Sabtu, 3 Disember 2016

Putrajaya ganti KL

ARKIB : 25/05/1999
SEHINGGA empat tahun lalu, Ladang Perang Besar dan Ladang Sedili dekat Bandar Baru Bangi, Selangor merupakan dua penempatan utama di kawasan yang kini diubah 'wajah' menjadi Putrajaya - Pusat Pentadbiran Persekutuan yang baru.

Tidak banyak kenderaan yang akan melalui kawasan berkenaan kecuali motosikal yang merupakan kemudahan pengangkutan utama dan beberapa buah kereta yang keluar-masuk manakala perkhidmatan bas hanya boleh diperoleh dua jam sekali, antara 6 pagi dan 7 petang dari Kajang.

Bilangan penduduk di kedua-dua ladang itu hanya di sekitar 100 buah keluarga dengan kepadatan penduduk adalah kecil. Laluan yang menghubungkan Ladang Perang Besar dan Ladang Sedili hanya merupakan jalan tanah merah berlanjutan dari jalan raya yang menghubungkan Kajang dan pusat-pusat latihan institusi awam-swasta Bangi.

Selama bertahun-tahun penduduk ladang-ladang berkenaan melalui hari-hari mereka dengan kemudahan yang serba kurang - air dan elektrik dibekalkan mengikut waktu-waktu tertentu.

Sehingga 1996 ladang-ladang kelapa sawit hanya menyaksikan 'perhimpunan' pekerja-pekerja yang terbabit dalam industri komoditi utama negara dengan pakaian sememangnya tidak kemas berbanding kakitangan di pejabat berhawa dingin. Situasi itu hanya tinggal sejarah tidak formal bagi kawasan berkenaan.

Hari ini keadaan itu berubah dengan memberi laluan kelahiran Putrajaya, sebuah bandar bestari dengan kemudahan-kemudahan berdedikasi yang akan membawa negara ke alaf baru.

Dari ladang kelapa sawit dan getah kepada industri teknologi maklumat yang bakal menjadi nadi pembangunan Malaysia tahun-tahun mendatang. Kepadatan penduduk akan meningkat, akan wujud segala kemudahan bertaraf dunia dengan tumpuan pelbagai lapisan masyarakat.

Perubahan menyeluruh dan dinamik ini secara langsung akan memperlihatkan kepentingan sebuah kawasan yang diberi nama baru, yang direncanakan sedemikian rupa untuk membawa kejayaan kepada Malaysia dalam jangka panjang.

Justeru, perkhidmatan awam pasti mengalami perubahan besar apabila Jabatan Perdana Menteri berpindah dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Putrajaya menggantikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran, ia juga akan membolehkan ibu negara Persekutuan berkembang. Ia akan menjadi tempat kerja bagi 76,000 kakitangan kerajaan dan 59,000 sektor swasta.

Perpindahan itu akan menandakan bermulanya sejarah baru perkembangan teknologi maklumat di negara ini yang dikaitkan dengan kerajaan elektronik secara terancang yang diwujudkan dalam satu kawasan khas Koridor Raya Multimedia (MSC).

Memang tidak dapat dinafikan, penggunaan teknologi elektronik di sektor awam telah bermula pada separuh kedua tahun 1960-an. Pada 23 Februari 1967, Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah melancarkan sistem komputer pertama di Jabatan Perangkaan, Jalan Cenderasari.

''Dari situ bermulalah perkembangan era penggunaan komputer di agensi-agensi kerajaan sehingga ke Putrajaya,'' demikian ulasan tayangan video yang dipersembahkan pada majlis penyampaian Diploma dan Penganugerahan Fellow Intan 1999 di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Pemindahan ini merupakan cabaran besar terutama kepada kakitangan awam yang terpaksa bertugas dalam suasana baru dan gaya hidup yang berbeza dengan sekarang.

Semua 850 kakitangan Jabatan Perdana Menteri termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berpindah ke Putrajaya mulai Sabtu lalu. Proses perpindahan itu dijangka mengambil masa dua minggu dan ia melibatkan pejabat Perdana Menteri, menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen kementerian dan jabatan-jabatan yang berkaitan dengan Jabatan Perdana Menteri.

Putrajaya yang dirancang menjadi bandar taman bestari meliputi kawasan seluas 4,581 hektar dan ia terletak 25 kilometer dari Kuala Lumpur dan berdekatan kawasan MSC yang turut menempatkan Cyberjaya, bandar raya pintar pertama di dunia.

Pusat pentadbiran baru kerajaan berharga RM22 bilion itu mengandungi 20 kawasan untuk bangunan kerajaan (239 hektar), komersial (130 hektar), perumahan (1,155 hektar), kemudahan awam (441 hektar), sivik dan kebudayaan (10 hektar), utiliti dan infrastruktur (849 hektar) dan selebihnya kawasan terbuka.

Pusat pentadbiran itu apabila siap sepenuhnya pada Jun 2002 boleh menampung seramai 330,000 penduduk di seluruh kawasan berkenaan.

Secara keseluruhannya matlamat kerajaan elektronik bukan setakat memberi khidmat yang cekap, malah merupakan satu sistem yang dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada golongan swasta yang sama-sama menjadi penyumbang kepada pendapatan negara. Ia adalah cabaran kepada 24 kementerian, 180 jabatan Persekutuan dan badan berkanun, 347 kerajaan dan badan berkanun negeri, 148 agensi kerajaan tempatan, 890,000 para pekerja, 400,000 syarikat korporat, 1,600,000 syarikat-syarikat perkongsian dan syarikat kecil.

Projek fasa kedua akan menempatkan Unit Perancang Ekonomi dan Unit Pemodenan Tadbiran Malaysia (MAMPU) dan dijangka siap Jun atau Julai ini. Fasa ketiga yang antara lain akan menempatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan pejabat Ketua Audit Negara dijangka siap pada awal tahun 2000.

Fasa terakhir yang akan siap pada pertengahan tahun 2000 pula akan menempatkan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Dalam Negeri dan Wisma Putra.

Rancangan induk teknologi maklumat Putrajaya ialah untuk mewujudkan sebuah masyarakat elektronik secara menyeluruh dan bersepadu. Ia dibentuk bagi membolehkan produk dan perkhidmatan supaya dapat diperoleh pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja serta oleh sesiapa juga.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Samsudin Osman menekankan, perpindahan ke Putrajaya bermakna kakitangan awam perlu mewujudkan perkhidmatan awam yang mampu memenuhi kehendak pelanggan-pelanggan yang semakin meningkat. ''Kita seharusnya bersedia untuk melahirkan perkhidmatan berkelas dunia,'' demikian amanat beliau yang turut disertakan bersama tayangan video itu.

Putrajaya nanti akan menjadi sebuah bandar raya serba boleh dan moden serta akan menggunakan banyak teknologi maju dan sistem elektronik.

''Kerajaan juga sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang banyak sebagai pelaburan untuk masa depan, bagi membangun pusat pentadbiran yang baru di Putrajaya dengan segala kemudahan untuk kemajuan perkhidmatan awam,'' kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali.

Justeru, perpindahan ke Putrajaya tidak seharusnya terhad kepada perubahan fizikal, yakni dari bangunan lama di bandar raya Kuala Lumpur ke premis baru yang canggih. Jika benar ia merupakan pandangan sebahagian kakitangan awam, kemungkinan impian dan matlamat Wawasan 2020 kemungkinan tidak akan dicapai.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa tidak semua lebih 600,000 kakitangan awam akan berpindah ke Putrajaya. Bagaimanapun perlu ditekankan bahawa daripada lebih 10 peratus kakitangan awam akan berkhidmat di Putrajaya, menjadi penghubung utama dengan keseluruhan rakan sejawatan mereka dan pelanggan masing-masing sama ada dalam negara ataupun luar negara.

Apakah persediaan mereka dari segi minda? Mampukah mereka untuk menyumbangkan perkhidmatan bertaraf dunia?

Peralihan paradigma perkhidmatan awam telah ditekankan sejak awal 1990-an dengan pelaksanaan pelbagai usaha ke arah itu. Banyak perubahan telah dihasilkan, dinikmati dan dilalui. Usaha sedemikian tidak seharusnya terhenti di Kuala Lumpur sahaja.

Sebaliknya, ia perlu dipertingkatkan seiring sejumlah besar pelaburan diperuntukkan oleh kerajaan dan era yang kita akan lalui pada masa sekarang.

Matlamat utama budaya cemerlang untuk membina suatu corak minda yang berteraskan misi yang kukuh, berkebolehan untuk memberi keutamaan kepada penyampaian perkhidmatan berkualiti secara berkesan dan berupaya untuk menggalakkan dan mengekalkan inovasi dan kreativiti perlu dipertahankan di Putrajaya.

Usaha meneruskan kecemerlangan perkhidmatan awam di Putrajaya seharusnya dilihat sebagai peralihan paradigma perkhidmatan awam fasa kedua. Sejak enam tahun yang lalu perkhidmatan awam telah banyak berubah dan memperlihatkan peningkatan yang mendadak.

Masih wujud banyak ruang untuk diperbaiki dan dipertingkatkan kualiti. Kakitangan awam seharusnya menjadi khidmat pantas dan berkualiti sebagai teras perkhidmatan di ruang dan masa yang boleh disifatkan baru. Dari Kuala Lumpur, perkhidmatan awam akan bertumpu di Putrajaya ketika kita dalam proses menyambut kedatangan alaf baru.

Perkhidmatan sambil lewa seharusnya dikikis, sebaliknya disemai semangat dan budaya khidmat yang lebih dinamik memandangkan segala perkhidmatan berlandaskan teknologi maklumat canggih.

Hanya perubahan sikap dan budaya kerja yang berterusan akan membentuk perkhidmatan awam yang menyeluruh dan berkesan. Perkhidmatan awam tidak seharusnya memberi ruang kepada kewujudan situasi yang mengecewakan pelanggan, rakyat dan negara dalam apa juga keadaan. Dunia memerhatikan perkembangan dan pembangunan era teknologi maklumat Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4RmJHo7sz © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan