Isnin, 27 Mac 2017

Abdul Manan - Tidak akan pulang tanpa bawa musuh hidup atau mati



ARKIB : 18/01/2003
Oleh AKMAR HISHAM MOKHLES
Veteran tentera ini pernah dituduh pengecut oleh pegawai atasannya gara-gara pasukan yang dipimpinnya gagal bertindak dengan baik ketika diserang hendap pengganas komunis dalam satu operasi di hutan Raub Pahang 50 tahun lalu.

Ekoran itu juga anak kelahiran Assam Jawa, Kuala Selangor ini nyaris dihadapkan ke Mahkamah Tentera selepas Pegawai Memerintah Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu ketika itu, Leftenan Kolonel Laugher tidak berpuashati dengan kegagalan pasukannya menumpaskan musuh.

Baginya tuduhan itu benar-benar mencabar maruahnya sedangkan ketika diserang hendap berhampiran kem komunis dirinya telah bertindak melepaskan tembakan balas dan bom tangan terhadap musuh.

Cuma tujuh lagi anak buahnya tidak dapat berbuat apa-apa masa itu kerana tembakan musuh datang dari pelbagai arah sehingga menyukar mereka bertindak balas.

Kerana tembakan Brain Gun oleh Leftenan Muda Abdul Manan Abas jugalah, akhirnya telah menyebabkan kira-kira 40 orang musuh yang berada di situ melarikan diri.

``Kebetulan masa itu ada sebuah kapal terbang sedang lalu di atas kawasan kami di serang dan bom tangan yang saya lemparkan meletup pada masa tersebut.

``Kemudian saya memerintahkan kompeni A dan B mara sedangkan kompeni berkenaan tak ada pun di situ.

``Mungkin musuh sangka, di belakang kami ada ramai lagi tentera dan dibantu oleh kapal terbang sehingga mereka terpaksa meninggal kem yang diduduki,'' katanya yang memulakan kerjaya dalam tentera sebagai rekrut pada tahun 1947.

Selepas `dimalukan' dengan tuduhan yang tidak berasas itu, Abdul Manan bertekad untuk tidak pulang ke kem dari mana-mana operasi tanpa membawa musuh sama ada hidup atau mati.

Satu hari pada awal tahun 1954, Abdul Manan dan platunnya menerima arahan untuk menjalankan satu operasi di hutan Sempalit, Raub.

Esoknya, pada pukul 4 pagi mereka keluar dari kawasan kem menuju ke kawasan yang ditetapkan.

Disebabkan tiada sebarang jejak musuh di denai yang dilalui, mereka terus bergerak lebih jauh ke dalam hutan. Kira-kira pukul tiga petang, platun itu berhenti seketika untuk memasak makan tengah hari.

Tetapi tiada sumber air di situ. Sebagai ketua platun, Abdul Manan kemudiannya mengarahkan Koperal Abdul Rahman mencari sumber air.

``Saya lihat dia merungut-rungut apabila diarah berbuat demikian maklumlah dia sedang keletihan.

``Tetapi dia pergi juga bersama dua anggota lain,'' katanya yang ketika itu baru melangsungkan perkahwinan dengan Eileen Mary Manan, seorang gadis Ireland yang ditemui semasa di belajar di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom.

Selepas tiga jam berlalu, bayangan mereka masih juga tidak kelihatan. Abdul Manan mula risau, takut anak buahnya itu sesat atau ditangkap musuh.

Beliau kemudiannya mengatur anggota untuk mencari ketiga-tiga anak buahnya itu di sebuah bukit tidak jauh dari tempat pasukannya berhenti.

Ketika baru memulakan tugas mencari, sayup-sayup kedengaran suara orang memanggil Tuan!!!..Tuan!!!..

Setelah diamati didapati suara itu seperti biasa didengarnya, Tidak lama kemudian Abdul Rahman muncul. Bersama Koperal tersebut terdapat dua lelaki yang sedang diikat.

``Ini pengganas yang berjaya kami tangkap selepas terserempak dengan mereka ketika mencari air. Sebab itu kami lambat tuan,'' jelasnya.

Menurut Abdul Rahman, mereka bertiga telah menyorok sebaik sahaja terdengar bunyi ranting kayu dipijak orang berhampiran jeram yang mereka temui.

Selepas bersembunyi beberapa ketika, dua musuh lalu dan mereka terus menyerbu menyebabkan kedua-duanya tidak sempat melawan.

Mendengar penjelasan Abdul Rahman, Abdul Manan menjadi lega. Malah beliau turut berbangga dengan kejayaan anak-anak buahnya itu.

Turut dirampas dari pengganas lelaki dan wanita itu ialah selaras senapang dan bom tangan. Selepas itu, beliau menghubungi markas untuk memaklumkan kejayaan tersebut.

Sangkanya selepas itu mereka boleh pulang dan membuktikan pada Laugher bahawa anggota platunnya bukanlah pengecut.

Bagaimanapun, selepas laporan dihantar, pegawai Inggeris itu mengarahkan mereka meneruskan operasi manakala musuh yang ditangkap akan dibawa pulang oleh pasukan lain.

Akur dengan arahan tersebut, platun Abdul Manan terus mara ke arah sebuah bukit bersebelahan dengan bukit tempat dua musuh tadi berjaya ditangkap.

Disebabkan hari sudah semakin gelap, beliau membuat keputusan untuk bergerak ke sana awal pagi esok.

Tepat pukul empat pagi, mereka mula bergerak. Keadaan hutan yang tebal melambatkan pergerakan mereka. Apabila fajar menyingsing, pasukan itu masih belum sampai ke kawasan yang disyaki terdapat kem komunis.

Sebaliknya apa yang ditemui ialah `jalan mati' kerana tiada lagi denai yang boleh dilalui.

Melihat keadaan itu, anggota platunnya cuba meninjau-ninjau kawasan berhampiran jika ada sebarang denai yang boleh dilalui.

Tidak lama selepas itu satu denai ditemui. Kemudian Abdul Manan mengarahkan Abdul Rahman menyiasat laluan tersebut sambil beliau mengikutnya dari belakang.

Selepas bergerak agak jauh dan tiada sebarang jejak musuh ditemui, Abdul Manan berpatah balik ke tempat anggota platunnya berkumpul.

Sewaktu baru hendak mendaki bukit tiba-tiba beliau dikejutkan dengan bunyi tiga das tembakan yang tidak diketahui dari arah mana ia dilepaskan.

Tidak lama selepas itu, Abdul Rahman kelihatan berlari ke arahnya sambil memberitahu seorang komunis berjaya ditembak mati tidak jauh dari situ manakala beberapa pengganas yang lain sempat melarikan diri.

``Dari situ barulah saya tahu bahawa Abdul Rahman telah menyelamatkan nyawa saya.

``Jika tidak musuh tersebut tentu akan tembak saya dulu,'' katanya sambil memberitahu pengganas yang ditembak mati itu adalah seorang Ahli Jawatankuasa Daerah, Parti Komunis Malaya.

Dalam pada itu, tembakan tersebut turut mengejutkan Tentera British yang sedang menjalankan operasi tidak jauh dari situ. Begitu juga dengan pihak musuh.

Kebetulan jarak antara tempat musuh dengan pasukan keselamatan tidaklah terlalu jauh. Tidak lama selepas itu berlakulah pertempuran antara kedua-dua belah pihak.

Tembakan dari tentera British dan platun Abdul Manan menyebabkan musuh semakin terkepung. Ramai juga yang ketakutan serta berusaha melarikan diri.

``Apa yang menariknya, musuh yang berjaya melarikan diri iaitu sekitar 10 ke 12 orang itu kemudiannya pergi ke balai polis berhampiran dan menyerah diri.

``Ini diluar jangkaan kami sama sekali. Malah tindakan mereka telah membolehkan kegiatan musuh di Sempalit berjaya dibendung,'' katanya.

Seminggu kemudian, mereka diarah pula melakukan satu operasi khas untuk menangkap hidup-hidup seorang lelaki Cina yang disyaki sebagai ketua komunis di satu kawasan hutan.

Operasi itu dibantu seorang pengganas yang telah menyerah diri. Lelaki berkenaan dikehendaki oleh polis kerana mempunyai banyak maklumat berkenaan kegiatan komunis.

Tiba ditempat yang disyaki, Abdul Manan segera mengarahkan anggotanya mengepung sebuah pondok.

Selepas yakin dengan kepungan yang ada, tepat pukul 12 tengah hari, beliau bersama sarjan platun menghampiri pondok itu perlahan-lahan. Kemudian beliau melaung meminta sesiapa yang berada dalam pondok itu menyerah diri.

Tiba-tiba dua lelaki bergegas terjun dari pondok tersebut dan lari. Melihat itu, Abdul Manan terus mengejar salah seorang lelaki berkenaan. Baginya lelak-lelaki itu tidak harus dibiarkan terlepas.

Sewaktu mengejar lelaki-lelaki itu, Manan dikejutkan dengan bunyi tembakan dari kedudukan anggotanya.

Serentak dengan itu seorang musuh yang lari tersungkur tidak jauh darinya.

``Engkau orang hendak bunuh aku ke,'' jerkah Abdul Manan kepada anggota platunnya sambil terus mengejar seorang lagi musuh yang sedang lari.

Selepas mengejar sejauh kira-kira 70 meter, akhirnya musuh berjaya ditangkap.

Abdul Manan bernasib baik kerana lelaki itu tidak sempat meronta atau melawan. Jika tidak tentu nahas kerana dia memiliki pisau dan bom tangan.

Biarpun begitu, darahnya tetap menyirap kerana yang mati ditembak ialah ketua musuh yang dicari manakala yang ditangkapnya hanyalah anggota bawahan.

Beliau lantas memanggil semua anggotanya dan bertanya siapa yang melepaskan tembakan tetapi tiada siapa yang mahu mengaku.

Tiba di kem, mereka bernasib baik kerana tidak dimarahi Laugher walaupun misi hampir gagal kerana kematian ketua pengganas terbabit.

Laugher sebaliknya memuji pula mereka di atas keberanian serta semangat yang ditunjukkan sehingga berjaya melumpuhkan kegiatan pengganas di Sempalit.

Pegawai Inggeris itu turut mencadangkan agar Abdul Manan dan Abdul Rahman dianugerah pingat keberanian.

Tidak berapa lama kemudian, Ratu England bersetuju untuk menganugerahkan pingat keberanian `Military Cross' (MC) kepadanya pada 17 Mei 1954 dan diwartakan di London pada 26 Oktober tahun yang sama.

Manakala Abdul Rahman dianugerahkan `Military Medal' memandangkan MC dikhususkan untuk pegawai sahaja.

Kedua-dua pingat itu dikatakan setaraf dengan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) yang diperkenalkan oleh kerajaan Persekutuan pada tahun 1960.

Kini Mejar (B) Abdul Manan, 80, merupakan antara dua penerima MC yang masih hidup serta banyak menghabiskan masa dengan berehat selepas bersara dengan jawatan terakhir sebagai Komandan Kem Kementerian Pertahanan (Kementah) pada November 1969.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4cVlgXZfs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan