ARKIB : 18/02/2000
PENYERANG negara, Suhaimi Ibrahim (dua dari kiri) membawa bola sambil cuba disekat oleh pemain Jerman, Florian Kutz (kiri sekali) dan Bjorn Emmerling (terbaring) pada perlawanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia menang 2-1. - Gambar ZULKARNAIN SAIDIN
S. KUHAN muncul wira negara apabila dua jaringannya memastikan kemenangan mengejut 2-1 ke atas pasukan gergasi, Jerman yang juga juara Eropah pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Kemenangan ini adalah yang pertama dalam sejarah buat Malaysia selepas pertemuan kedua-dua negara pada kejohanan bertaraf antarabangsa sering memihak kepada Jerman.
Aksi cemerlang Kuhan bermula pada minit ke-33 menerusi pukulan sudut penalti apabila dia yang menerima hantaran K. Keevan Raj, mudah menguis masuk bola untuk gol pertama Malaysia.
Sebelum itu, pada minit ke-30, skuad negara hampir mendahului tetapi gerakan 1-2 antara Chairil Anwar Abdul Aziz dan Chua Boon Huat tidak membuahkan hasil.
Bola hantaran Chairil tepat menghala ke arah Boon Huat namun rembatannya tersasar dari pintu gol.
Dalam pada itu, usaha barisan serangan Jerman yang diketuai Christoph Bechmann menemui jalan buntu sekali gus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.
Jerman yang terdesak, melancar beberapa siri serangan pada masa kedua termasuk percubaan bahaya yang dilakukan oleh Oliver Domke.
Hantaran jauh yang dibuat Christoph pada minit ke-44 menerusi serangan balas, disambut dengan baik oleh Domke yang berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol negara, Mohd. Nasihin Nubli. Mohd. Nasihin bertindak pantas apabila keluar dari pintu gol dan berjaya menggagalkan usaha penyerang lawan itu.
Bagitupun, tiga minit kemudian Jerman berjaya menyamakan kedudukan menerusi Christoph selepas berlaku pergelutan di depan pintu gol Malaysia.
Jaringan itu tidak mamatahkan semangat barisan serangan negara untuk menggandakan asakan bagi mencari gol kemenangan.
Pukulan sudut penalti yang diperoleh Malaysia pada minit ke-67 nyata membuahkan hasil apabila Kuhan melakukan pukulan tepat untuk gol kemenangan negara.
Kemenangan itu sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia selepas mengalahkan Kanada 3-1 kelmarin dan skuad negara bakal berdepan New Zealand esok sebelum meneruskan cabaran menentang Pakistan (Isnin), India (Selasa) dan Korea (Khamis).
Jurulatih negara, Stephen van Huizen menyifatkan kejayaan itu sebagai pencetus semangat anak buahnya menjelang kelayakan Olimpik di Osaka, Jepun nanti.
''Kita tidak memberi banyak ruang kepada lawan untuk mengasak dan dapat menguasai permainan. Para pemain tahu tugas masing-masing.
''Malah barisan serangan juga bertindak cemerlang menyekat asakan Jerman. Mereka nyata meningkat sekali pun tanpa kehadiran Mirnawan (Nawawi),'' katanya.
Kemenangan Malaysia itu turut mendapat pujian jurulatih Jerman, Paul Lissek yang pernah membimbing skuad negara.
''Corak permainan yang diamalkan Jerman dan Malaysia adalah sama, cuma mungkin taktiknya agak berbeza. Skuad Malaysia kini semakin sukar untuk ditewaskan.
''Malaysia mempunyai lebih banyak ruang untuk menghasilkan jaringan. Saya menghormati keupayaan Malaysia dan mereka berhak menang,'' katanya.
Bagaimanapun, Lissek berkata, Malaysia perlu berusaha lebih keras jika berhasrat menempah tempat ke Sukan Olimpik Sydney.
''Malaysia bakal berdepan pasukan terkuat dari Eropah pada kelayakan Olimpik di Osaka, Jepun nanti dan jalannya bukan mudah.
''Saya kagum dengan pasukan ini yang mempunyai pemain terbaik, semangat berpasukan yang tinggi dan tahap disiplin terbaik,'' tambahnya.
Oleh: SAADON JAAFAR
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Suywq6gF © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan