Rabu, 21 Disember 2016

700 keluarga mula diami Putrajaya

ARKIB : 06/05/2000
PUTRAJAYA 5 Mei - Seramai 3,500 orang membabitkan 700 keluarga telah mendiami kuarters kakitangan kerajaan Putrajaya sejak ia dibuka Disember tahun lalu.

Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Khamsiyah Yeop berkata, kesemua mereka menduduki 700 daripada 709 unit rumah kediaman yang telah siap dibina.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 532 unit merupakan daripada jenis pangsapuri manakala 177 unit lagi merupakan rumah teres jenis B untuk kakitangan kumpulan B.

Kata beliau, sebahagian besar kediaman tersebut pada masa ini diduduki oleh kakitangan kumpulan sokongan seperti anggota polis, pengawal keselamatan, kerani dan pemandu.

''Sekarang pembinaan kuarters yang lain sedang giat dijalankan dan kita berharap jumlah penduduk akan mencecah 5,000 orang menjelang hujung tahun ini,'' katanya selepas mengadakan lawatan ke kawasan perumahan di Presint 9, di sini hari ini.

Khamsiyah menambah, kerajaan telah merancang untuk membina sebanyak 35,000 unit kuarters kerajaan menjelang tahun 2020 bagi menampung keperluan semua kakitangan kerajaan yang bertugas di situ.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian daripada keperluan perumahan tersebut akan dapat diatasi apabila 15,000 unit rumah dalam empat kategori iaitu banglo, teres, pangsapuri dan semi D siap menjelang tahun 2005.

Khamsiyah berkata, pembinaan kuarters itu dirancang mengikut keperluan selari dengan perpindahan jabatan-jabatan kerajaan ke pusat pentadbiran baru itu yang juga dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Ujarnya, banyak kemudahan moden telah siap dibina di situ seperti klinik, ibu pejabat polis, balai bomba, masjid serta sekolah bestari dan ini seterusnya membolehkan setiap penghuni yang berpindah ke kuarters yang disediakan menikmati kehidupan dengan lebih selesa.

Jelas Khamsiyah, pada masa ini seramai 2,500 kakitangan bertugas di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya dan jumlah itu dijangka mencecah 30,000 apabila kesemua kementerian terbabit berpindah ke situ.

Beliau memberitahu, sehingga kini kerajaan telah memutuskan hanya tiga kementerian yang tidak akan berpindah ke Putrajaya iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kerja Raya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4TSScjaH8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan