibawa ke makam pada pukul 2.30 petang.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4THNsUgXF © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan