WARTAWAN SINAR HARIAN
27 DISEMBER 2016
Kuala Temerloh jadi pekan sibuk
Pemilik tanah, Salahhudin Majid menunjukkan salah satu makam atau kubur lama di
dalam kawasan kebun kelapa sawitnya dipercayai milik Panglima Bagus.
PAHANG kaya dengan kepelbagaian
nilai sejarah yang tersingkap di setiap daerahnya baik yang terus dipertahankan
mahupun kian dilupakan.
Mungkin ramai yang tahu
kisah-kisah tokoh pahlawan Pahang seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk
Bahaman berdasarkan kisah-kisah yang dibukukan, namun ramai lagi pahlawan
Pahang yang tidak didendang sedangkan jasa dan peranan mereka amat penting.
Begitu juga dengan tinggalan
sejarah lain yang suatu ketika menjadi ‘rupa’ sebuah kehidupan masyarakat di
negeri ini namun dek peredaran masa, sebahagiannya terpaksa ‘dikorbankan’ atas
nama kemajuan.
Sejarah adalah kehidupan lalu
yang sewajarnya dipertahankan dan didokumentasi untuk diwarisi bagi tatapan
generasi selepas zamannya.
Tidak dinafikan ada usaha itu
namun sayangnya banyak nilai sejarah yang sekadar dipertahankan pada lisan yang
akhirnya terkubur begitu sahaja.
Bagi menyingkap sebahagian
sejarah yang dilupakan ini, Skuad Sinar Harian, Mohamad Feisal Mohamad Narawi
(Temerloh), Norhafizan Zulkifli (Jerantut), Norfarhiza Mohd Atar (Lipis) dan
Fairus Mohd (Raub) menjejaki ‘sejarah’ yang ada di daerah masing-masing agar ia
terus diingati dan dipertahankan oleh generasi muda.
Semuanya disebabkan
kebijaksanaan Panglima Bagus
Di beberapa perkampungan
tradisional Melayu sekitar daerah ini khususnya di sepanjang Sungai Pahang ada
beberapa kawasan perkuburan lama yang mana kebanyakan penduduk kampung itu
sendiri tidak tahu sejak bila kewujudannya.
Di setiap perkuburan ini
terdapat antara lima ke sepuluh buah sahaja kubur dan kebanyakannya terletak di
dalam tanah milik penduduk kampung dan bukan seperti perkuburan sekarang
ditempatkan di atas tanah yang digazetkan kerajaan.
Di Kampung Melayu lama seperti
Badok, Berhala Gantang, Bangau Tanjung, Bangau Parit, Buntut Pulau dan beberapa
perkampungan lama di Lanchang memang wujud tanah kubur lama ini.
Tinjauan Sinar Harian ke
beberapa lokasi di sekitar daerah ini menemui beberapa kubur lama yang
dikatakan penduduk setempat mempunyai keramatnya kerana ia milik beberapa alim
ulama terkenal sekitar 1700.
Sungai Temerloh di Kuala
Temerloh dekat Kampung Tanjung Batu menjadi lokasi penempatan Panglima Bagus
sekitar 1700.
Salah satu kawasan perkuburan
yang ditemui ialah di Kampung Bangau Parit yang mana sehingga hari ini tidak
ada siapa yang tahu ia milik siapa.
Namun berdasarkan tinjauan
pendapat dan kajian bersama penduduk tempatan serta pengkaji sejarah mengesyaki
salah satu kubur di kampung itu milik Panglima Bagus.
Seorang pengkaji sejarah Zainal
Abidin Lebai Hassan berkata, Panglima Bagus dilahirkan sekitar tahun 1700
adalah anak Datuk Matang di Perak.
Selepas beberapa persinggahan
di Pekan dan Chenor tidak berkenaan di hatinya, Panglima Bagus kemudian singgah
di Tanjung Keramat.
“Tanjung Keramat adalah sebuah
kampung yang dibuka Datuk Suji Bilang, Tok Kaya di Temerloh pada awal 1700M,”
katanya.
Zainal Abidin berkata, Suji
Bilang atau nama sebenarnya Mohamad Abu Bakar adalah seorang lelaki yang bukan
sahaja alim tetapi mempunyai kemahiran dalam ilmu persilatan.
Menurutnya, nenek moyang Suji
Bilang bernikah dengan anak Tok Perkasa bangsawan Chenor dan kemudian tinggal
di Mengkarak dan memegang gelaran Tok Mengkarak.
Zainal berkata, ketika memohon
perkenan Batin Saridon untuk membuka perkampungan baharu di Tanjung Keramat,
Suji Bilang dihalang oleh Batin Saridon iaitu ketua masyarakat Orang Asli yang
tinggal di Gunung Senyum.
Menurutnya, Suji Bilang
kemudian bertarung dengan Batin Saridon dengan ganjaran jika menang akan
berkahwin dengan anak perempuan Batin Saridon dan mengislamkannya tetapi jika
kalah Suji Bilang beredar.
Zainal Abidin berkata, berbalik
kepada kisah Panglima Bagus, bangsawan itu kemudian meminta izin dari bapa
mentuanya Datuk Suji Bilang untuk membuka kampung di satu kawasan berhampiran
dengan Kampung Tebal dan Tanjung Batu.
Katanya, apabila diperkenankan
oleh bapa mentuanya maka kampung tersebut dinamakan Kampung Kuala Temerloh.
Menurutnya, nama Temerloh
diambil oleh beliau dari nama Temerloh yang terdapat di negeri Perak, dan
kawasan di bawah tadbirannya dinamakan
mukim Perak.
Zainal Abidin berkata, oleh
kerana kebijaksanaan Panglima Bagus, maka dalam masa yang singkat Kuala
Temerloh menjadi sebuah pekan yang sibuk, akan tetapi oleh kerana pada masa itu
orang Melayu dan Cina belum boleh duduk bersama kerana pegangan agama, maka
orang-orang Cina membuka sebuah penempatan bagi tujuan berniaga di seberang sungai
Pahang.
“Anak cucu Panglima Bagus
kebanyakannya tinggal di Kampung Seberang Temerloh dan sebahagian mengikut Tok
Shahibudin pengasas Kampung Berhala Gantang tinggal di Kampung Berhala Gantang.
“Di antara anak cucunya yang
terkenal termasuklah Kadi Ibrahim Kadi Besar Pahang (1900), Kadi Ahmad iaitu
Kadi Temerloh (1920) dan Tuan Guru Hasanuddin Mohammad (2005),” katanya yang
banyak merujuk bahan sejarah melalui Syair Asikin dan orang-orang terdahulu.
'Kubur mungkin milik tokoh
besar'
BAGI Tokoh Warisan Kebangsaan
Orang Hidup dan Tokoh Lagu-Lagu Rakyat Profesor Datuk Aripin Said berkata,
memang wujud banyak peninggalan kubur-kubur lama di daerah Temerloh.
Menurutnya, berdasarkan
perkembangan Islam, penduduk, dan syair kemungkinan besar dua kubur yang yang
dirujuk iaitu di Kampung Bangau Parit dan Tanjung Keramat adalah milik dua
tokoh besar sekitar tahun 1600 dan 1700.
Menurutnya, di Pahang,
tokoh-tokoh besar dahulu kala mempunyai pakej lengkap iaitu seorang ulama,
pahlawan dan juga pujangga.
“Perkampungan Suji Bilang di
Tanjung Keramat satu ketika dahulu sememangnya masyhur dengan pusat
perkembangan agama hingga ia merebak ke beberapa perkampungan lain di kawasan
sekitar.
“Tidak mustahil kubur yang ada
di Tanjung Keramat adalah milik Suji Bilang dan tidak mustahil juga kubur lama
di Kampung Bangau Parit adalah milik Panglima Bagus,” katanya.
Bagaimanapun Aripin yang juga
bekas Pensyarah Pendidikan Bahasa dan Sastera di Fakulti Bahasa Moden dan
Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, andaian yang diceritakan
melalui orang lama dan syair itu perlu dikaji lebih mendalam oleh mereka yang
berkemahiran
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 27
DISEMBER 2016