ARKIB : 25/01/2003
Oleh HAMDEN RAMLI
BAGI bekas anggota Rejimen
Gerak Khas (RGK) ini, pengalaman menjejak komunis mungkin sukar untuk
dilupakan. Apatah lagi ia merupakan tugas utamanya selepas tamat kursus asas
komando pada tahun 1970.
Pelbagai cara dilakukan dalam
usaha menjejak komunis atau mencari maklumat sehingga tertangkapnya pengganas
itu. Adakalanya penyamaran tersebut hampir meragut nyawanya.
``Namun kerana ia melibatkan
soal keselamatan adalah lebih baik ia menjadi rahsia peribadi saya,'' katanya
ringkas memulakan perbualan bersama Gaya Tentera Utusan Malaysia baru-baru ini.
Zakaria Yatni, 56, sebenarnya
bukan nama asing dalam RGK khususnya sekitar awal 70-an.
Anak jati Kampung Seri Merlong,
Rengit Batu Pahat merupakan antara anggota terawal menyertai skuadron Y RGK,
selepas unit itu ditubuhkan berikutan pembubaran Rejimen Perkhidmatan Khas
Malaysia.
Di unit itu beliau telah
mengikuti pelbagai operasi membanteras komunis termasuk melibatkan nama-nama
popular seperti Abdullah C.D.
Selain itu, beliau juga kerap
melakukan penyamaran dalam usaha mencari maklumat mengenai kedudukan komunis.
``Kadang-kadang penyamaran
bukan sahaja untuk mencari kedudukan komunis tetapi mengetahui tali barut
komunis,'' katanya yang kini mengendalikan Kelab Payung Terjun Negeri Melaka.
Penyamaran dilakukan dalam
pelbagai cara termasuk menjadi komunis sendiri semata-mata untuk mengetahui
sama ada penduduk kampung itu merupakan penyokong komunis atau pun sebaliknya.
Beliau berkata, oleh kerana
terlalu kerap melakukan penyamaran, adakalanya keluarga sendiri pun tidak
mengenali dirinya.
Bagaimanapun, bagi Zakaria
tugas menjejak pengganas komunis yang dikenali sebagai Chan Chor sukar untuk
dilupakan kerana tugas tersebut bukan sahaja hampir meragut nyawanya malah
menyebabkan beliau hilang seorang rakan.
Merenung kembali usaha menjejak
Chan Chor dan kumpulannya, Zakaria berkata semuanya bermula dalam satu operasi
menghapuskan komunis yang dipercayai sedang bersembunyi di sebuah kem yang
terletak di satu kawasan berhampiran sempadan Sarawak dengan Kalimantan Barat
di Indonesia.
Pada hari pertama operasi,
kumpulan Zakaria seramai enam orang terpaksa membatalkan hasrat untuk masuk ke
kem tersebut.
Juru pandu yang telah dilantik
enggan membawa mereka masuk kerana kekuatan pasukan yang jauh terlalu kecil
berbanding kumpulan komunis.
Keesokan harinya, Zakaria
bersama 30 anggota meneruskan operasi tersebut.
Mereka bertolak pukul 9 pagi
dalam pergerakan penuh berhati-hati kerana kawasan tersebut dipenuhi jerangkap
samar.
Bagaimanapun, dalam keadaan
berhati-hati itu seorang anggota, Koperal Subki, terjatuh ke dalam jerangkap
samar komunis.
Nasib ternyata masih
menyebelahi Subki. Duri pokok Nibong tersebut tidak menembusi tubuh sebaliknya
hanya menyebabkan kecederaan kecil sahaja.
Apabila mereka sampai di kem
tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari, kem itu telah kosong. Usaha
menggeledah diteruskan termasuk di gua-gua yang terletak berhampiran.
Hasil penggeledahan itu,
Zakaria dan kumpulannya hanya menjumpai alat-alat kelengkapan harian, doktrin
komunis dan dokumen dari negara China.
Menurut Zakaria, maklumat yang
diperoleh menunjukkan Chan Chor dan 40 pengikutnya telah melarikan diri ke
Indonesia bersama wang berjumlah RM40,000.
``Bagaimanapun, kami percaya
masih ada saki baki yang tinggal bagi memerhati kumpulan kami,'' kata Zakaria.
Andaian tersebut dikuatkan lagi
oleh maklumat yang Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah berjaya menembak seorang
komunis berhampiran kawasan tersebut.
Memandangkan malam kian
menghampiri, kumpulan tersebut tidak meneruskan usaha menjejak saki-baki
pengganas itu dan mengambil keputusan bermalam di kem tersebut.
Sebagai langkah keselamatan,
mereka membentuk tiga kumpulan Ronda Kum-pulan Kecil (RKK) bagi mengawasi
kawasan sekitar pada waktu malam.
Malam berlalu tanpa sebarang
insiden. Bagaimanapun, kira-kira pukul 6 pagi, kumpulan tersebut dikejutkan
dengan bunyi dua das tembakan di tepi sungai berhampiran.
Semua anggota termasuk Zakaria
terus menerpa ke kawasan tersebut dan melihat Sarjan Azman terbaring.
``Beliau meninggal dunia
setelah terkena dua das tembakan di dada'' kata Zakaria.
Selepas itu, Zakaria dan empat
rakan lain terus memburu penembak tersebut sambil rakan-rakan lain mengurus
jenazah Sarjan Azman.
Bagaimanapun usaha tersebut
menemui kegagalan. Selepas meneruskan operasi itu, Zakaria dan kumpulannya
kembali ke kem di bandar Sibu.
Di situ perbincangan terus
dilakukan mengenai strategi memburu Chan Chor dan selang beberapa hari Zakaria
bersama empat komando terus diterbangkan ke Sungai Bening, Indonesia.
Dari Sungai Bening mereka ke
Sambas. Dari Sambas mereka menuju ke Singkawang dengan menaiki bas.
Ketika dalam bas, mereka
menyedari pergerakan mereka telah diekori.
Sebaik turun dari bas di pekan
Singkawang, mereka telah disapa oleh orang yang mengekori itu yang sebenarnya
merupakan ejen perisik rahsia Indonesia.
Sebaik di sapa, ejen yang
menemani kumpulan Zakaria menjawab dengan tepat. Zakaria dan kawan-kawannya
selamat.
Sekiranya jawapan yang
sebenarnya merupakan kod rahsia tidak sama, bahaya menanti mereka.
Di pekan itu, mereka mendapat
maklumat mengesahkan komunis yang menembak Sarjan Azman merupakan konco-konco
Chan Chor.
Dan melalui seorang pemberi
maklumat mereka mendapat tahu kedudukan Chan Chor.
Maklumat tersebut terus
disalurkan kepada markas yang kemudiannya menghantar kepada Ketua Platun Tige,
Rejimen Askar Melayu Diraja, Kapten Hamid yang berada berhampiran dengan
kawasan yang dimaksudkan oleh pemberi maklumat.
Pertempuran berlaku dan
kumpulan Chan Chor tewas.
Menurut Zakaria, meskipun tidak
diketahui sama ada pertempuran tersebut telah mengorbankan Chan Chor atau pun
tidak, namun beliau tetap puas hati kerana berjaya mendapatkan maklumat
sehingga kumpulan tersebut berjaya ditumpaskan.
Zakaria yang telah menamatkan
perkhidmatan dengan ATM 15 tahun lalu kini menghabiskan masa dengan keluarga
dan cucu.
``Namun satu perkara yang saya
tidak dapat tinggal adalah payung terjun. Gian,'' katanya yang akan terus
melakukan penerjunan selagi mempunyai kudrat untuk melakukannya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_03.htm#ixzz4cWFEarp0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan