ARKIB : 24/04/2003
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
``Saya tidak pernah mengimpikan
untuk menerbangkan sebuah helikopter tempur yang canggih di dunia oleh kerana
lesen penerbangan yang saya ada sekarang ini tidak melayakkan diri untuk
membawanya.
``Tetapi apa yang tidak diimpikan
itulah menjadi kenyataan apabila saya ditawarkan untuk membawa helikopter
Rooivalk walaupun hanya memegang lesen penerbangan kelas komersial,''kata
Asisten Supritendan (ASP) Badrul Hisham Baharshah, 37, seorang jurulatih dan
pemeriksa juruterbang di Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai
Besi.
Badrul berkata, sepanjang tempoh
menyertai unit udara PDRM, peluang menerbangkan helikopter tempur, Rooivalk
seberat 8 tan dalam siri rancangan `Benson & Hedges Golden Dream' merupakan
satu kenangan yang pasti tidak dapat dilupakan.
Pada April 1996, beliau telah
diterbangkan ke Afrika Selatan oleh krew rancangan berkenaan ke sebuah kilang
membuat helikopter tempur canggih itu di Denel, Atlas Aviation, Johannesburg,
Afrika Selatan.
Rooivalk atau lebih dikenali
sebagai `Red Kestrel' merupakan helikopter yang menepati keperluan industri
pertahanan udara masa kini yang mengutarakan teknologi mutakhir merangkumi
digital databus MIL-STD 1553B termasuk paparan pelbagai fungsi dan antara muka
mesin.
Rooivalk dicipta menggunakan
teknologi terbaru penerbangan dan dilengkapi senjata yang telah diuji
keberkesanannya.
Ia turut dilengkapi pelbagai
ciri-ciri tambahan bagi membolehkan ia mengelak diri daripada dikesan musuh dan
seterusnya bertindak pantas mematahkan serangan musuh.
Ia juga dilengkapi sistem peluru
berpandu anti kereta kebal dengan pacuan laser, roket 68 milimeter, meriam
hidraulik 20 atau 30 milimeter serta keupayaan terbang jarak jauh.
Rooivalk dicipta selaras dengan
falsafah tersendiri iaitu `Jika dikesan elakkan daripada ditembak, jika
ditembak, elakkan daripada terhempas dan jika terhempas, pastikan krewnya
selamat'.
``Saya pernah dikatakan gila oleh
penerbit serta krew rancangan itu kerana memilih untuk memandu pesawat
(Rooivalk) yang pada ketika itu ia masih dalam tempoh percubaan dan belum
diberi jaminan keselamatan.
``Namun saya tetap menyatakan
rasa yakin terhadap diri sendiri dan seandainya saya terpengaruh dengan
kata-kata mereka yang seakan tidak mempercayai kesungguhan saya, ia akan
menjadi satu kerugian besar,'' jelasnya.
Badrul menambah, impian membawa
Rooivalk tidak menyamai impian sesetengah peserta lain dan oleh sebab itulah
beliau membuktikan juruterbang dari PDRM mampu menyahut apa jua cabaran.
Beliau diberi peluang untuk
membawa Rooivalk di sekitar Afrika Selatan dan diberi kepercayaan melakukan
pelbagai aksi-aksi penerbangan secara aerobatik.
Katanya, menurut syarikat
pengeluar helikopter tersebut, beliau adalah anak Malaysia pertama melakukan
aksi berkenaan menggunakan Rooivalk.
Menurut Badrul, permulaan membawa
helikopter itu, perasaan takut menghantui pemikirannya dan melakukan aksi
aerobatik selalunya dilakukan menggunakan jet-jet pejuang.
``Saya rasa sungguh bertuah
kerana pada masa itu helikopter berkenaan masih dalam tempoh percubaan dan
diberi kepercayaan pula melakukan aksi-aksi menarik.
``Oleh sebab itulah mereka kata
saya gila tapi apa yang penting saya telah membuktikan segala-galanya,''
katanya yang sukar melupakan kenangan tersebut.
Jelasnya lagi, beliau bukan
sahaja berpeluang untuk membawa Rooivalk tetapi diberi peluang untuk melawat
kilang pengeluaran helikopter tersebut yang dilengkapi dengan sistem sekuriti
paling ketat.
Lahir pada 7 April 1966 di
Semenyih, Selangor, Badrul mengimpikan untuk menjadi seorang Juruterbang
Penguji yang mana ia merupakan satu tahap tertinggi di dalam unit udara.
Semasa zaman kanak-kanak,
cita-cita menjadi seorang anggota polis bukan menjadi pilihannya tetapi atas
semangat dan kata-kata rangsang yang diberikan oleh neneknya, beliau mengotakan
kata-kata itu.
``Memang sejak kecil saya tidak
bercita-cita untuk menjadi polis dan saya tidak ada model untuk dijadikan
sebagai contoh tetapi nenek saya selalu berkata apabila besar nanti mesti jadi
inspektor polis.
``Bapa saya, Baharshah Abdullah
meninggal awal dan oleh kerana tiada kemampuan, saya bekerja sambil belajar dan
apabila PDRM memberi peluang saya untuk belajar, saya merebut peluang itu,''
katanya.
Karier hidupnya sebagai anggota
polis bermula pada 5 April 1987 ketika berumur 21 tahun setelah beberapa kali
berhenti kerja sebagai buruh kasar, kerani bank dan guru sementara.
Selepas tamat latihan asas di
Pusat Latihan Polis (Pulapol) selama setahun, beliau ditugaskan di Batalion 11,
Pasukan Gerak Am (PGA) di Kuching.
Menurut Badrul, ketika bertugas
di Kuching, ramai antara rakannya mencuba nasib untuk berkecimpung di dalam
unit udara, tetapi beliau tidak berminat.
Katanya, setelah berfikir
panjang, akhirnya pada tahun 1991, beliau membuat permohonan untuk memasuki ke
unit udara.
``Sampai bila saya hendak duduk
di dalam PGA dan mengapa tidak saya mencuba sesuatu yang baru dalam hidup
saya,'' soalnya yang ketika itu mendapat suntikan baru untuk menyertai unit
udara PDRM.
Pada 15 Mei 1991, beliau diterima
untuk menjalani latihan asas penerbangan di Pangkalan Latihan Unit Udara di
Ipoh bagi mendapatkan Lesen Juruterbang Persendirian (PPL).
``Saya diterima untuk menjalani
ujian teknikal serta kesihatan dan saya lalui kursus asas penerbangan dengan
jayanya sehingga mendapat hadiah pelatih juruterbang terbaik bahagian
penerbangan,'' jelasnya yang bangga dengan kejayaannya menjadi anak Melayu
pertama menerbangkan pesawat Cessna U206G secara solo pada tahun 1993.
Atas kejayaan dan semangat yang
ditonjolkan itu, beliau diberi peluang untuk menjalani latihan asas helikopter
bagi mendapatkan Lesen Juruterbang Komersial (CPL) di Chopperline Flight
Training di Brisbane, Australia pada tahun 1993.
Selesai menjalani latihan dan
mendapat CPL, beliau ditukarkan ke Seksyen Helikopter Unit Udara PDRM sebagai
pembantu juruterbang sehinggalah dinaikkan pangkat sebagai Kapten Pesawat pada
tahun 1996.
Pada tahun 2000, beliau sekali
lagi terpilih untuk menjalani kursus jurulatih penerbangan di Australia selama
tiga bulan dan selepas itu dilantik menjadi Jurulatih Penerbangan seterusnya
menjadi Pemeriksa Juruterbang Helikopter.
Suami kepada Jamayah Bujang, 37
dan bapa kepada empat orang anak ini sudah berkhidmat di unit udara selama 12
tahun dengan jumlah penerbangan sebanyak 2100 jam dan sudah menguji lebih 11
pelatih penerbangan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_02.htm#ixzz4ctwUGNGy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan