Ahad, 18 Disember 2016

Piagam Madinah asas permuafakatan hidup

ARKIB : 06/04/2000
Oleh: DR. BADLIHISHAM NASIR

TANGGAL 1 Muharam merupakan tarikh penting bagi umat Islam. Tarikh keramat ini diambil daripada suatu peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah. Penentuan tarikh Hijrah ini (bersamaan 16 Julai 622M) kemudiannya diputuskan pada zaman Saidina Umar ibni al-Khattab bertujuan mengingati peristiwa penting itu di samping untuk memudahkan urusan pentadbiran negara.

Sejak terbentuknya takwim Islam menggantikan takwim Masihi ini, segala urusan pentadbiran negara Islam berjalan dengan licin dan pada masa yang sama semua catatan sejarah penting direkod berdasarkan kepada takwim ini. Takwim Hijrah mengikut peredaran bulan (lunar - qamariyah) di mana dalam setahun ia mengandungi 254 hari berbanding dengan takwim Masihi sebanyak 365 hari).

Perbezaan ini disebabkan kerana takwim Islam mengikut peredaran bulan, manakala takwim Masihi mengikut peredaran matahari. Bilangan hari dalam bulan Islam kurang daripada bilangan hari dalam bulan Masihi. Hari dalam Islam hanya di antara 29 hingga 30 hari sahaja. Sebagai contoh, bulan Muharam mengandungi 30 hari, diikuti oleh bulan Safar 29 hari, bulan Rabiulawal 30 hari, Rabiulakhir 29 hari, demikianlah seterusnya hingga ke bulan Zulhijah 30 hari.

Sementara bulan Masihi, mengandungi antara 30 hingga 31 hari (kecuali bulan Februari 28 atau 29 hari). Berdasarkan kaedah ini menyebabkan perbezaan antara takwim Islam dan takwim Masihi secara kasarnya adalah sebanyak 11 hari dalam setahun atau 365 hari dalam tempoh 33 tahun).

Kehadiran Maal Hijrah saban tahun diraikan kerana terdapat banyak pengajaran dan hikmah di sebalik peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah yang seharusnya dihayati oleh umat Islam. Kita mungkin terpengaruh dengan dakyah para orientalis yang menterjemahkan perkataan Hijrah bererti flight atau lari.

Mereka cenderung mendakwa Nabi dan pengikutnya melarikan diri dari Mekah ke Madinah kerana takut diseksa dan diancam oleh kaum Musyrikin. Terjemahan dan takrifan ini terbabas daripada maksud yang sebenar. Hijrah ialah perkataan Arab yang diambil daripada kata dasar 'hajara' yang bererti 'berpindah', manakala kata terbitannya hijrah bererti 'perpindahan' (migration). Orang yang berpindah digelar sebagai muhajir atau muhajirun. Pada umumnya perpindahan diertikan sebagai suatu langkah untuk memperbaiki nasib hidup di dunia, seperti perpindahan dari desa ke kota untuk mencari peluang kehidupan yang lebih baik.

Namun demikian hijrah merupakan suatu konotasi yang berbeza dan mempunyai orientasi dan objektif yang lebih luas daripada itu, ia mencakupi aspek rohani dan jasmani bagi tujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Hijrah bukan berlaku secara kebetulan malah telah dilakukan dengan penuh perancangan serta mendapat arahan dan keredhaan daripada Allah s.w.t.

Firman Allah dalam ayat 56 surah al-Ankabut yang bermaksud ''tidakkah engkau mendapati bumi Allah itu luas maka hendaklah kamu berhijrah padanya.'' (Surah an-Nisa: 97). Sekali imbas arahan Allah ini merupakan sebagai suatu kesempatan yang mungkin digunakan oleh Rasulullah untuk melepaskan diri daripada ancaman kafir Quraisy. Ini seolah-olah membenarkan dakwaan musuh Islam kononnya Nabi lari tengah malam justeru tidak tahan dengan seksaan yang dialami semasa di Mekah. Sebagai seorang Rasul yang menjalankan amanah Allah, ketakutan terhadap ancaman musuh bukanlah merupakan sifat para Nabi walaupun baginda dan pengikut-pengikutnya dinisbahkan sebagai golongan yang tertindas atau mustadhafin.

Hijrah sebenarnya digerakkan oleh faktor yang lebih penting daripada itu, walaupun diakui keselamatan Rasulullah semakin terancam berikutan kematian isterinya Siti Khadijah dan pak ciknya Abu Thalib yang banyak membantu perkembangan dakwah Islamiah.

Faktor paling utama yang mendorong kepada berlakunya peristiwa ini ialah sokongan terhadap Islam yang datangnya daripada penduduk Madinah. Perjanjian Aqabah pertama dan kedua dengan penduduk Madinah memberikan sinar baru bagi perkembangan Islam yang kian tersepit di bumi jahiliah Mekah itu. Pergerakan Rasulullah s.a.w keluar dari kota Mekah juga diatur dengan penuh rapi agar tidak menimbulkan kegemparan di kalangan musuh yang juga merancang untuk membunuh Nabi s.a.w. Ini dapat dilihat daripada kesediaan Saidina Ali menggantikan Nabi di tempat tidur, bantuan bekalan makanan daripada Asma' binti Abu Bakr dan panduan perjalanan jalan daripada seorang yang mahir mengenai selok- belok laluan kota Mekah iaitu Abdullah bin 'Uraiqit.

Semuanya ini menjelaskan bahawa peristiwa Hijrah adalah merupakan suatu perancangan yang telah disusun begitu rapi, selain daripada pertolongan Allah yang memudahkan lagi perjalanan Rasulullah s.a.w ke Madinah. Banyak perkara penting yang dapat dijadikan pengajaran dalam kita menghayati peristiwa Hijrah ini iaitu berkaitan dengan misi kerasulan Muhammad s.a.w. Walaupun Baginda telah berusaha menyebarkan Islam siang dan malam, penduduk kota Mekah gagal diislamkan secara menyeluruh.

Hal ini berbeza dengan sikap penduduk kota Madinah yang menyambut ketibaan Rasulullah s.a.w dengan paluan gendang dan hamburan nyanyian kesyukuran.

Penduduk Madinah yang terdiri daripada golongan Ansar telah memberikan pertolongan yang besar terhadap Rasulullah dan kaum Muhajirin menegakkan Islam di kota tersebut. Perpaduan yang ditegakkan melalui Hijrah ini bukan sahaja menyatukan umat Islam tetapi seluruh penduduk Madinah yang juga terdiri daripada golongan bukan Islam. Piagam atau perjanjian Madinah yang dimeterai oleh Nabi menjadi asas kepada permuafakatan hidup dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama. Piagam yang diakui oleh Profesor Hamidullah sebagai perjanjian bertulis di dunia yang pertama ini menjadi asas pembinaan negara Islam yang berjaya mendaulatkan perpaduan di kalangan manusia.

Penguasaan politik negara Madinah yang berasaskan Islam telah berjaya menjelmakan Islam sebagai sebuah agama yang mampu membina peradabannya tersendiri. Jika di Mekah, Islam hanya dikenali sebagai agama yang menekankan aspek-aspek keimanan dan kerohanian, khususnya dalam membina asas-asas seorang individu Muslim, maka di Madinah kita melihat Islam berinteraksi dalam seluruh lapangan kehidupan. Di kota inilah banyak ayat-ayat al-Quran diturun bagi menerangkan hukum-hakam dalam seluruh lapangan kehidupan. Negara yang ditegakkan di atas asas keimanan juga berjaya melahirkan para da'i dan mujahid yang sanggup mengorbankan diri untuk kebangkitan agama Allah. Madinah menjadi pusat kebangkitan strategi Islam dalam memperluaskan dakwahnya ke seluruh dunia. Sesungguhnya kemenangan kepada Islam pastinya akan berulang sekiranya umatnya bersikap positif untuk berubah ke arah kemajuan dalam seluruh aspek kehidupan. Perubahan ini tidak akan datang bergolek tetapi perlu dilaksanakan dengan penuh kesungguhan sebagaimana hijrah Rasulullah s.a.w. perlu dijadikan renungan untuk melakukan agenda perubahan dalam alaf baru ini.

DR. BADLIHISHAM NASIR, Jabatan Dakwah, Fakulti Pendidikan Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4TFWWmgFf © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan