ARKIB : 20/12/1999
KUALA LUMPUR 19 Dis. - Malaysia
muncul juara qari dan qariah pada Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-41
yang berakhir di sini malam ini.
Kejayaan Che' Yahaya Daud dan
Maznah Awang itu mengulangi rekod negara memenangi kedua-dua kategori itu yang
kali terakhir dicapai pada tilawah tahun 1994.
Bagi bahagian qari, tempat
kedua disandang oleh Abdul Latip Daud dari Filipina dan ketiga, Mohammad
Mozammel Hossain dari Bangladesh.
Sementara itu peserta
Indonesia, Iis Solihat menjadi naib juara bahagian qariah dan Dayang Rokiah
Ibrahim @ Brahim dari Brunei Darussalam di tempat ketiga.
Kemenangan dua peserta Malaysia
malam ini membolehkan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala
pusingan, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Raja Permaisuri Agong, Tuanku
Siti Aishah turut berangkat pada majlis itu.
Keputusan pemenang diumumkan
oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Brig. Jen. Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin,
merangkap Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Setiausaha
Jawatankuasa Pusat Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa.
Che' Yahaya yang berasal dari
Kelantan memperoleh 90.33 markah manakala Maznah dari Terengganu memperoleh
92.83 markah.
Majlis tilawah enam malam
berturut-turut itu berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) di sini.
Pada 1994, kejayaan Malaysia
adalah menerusi Abdul Rahim Ahmad dan Umi Kalthom Mohd. Zain.
Tahun lalu, Malaysia hanya
menjuarai kategori qariah Sapiah Mohd. manakala bahagian qari pula menjadi
milik Mohamad Gandom Najad Toosi dari Iran.
Sementara itu, Abdul Latip yang
mengumpulkan markah 87.33 peratus adalah peserta yang menduduki tempat ketiga
pada tilawah tahun lalu. Mohamad Mozammel pula memperoleh markah 87 peratus.
Naib johan qariah, Iis Solihat
pula memperoleh markah 90.75 peratus manakala Dayang Rokiah, 86.50 peratus.
Naib johan masing-masing
menerima hadiah wang tunai RM7,000, piala iringan dan sijil manakala tempat
ketiga, RM5,000 cenderamata dan sijil.
Selepas penyampaian hadiah
kedua-dua qari dan qariah negara turut memperdengarkan bacaan masing-masing.
Antara kenamaan yang hadir
ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Yang Dipertua Negeri
Sabah, Tun Sakaran Dandai dan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Syed Ahmad
Shahabudin.
Tilawah yang bertemakan
Perpaduan Ummah Membawa Kejayaan juga diserikan dengan persembahan gabungan
empat kumpulan nasyid iaitu Nurul Amar, As-Sobirin, Rahwdah dan Khazanah.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz4SmwreTf9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan