Sabtu, 25 Mac 2017

Pak Mat Joe - 17 jam berdiri atas jerangkap samar



ARKIB : 23/11/2002
Oleh Daliza Ariffin
PAK Mat Joe pernah ditembak oleh tentera Jepun semasa menjadi pelakon tambahan dalam filem Sarjan Hasan arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Beliau tidak kisah apabila diarahkan supaya tergolek dan tergedik-gedik di dalam hutan apabila `tembakan' itu menembusi dadanya.

Tetapi berdiri di atas jerangkap samar selama 17 jam semasa operasi mengepung pengganas komunis di hutan Baling, Kedah pada 1969, bukan lagi satu lakonan.

Sebarang pergerakan, walaupun sedikit boleh menyebabkan tubuh badannya berkecai dan nyawanya melayang.

Namun, di saat-saat genting itu, Pak Mat Joe masih mampu bergurau dan menunjuk-nunjuk penumbuk kepada dua orang rakannya, Din dan Mat yang meminta untuk memelihara anak bongsu dan anak sulungnya.

Dua rakannya itu berbuat demikian kerana `meramalkan' beliau akan terkorban apabila jerangkap samar itu meletup jika dia bergerak.

Tetapi kuasa Tuhan tiada siapa yang tahu. Berpantang maut sebelum ajal. Pak Mat Joe terselamat kerana jerangkap samar itu dapat dimatikan oleh anggota pemusnah walaupun beliau berada di ambang maut hampir sehari suntuk.

Peristiwa antara hidup dan mati itu tidak pernah melunturkan semangat Pak Mat Joe atau nama sebenarnya Ahmad Mohd Alim untuk terus berkhidmat dalam bidang ketenteraan.

Beliau yang merupakan bekas Sarjan Mejar Rejimen (SMR) menceritakan, ketika nyawa berada di hujung tanduk itu, beliau tidak langsung berasa takut, marah atau tertekan malah ia menguatkan semangatnya untuk memburu pengganas yang bermaharajalela di kawasan tersebut.

Pak Mat Joe, 69, yang berasal dari keluarga pesawah di Yan, Kedah sebelum ini merintis hidup sebagai penjual laksa berdekatan Pekan Rabu, Alor Star dan berkhidmat selama lima tahun dalam pasukan tentera British di Singapura.

Lima tahun berkhidmat dalam tentera British di Singapura antara 1950 hingga 1955 menjadikan beliau berpengalaman, dedikasi dan bercita-cita tinggi untuk menjawat jawatan tinggi dalam kerjaya yang diceburinya itu.

Pak Mat Joe bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai SMR Tentera Darat yang pertama di negara ini pada tahun 1982.

Jawatan tunggal itu diwujudkan julung-julung kali oleh Kementerian Pertahanan.

Katanya, pengiktirafan itu telah membuktikan kata-kata nekadnya, ``I want to be a good soldier in this world'' kepada seorang pegawai pemerintah tentera British yang sebelum ini melengah-lengahkan permohonannya untuk terus berkhidmat dalam pasukan Royal Airforce Regiment Singapore pada tahun 1955.

``Saya hairan mengapa permohonan untuk menyambung perkhidmatan dalam pasukan itu dilengah-lengahkan sedangkan saya fasih bertutur berbahasa Inggeris dan memiliki pelbagai sijil kursus seperti membaiki senjata yang menjadikan saya antara rekrut terbaik dalam pasukan itu,'' ujarnya.

Kecewa dengan sikap pegawai itu, Pak Mat Joe terus pulang ke kampungnya dengan berbekalkan belanja hanya 55 sen.

Ketika di kampung, beliau bekerja sebagai buruh selama setahun dan mencuba nasib menghadiri temuduga di Pulau Pinang untuk berkhidmat sebagai anggota tentera dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 1957.

Pengalamannya sebagai tentera British itu telah melayakkannya menyertai pasukan itu dan memulakan latihan di Pusat Latihan Rekrut, Port Dickson selama enam bulan.

``Dalam tempoh itu, saya mendapat anugerah rekrut terbaik dan bertuah kerana dipilih berlakon dalam filem Sarjan Hasan bersama Allahyarham P. Ramlee.

``Saya memegang watak askar yang berada di atas pokok dan ditembak oleh tentera Jepun, walaupun watak itu pendek tetapi ia cukup memberi makna kepada saya yang dapat berlakon di bawah arahan seniman agung itu.

``Dalam masa yang sama, saya juga pernah berlakon dalam filem Leftenan Adnan dengan memegang watak sebagai tok mudin,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bahagia, Jitra, baru-baru ini.

Pak Mat Joe yang mengamalkan cara hidup sihat sepanjang perkhidmatannya tidak pernah mengambil cuti sakit, tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa meninggalkan isteri kesayangan yang sempat bersama hanya semalam kerana diarahkan berkhidmat di Congo selama setahun.

``Hanya surat yang menjadi ikatan kasih sayang kami dan sebagai isteri yang setia beliau tidak pernah menunjukkan rasa kesal dan kami juga tidak pernah bertengkar kerana kerjaya yang memaksa saya kerap meninggalkannya,'' katanya.

Beliau bersyukur dengan usaha gigihnya itu kerana daripada seorang prebet terus dinaikkan pangkat dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi hinggalah dilantik sebagai SMR.

``Untuk menjadi seorang anggota tentera yang baik, mereka perlulah faham dan tahu akan tugas dan tanggungjawab masing-masing,'' katanya.

Pak Mat Joe kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Keselamatan dan Kebersihan, Kompleks Kedah Halal Food Hub di Paya Pahlawan, Jitra Kedah.

Dalam masa yang sama, beliau yang memiliki tiga orang anak dan 15 orang cucu itu turut menawarkan perkhidmatan mandi wap di kediamannya yang kini cukup terkenal di kawasan utara.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_03.htm#ixzz4cP8hMCo7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan