ARKIB : 01/08/1999
MALAYSIA mencipta sejarah
apabila dua jaguh negara - Nicol David dan Leong Siu Lynn mara ke perlawanan
akhir acara perseorangan pada Kejohanan Skuasy Wanita Remaja Dunia di Antwerp,
Belgium, semalam.
Nicol menempah tempat selepas
mengetepikan cabaran pemain Mesir, Engy Khairullah dengan kemenangan mudah 9-4,
9-0 dan 9-0 pada separuh akhir.
Engy ke separuh akhir selepas
menewaskan rakan senegaranya, Iman El-Amir dengan 9-6, 3-9, 9-4, 5-9, 9-6,
kelmarin.
Begitupun, Siu Lynn terpaksa
berhempas pulas dalam permainan lima set sebelum menundukkan seorang lagi
pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy.
Siu Lynn menang set pertama dan
kedua dengan 9-6 dan 9-2, sebelum pencabarnya itu bangkit memenangi dua set
berikutnya 6-9, 8-10 dan 9-4, sekali gus menjadikan kedudukan 2-2.
Pada set terakhir dan
penentuan, Siu Lynn menggunakan segala pengalaman yang ada dalam usaha
menyingkirkan pemain Mesir itu dengan kemenangan 9-4 untuk mengesahkan tempat
pada pertemuan akhir hari ini.
Omneya Abdel Kawy sebelum ini
menumpaskan Vicky Lancester dari England dengan 9-2 9-7 9-7 pada separuh akhir.
Kejayaan Nicol dan Siu Lynn ini
menyaksikan pertembungan dua jaguh negara yang turut memastikan mahkota juara
dan naib juara menjadi milik mutlak Malaysia.
Kedua-dua pemain juga dijangka
mampu memastikan pingat emas buat Malaysia apabila beraksi pada Sukan SEA XX di
Brunei, Ogos ini.
Nicol akan menyertai acara
perseorangan dan berpasukan pada temasya ini, manakala harapan negara
dipertaruhkan untuk Siu Lynn dalam acara berpasukan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4S4FFGGqH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan