ARKIB : 31/08/2002
MUKADIMAH
Teks perutusan Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-45.
Tahun ini negara kita genap 45
tahun merdeka. Sekali lagi kita menyambutnya dengan penuh meriah dalam suasana
yang aman damai. Pelbagai acara sambutan diadakan untuk merai dan memeriahkan
Hari Kemerdekaan di seluruh negara. Bagi kebanyakan daripada kita hari
kemerdekaan ialah hari bercuti dan berehat daripada kerja, sama seperti hari
cuti lain.
Kenapakah kita menyambut Hari
Kemerdekaan? Sebabnya ialah makna kemerdekaan sudah semakin kurang difahami dan
dihargai oleh ramai daripada kita. Ramai daripada kita dilahir di zaman selepas
merdeka dan kita tidak berpengalaman hidup dijajah dan dihina. Jika tidak ada
satu usaha untuk memperingati kita, kita akan lupa terus akan sejarah terhina
kita dan kita tidak lagi akan berusaha mempertahankan kemerdekaan negara kita.
Hari ini sudah ada antara
generasi yang tidak pernah merasai tekanan penjajah yang mudah terhasut dengan
pemikiran bekas penjajah yang ternampak begitu menarik, begitu logik dan begitu
berperikemanusiaan. Lalu mereka bukan sahaja tidak menghargai kebebasan negara
tetapi sanggup bersubahat dengan bekas penjajah untuk menjajah semula negara
sendiri.
Hari ini bekas penjajah bercakap
berkenaan dengan kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, kebebasan tindakan
perusahaan oleh pekerja, pemerintahan mengikut undang-undang, demokrasi,
kebebasan kehakiman dan bermacam lagi. Semasa mereka menjajah kita dahulu
mereka tidak pernah bercakap berkenaan semua ini. Sebabnya ialah mereka tidak
pernah memberi kebebasan kepada bangsa yang dijajah oleh mereka dan mereka mencabul
hak asasi bangsa-bangsa ini. Sekarang setelah kita merdeka mereka menghasut
supaya melalui aneka jenis kebebasan keadaan negara kita menjadi tidak stabil,
tidak maju dan mudah untuk mereka jajah semula.
Demikian sementara mereka
melaungkan demokrasi, mereka tidak segan-segan menolak demokrasi antarabangsa.
Dalam hubungan antarabangsa mereka utamakan kekuatan. Might is right, kekuatan
menghalalkan segala-galanya. Tetapi lebih daripada itu, mereka sekarang
sebenarnya sudah kembali kepada tabiat lama mereka untuk menjajah. Hanya yang
berbeza ialah cara yang digunakan. Tidak lagi gunboat yang dihantar tetapi
penyangak mata wang, agensi antarabangsa yang dikuasai oleh mereka, sekatan
ekonomi dan sekarang ini globalisasi yang diperalatkan untuk menawan semula
negara-negara yang baru sahaja merdeka.
Dahulu mereka dakwa penjajahan
oleh mereka adalah beban yang perlu mereka pikul, sebagai White Man's Burden,
Beban Orang Kulit Putih. Mereka cuba menjadikan penjajahan sebagai suatu
tanggungjawab yang mulia. Sekarang mereka mendakwa kebebasan keluar masuk modal
adalah untuk menolong negara yang miskin. Bahawa mereka akan dapat keuntungan
besar dalam proses ini, tidak disebut oleh mereka. Sekali lagi mereka cuba
gambarkan penjajahan cara baru mereka sebagai satu beban yang terpaksa mereka
pikul untuk menolong negara-negara yang miskin.
Pada tahun 1997 kita diberi
contoh yang jelas tentang apa ianya globalisasi, akan betapa mudahnya kuasa
kita dalam negara kita boleh dilucutkan dan mereka secara langsung dan tidak langsung
memperoleh kuasa ini seperti dahulu semasa kita dijajah.
Hanya dengan menjual Ringgit
kita, nilai Ringgit dapat dikurangkan dan kita menjadi miskin. Apabila kita
miskin tanpa segan silu mereka menawar pinjaman dengan syarat kita serah urusan
ekonomi kita kepada mereka.
Mereka hendak supaya pasaran
menentukan semua urusan ekonomi kita, pasaran yang dikuasai oleh mereka, oleh
bank-bank mereka yang disokong oleh agensi antarabangsa seperti IMF (Dana
Kewangan Antarabangsa) dan Bank Dunia yang dikuasai sepenuhnya oleh mereka.
Kononnya pasaran akan mendisiplinkan kerajaan. Kononnya kerajaan kita, kerajaan
yang telah berjaya membangunkan ekonomi negara ini sehingga ia digelar Harimau
Ekonomi, adalah tidak telus, korup, pengamal kronisme dan tidak cekap. Justeru
pasaran akan membetulkan segala amalan yang silap - yang dilakukan oleh
kerajaan dan masyarakat Malaysia. Kononnya dengan cara mereka maka kegawatan
dapat ditamatkan dan Malaysia kembali sihat dan maju.
Ada juga antara kita yang gemar
untuk meletak negara ini di bawah pemerintahan asing melalui pengamalan segala
nasihat dan dasar dari IMF dan Bank Dunia. Perbelanjaan kerajaan dikurangkan,
faedah pinjaman dinaikkan dan perlindungan kepada syarikat-syarikat tempatan
terutama bumiputera hendak dihentikan. Dan buat beberapa bulan dasar ala IMF
tanpa pinjaman dari IMF telah diamalkan sehingga semakin rosaklah ekonomi
negara dan semakin meningkatlah kegawatan.
Dalam keadaan cemas dan terdesak
ini kita hampir tunduk kepada IMF dan Bank Dunia. Tetapi melihat akan keadaan
negara-negara yang telah meminjam dari IMF dan menyerah kuasa ekonomi kepada
agensi antarabangsa ini, melihat keadaan mereka bukan sahaja tidak pulih tetapi
mereka menjadi lebih miskin, mengalami huru-hara politik dan kejatuhan
kerajaan, bahkan rusuhan, pembunuhan dan aneka jenis jenayah, kita menolak
tawaran pinjaman IMF sebagai cara memulih semula ekonomi kita. Sebaliknya kita
cipta cara kita sendiri bagi memulihkan ekonomi dan kewangan kita. Maka
ramailah mereka yang mengecam kita, dan meramalkan kita akan hancur dan akan
merangkak dan melutut kepada IMF untuk dipulih oleh mereka.
Sekarang hampir empat tahun telah
berlalu. Ekonomi kita bukan sahaja tidak hancur tetapi telah pulih dengan lebih
baik daripada negara-negara yang menerima formula dan pinjaman IMF. Oleh kerana
ini kita terus bebas bersuara, kita bebas berpendirian sendiri, kita berkecuali
dan dapat menangkis tekanan ke atas negara kita. Kemerdekaan kita adalah
kemerdekaan yang sebenar, bukan kemerdekaan setengah masak yang mana dasar
negara ditentukan oleh orang asing.
Rakyat bebas menentukan
kepimpinan negara ini dan bukan kuasa luar yang menentunya. Huru-hara yang cuba
dicetuskan dengan tujuan melemahkan kerajaan pilihan rakyat, menjatuhkannya dan
menggantikannya dengan kerajaan yang lemah kepimpinan yang akan tunduk kepada
kuasa-kuasa asing tidak dapat dijayakan. Rakyat kembali kepada budaya yang
menolak cara-cara tidak demokratik untuk merebut kuasa.
Pengalaman kita pada tahun 1997
dan 1998 dan seterusnya membuat kita amat berhati-hati apabila globalisasi
dipromosikan oleh kuasa-kuasa asing. Bukanlah kita menolak globalisasi secara
total. Kita akui pasaran terbuka dan penyertaan orang asing dalam ekonomi
negara kita telah menyumbang kepada pembangunan pesat negara ini. Tetapi penyertaan
asing yang kita terima adalah bersyarat. Mereka tidak boleh bermaharajalela di
negara kita. Kepentingan negara, terutama usaha menyeimbangkan kedudukan
kaum-kaum, tidak boleh disentuh oleh mereka. Dengan ini kita mendapat manfaat
dan faedah daripada penyertaan orang asing dalam ekonomi kita tanpa terjejas
kebebasan kita.
Tetapi jika penglibatan mereka
tidak dikawal, akhirnya ekonomi kita akan dikuasai sepenuhnya oleh orang asing.
Setelah menguasai ekonomi dan menjadi kuasa yang menentukan baik buruk ekonomi
negara, maka mereka tetap akan campur tangan dalam urusan pentadbiran kita,
akan menentukan siapa yang memerintah negara kita, akan menentukan segala dasar
dalam dan luar negara kita. Di waktu itu kita sudah tidak merdeka lagi. Di
waktu itu kita sudah dijajah semula.
Apa yang diperkatakan ini bukan
untuk menakutkan rakyat supaya menyokong kerajaan. Apa yang diperkatakan ini
adalah kebenaran. Kuasa-kuasa besar masih berhasrat untuk menakluk dunia. Jika
mereka tidak dapat menaklukinya dengan cara lama, mereka akan cipta cara baru.
Tetapi tujuannya sama; iaitu menjajah negara-negara yang lemah, negara yang
diduduki oleh kaum yang bukan sebangsa dengan mereka, negara yang kaya dengan
sumber alam yang boleh dieksploitasi oleh mereka. Yang jelas ialah kita tidak
selamat semata-mata kerana kita sudah merdeka. Bahaya penjajahan masih
mengancam kita. Jika kita tidak berhati-hati, jika kita tidak menghargai
kemerdekaan kita, jika kita benar diri kita dihasut oleh mereka sehingga
sanggup cuba menjatuhkan pemerintahan negara kita, jangan sesal jika kita
dijajah semula. The price of freedom is eternal vigilance.
Sebab itu setiap tahun kita
rayakan kemerdekaan kita. Kita rayakannya untuk memperingati diri kita akan
betapa bernasib baiknya kita, betapa untungnya kita, kerana kita masih merdeka.
Kita rayakannya untuk
memperbaharui azam kita untuk mempertahankan kebebasan kita, untuk bekerja
keras dan menyumbang kepada keamanan, kemajuan dan ketahanan negara kita.
Banyak sudah negara-negara yang mencapai kemerdekaan bersama kita tetapi sudah
sebenarnya tidak bebas lagi. Segala urusan dan dasar negara-negara ini
ditentukan oleh kuasa-kuasa asing. Pemerintahan menjadi boneka yang bergerak
mengikut rentak penjajah.
Kita berbangga dengan kemerdekaan
bukan kerana ingin bermegah-megah dengannya. Kita ingin kemerdekaan kerana kita
lebih tahu akan masalah negara kita dan kita lebih sensitif dan lebih
bertanggungjawab terhadap penyelesaian masalah kita. Orang asing tidak mungkin
memahami kerumitan masalah negara kita yang berbilang kaum ini. Mereka hanya
akan mengutamakan kepentingan mereka, akan mempermudahkan eksploitasi negara
kita untuk mereka. Kepentingan mereka tetap bertentangan dengan kepentingan
kita. Mustahil mereka akan berusaha bersungguh-sungguh supaya kita untung dan
mereka rugi. Inilah sebabnya yang kita cintai kemerdekaan kita, yang kita
pertahankan kebebasan negara kita. Bukan untuk tepuk dada, tetapi untuk
keselamatan dan kesejahteraan hidup kita sebagai bangsa Malaysia.
Sehingga kini kita telah buktikan
kemampuan kita mentadbir dan membangunkan negara kita. Kita telah berjaya
menyelamat dan memelihara keamanan negara kita, menyelesaikan sendiri
masalah-masalah negara kita. Dunia terpaksa akui bahawa kita telah berjaya
mengatasi segala cabaran yang dihadapi oleh kita tanpa bantuan mereka atau
nasihat mereka. Untuk mengekalkan keadaan ini, pada hari perayaan kemerdekaan
ini marilah kita bertanya kepada diri kita, apakah kita masih menghargai,
mencintai kemerdekaan negara kita sehingga kita sanggup berkorban untuknya.
Yang pertama, apakah kita sanggup
mengorbankan sedikit kepentingan kaum kita supaya kita dapat menjalin hubungan
baik antara kaum yang menjadi asas keselamatan dan keamanan negara, yang
menyumbang kepada kemajuan negara kita. Pengorbanan yang diperlukan daripada
kita sedikit sahaja. Kita tidak akan hilang identiti kaum kita. Kita masih
Cina, Tamil, Melayu, Kadazan, Iban dan sebagainya. Tetapi kita juga menjadi
lebih berbangsa Malaysia, yang membezakan kita daripada bangsa atau kaum negara
asal kita.
Jika hari ini negara kita tidak
dilanda rusuhan kaum seperti di negara-negara berbilang kaum yang lain sebabnya
ialah pengasas negara kita terdiri daripada orang yang dibesarkan dalam
masyarakat berbilang kaum. Mereka dapat hidup, belajar, bekerja dan bermain
dengan rakan-rakan daripada semua kaum. Mereka sedar akan adat resam dan
sensitiviti kaum masing-masing. Dan mereka secara sedar tidak menghina atau
mempermainkan agama, budaya dan bahasa kaum masing-masing.
Sekarang ini kita melihat
pengasingan secara sengaja antara kaum-kaum di Malaysia. Apabila Sekolah
Kebangsaan ditubuh untuk semua kaum, semakin lama semakin kurang penuntut
Sekolah Kebangsaan yang terdiri daripada kaum bukan Melayu. Ini adalah
disebabkan secara sedar atau tidak sedar, Sekolah Kebangsaan dijadikan Sekolah
Melayu, dengan unsur-unsur tertentu. Lagi pun ramai ibu bapa memilih Sekolah
Agama untuk anak mereka.
Dengan itu kaum lain kurang
berminat untuk menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan. Sudah tentu tidak
ke Sekolah Agama. Maka Sekolah Jenis Kebangsaan pun membesar dan bertambah. Dan
Sekolah Jenis Kebangsaan ini lebih merupakan Sekolah Cina atau Tamil.
Perkembangan ini menyebabkan penuntut daripada kaum-kaum di Malaysia terpisah
antara satu sama lain. Mereka tidak terdedah kepada adat resam, pantang larang
kaum-kaum lain. Mereka tidak sensitif dan tidak dapat memahami cara-cara
bergaul sesama mereka.
Di universiti kerajaan pula
penuntut mengasingkan diri mengikut kaum. Persatuan-persatuan mereka terhad
kepada kaum masing-masing. Di padang permainan, dalam kuliah, dalam kegiatan
sosial, tidak ada acara yang melibatkan semua kaum. Di institusi pengajian
tinggi swasta hampir semua penuntut terdiri daripada bukan Melayu. Yuran yang
tinggi di institusi swasta menghalang kemasukan penuntut Melayu. Dengan ini
universiti kerajaan di dominasi oleh bumiputera, dan universiti swasta oleh
bukan bumiputera.
Percubaan untuk merapatkan murid
sekolah rendah dengan meletak sekolah-sekolah Kebangsaan, Cina dan Tamil dalam
satu kampus di tentang oleh puak ekstremis seolah-olah mereka tidak suka anak
mereka berdekatan anak kaum lain.
Kita telah hapuskan Sekolah
Inggeris kerana kita percaya Sekolah Kebangsaan akan menggantikan Sekolah
Inggeris bagi semua kaum. Sementara tujuan menjadikan Sekolah Kebangsaan
sebagai sekolah pilihan semua kaum tidak tercapai, penguasaan ilmu terjejas
kerana kebanyakan ilmu moden terutamanya terdapat dalam bahasa Inggeris.
Cadangan untuk menggunakan bahasa Inggeris hanya untuk menguasai ilmu sains dan
hisab (matematik) yang begitu penting dikecam kerana kononnya hendak
membelakangkan bahasa-bahasa Melayu, Cina dan Tamil.
Kerajaan ini tidak berniat untuk
membelakangkan mana-mana bahasa rakyat Malaysia. Hasrat kerajaan hanyalah untuk
melengkapkan rakyat berbilang kaum Malaysia dengan ilmu sains dan hisab supaya
mereka boleh menjayakan diri mereka sendiri, boleh bersaing dengan
bangsa-bangsa lain dalam dunia yang kian mencabar. Apabila rakyat Malaysia
berjaya, negara Malaysia juga akan turut berjaya. Kita tentu tahu bahawa kita
semua akan dapat manfaat dari Malaysia yang maju dan pesat membangun, Malaysia
yang berjaya.
Ini sahajalah niat dan hasrat
kerajaan. Tidak ada niat lain. Tidak ada niat politik. Tidak ada niat untuk
membelakangkan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu, bahasa Cina atau bahasa Tamil.
Oleh itu hentikanlah usaha mempolitikkan isu penggunaan bahasa Inggeris untuk
mengajar sains dan hisab. Janganlah gadai masa depan anak kita kerana
kepentingan sempit perkauman.
Janganlah jadikan tiap usaha yang
baik kerajaan sebagai isu perkauman. Lihatlah rekod kerajaan Malaysia sejak
kita merdeka. Kita bangunkan negara ini sehingga ia diiktiraf sebagai
satu-satunya negara membangun yang berjaya walaupun kita terpaksa layan tuntutan
oleh berbagai-bagai kaum yang mengamal agama, budaya dan bahasa yang berbeza.
Kerajaan ini tidak pernah menganiayakan atau menindas mana-mana kaum. Semua
kaum diberi perhatian yang sewajarnya.
Oleh sebab itu pada hari perayaan
kemerdekaan yang ke-45 ini renungilah tentang betapa bernasib baiknya kita.
Nasib baik kita ini bukan sesuatu yang datang bergolek atau melayang. Nasib
baik kita ini diusahakan oleh pengasas negara kita dan kepimpinan negara sejak
kita merdeka. Jika kita bertanggungjawab maka hendaklah kita hargai usaha yang
diterokai oleh pengasas negara kita. Hendaklah kita sanggup berkorban sedikit
kepentingan kaum kita dan utamakan kepentingan negara kita, kepentingan
perpaduan warga berbilang kaum yang menjadi bangsa Malaysia.
Jika kita ingin melihat keamanan
dan keharmonian kaum-kaum, jika kita ingin pembangunan dan pertumbuhan negara
kita ini diteruskan, kita mesti berusaha ke arah matlamat ini. Jika kita
besarkan isu-isu yang kecil, jika kita sengaja salah tafsir dasar dan usaha
kerajaan, jika kita politikkan segala-galanya untuk keuntungan yang kecil,
janganlah kita harap keamanan dan kemakmuran yang telah kita nikmati sehingga
kini akan berterusan. Ingatlah apabila keamanan sudah tidak ada, apabila
ekonomi sudah hancur, pemulihannya mungkin tidak dapat dijayakan lagi.
Rakyat Malaysia bertuah. Saya
percaya kita sekarang berada di ambang kejayaan yang lebih besar. Segala dasar
dan langkah ke arah ini sudah diadakan. Lihatlah di sekeliling kita.
Bandar-bandar sedang tumbuh dengan pesat, lengkap dengan aneka jenis kemudahan.
Kuala Lumpur, ibu kota dipenuhi dengan bangunan pencakar langit, jalan
bertingkat, kereta api ringan, taman-taman dan bunga-bungaan di sepanjang
jalan, lampu-lampu yang terang-benderang. Bandar-bandar lain tidak banyak kurang
dari Kuala Lumpur.
Di luar bandar jalan-jalan
bertar, kampung di bekal lampu elektrik dan air paip, sekolah rendah dan
menengah, klinik bidan dan pusat perubatan kecil. Rumah-rumah semakin kemas dan
selesa. Yang miskin pun mendapat rumah. Lebuh raya moden menghubungi semua
bandar. Tidak lama lagi kereta api landasan berkembar elektrik akan memudahkan
lagi perjalanan dari utara ke selatan, dan mungkin juga dari barat ke timur.
Semua ini adalah hasil usaha dan
kerjasama antara kita sesama kita daripada berbagai-bagai kaum, antara kerajaan
dengan rakyat. Semua ini adalah hasil daripada keamanan dan keselamatan negara
kita yang sama-sama kita peliharakan. Semua ini, dan segala-gala nikmat dan
kebahagiaan yang kita kecapi adalah hasil kebebasan dan kemerdekaan negara kita
selama hanya 45 tahun.
Oleh itu sayangilah dan hargailah
kemerdekaan kita; lindungi dan peliharalah kemerdekaan kita. Janganlah kita
cipta masalah dan isu yang boleh meruntuhkan segala-gala yang telah kita
bangunkan. Janganlah kita gadai masa depan kita dan generasi yang akan datang
kerana taksub, fanatik dengan perkara yang sebenarnya remeh berbanding dengan
segala-gala yang kita dapati, yang kita nikmati di negara tercinta ini.
Pada hari yang mulia ini, pada
hari kita merayakan ulang tahun kemerdekaan negara kita bersama, insaflah dan
ingatlah akan nasib baik kita yang merdeka ini dan tingkatkanlah azam kita
untuk mempertahan kedaulatan, kebebasan, kemerdekaan negara tercinta ini supaya
nikmat dan kebahagiaan yang kita kecapi akan bertambah lagi.
Bagi pihak saya sebagai Perdana
Menteri, sebagai seorang rakyat dan warganegara, sebagai seorang bapa bersama
isteri, anak dan cucu, saya ucapkan selamat merayakan ulang tahun kemerdekaan
yang ke-45 negara tercinta ini dan saya berdoa mudah-mudahan akan selamat dan
majulah kita semua rakyat Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4cGO9AjEI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan