ARKIB : 04/05/2001
Oleh: AINOL AMRIZ ISMAIL
(WARTAWAN UTUSAN)
PEPATAH `biar mati anak, jangan
mati adat' cukup sinonim dengan budaya masyarakat pengamal adat Perpatih di
Negeri Sembilan. Malah adat yang datang ke negeri ini sejak abad ke-15 dari
Minangkabau secara bergelombang, mula terasa bahang empayarnya selepas abad
ke-17.
Penghijrah Minangkabau yang pada
awalnya memilih untuk menetap di kawasan pedalaman berikutan suasana alam yang
sama di Negeri Sembilan, turut melabuhkan noktah di situ selepas cuba
bersembunyi daripada serangan lanun pantai.
Selepas itu, dengan
termeterainya satu perjanjian bersama atau loghat Negeri Sembilan - pepauh
antara Datuk Perpatih Pinang Nan Sebatang dengan Datuk Ketemenggongan, maka
satu perdamaian tercetus di mana kawasan laut diserahkan kepada Datuk
Ketemenggongan, manakala kawasan darat dipunyai oleh Datuk Perpatih.
Maka sehingga hari ini, suasana
itu terbukti apabila daerah Port Dickson bukan merupakan pengamal adat
Perpatih, sementara daerah seperti Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah dinobat
sebagai antara pengikut kuat kepada adat ini.
Inilah antara keunikan adat
Perpatih yang cuba ditonjolkan pada Pesta Persukuan Adat Perpatih 2001 yang
berlangsung pada 5 hingga 7 Mei ini di Dewan Baru Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Persoalannya, sejauh mana
masyarakat negara ini memahami tentang adat Perpatih?
Adat Perpatih merupakan suatu
peraturan hidup yang sistematik dengan berteraskan keharmonian hidup masyarakat
yang diamalkan oleh orang Negeri Sembilan dan Naning di Melaka.
Sebagai satu cara hidup, adat
Perpatih mempunyai peraturan asas yang tidak boleh diubah langsung.
Perkara asas itu termasuklah
hidup bersuku, mengira keturunan daripada nasab ibu, perwarisan tanah pusaka
dan lain-lain lagi.
Sistem sosial tersebut
mengandungi sistem nilai, sistem kekeluargaan, sistem politik dan sistem hukum
adat yang lengkap.
Oleh yang demikian, sistem adat
Perpatih terdapat sistem perut dan suku. `Perut' adalah unit terkecil di dalam
sistem adat Perpatih dan beberapa `Perut' lain akan membentuk `Suku'. Tiap-tiap
`Perut' akan diikuti seorang `Buapak', sementara setiap `Suku' diketuai oleh
seorang `Lembaga'.
Selain itu dalam sistem politik
adat Perpatih terdapat juga jawatan Undang yang menerajui Luak.
Satu lagi keunikan yang cuba
ditonjolkan pada pesta berkenaan ialah kehebatan sistem harta pusaka di mana
barang peninggalan itu dianggap pusaka seperti rumah, tanah, barang kemas dan
lain-lain yang hanya boleh diwarisi oleh anak perempuan sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Kecil
Seminar, Pameran dan Bahasa Bicara, Ismail Abdul Hadi berkata, sempena pesta
tiga hari itu, satu seminar berkaitan adat Perpatih akan diadakan pada hari ini
(Jumaat), yang mana antara lain membincangkan dengan panjang lebar berhubung
adat Perpatih.
Menurutnya, seminar itu akan
dihadiri kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada Datuk Lembaga, Buapak,
Besar Waris, Ibu Soko, guru dan pelajar.
Dalam pertemuan itu nanti
pembicara, Datuk Penghulu Simulie dari Minangkabau, H. Kamardi Rais cuba
membawa pengamatan terhadap adat perkahwinan melalui adat Perpatih secara
holistik.
Di samping itu juga, seorang
bekas Profesor Madya dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Norhalim Ibrahim
yang banyak mengkaji sejarah adat di Negeri Sembilan akan meleraikan tugasan
dan peranan Buapak, Semenda, Tempat Semenda, Waris Soko dalam masyarakat adat.
Di Negeri Sembilan terdapat 12
suku di mana sembilan datang dari Minangkabau iaitu Paya Kumbuh, Seri Lemak,
Mungkal, Tanah Datar, Batu Belang, Tiga Batu, Tiga Nenek, Seri Melenggeng dan
Batu Hampar, sementara selebihnya satu dari Anak Acheh dan dua lagi dari Anak
Melaka.
Sementara itu, pada seminar dan
Pesta Persukuan Adat Perpatih ini juga, perkisahan sosiobudaya Negeri Sembilan
akan ditonjolkan menerusi masakan, minuman, budaya, tarian dan alatan permainan
tradisional. Antaranya termasuklah masakan lemak cili api, nyanyian lagu Bongai
(bermaksud seorang yang dihormati dan dikasihi) dan tarian lagu Chaklempong
serta Tumbuk Kalang.
Sebuah buku bertajuk Setitis
Tinta Abadi yang bahannya merupakan pengumpulan skrip Pesta Adat Perpatih sejak
dua tahun lalu akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa Abdul
Samad.
Buku berkenaan ditulis oleh
Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Ismail Abdul
Hadi, Setiausaha Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan, Mohammad
Tainu dan Datuk Lembaga Luak Ulu Muar, Datuk Khalid Bonget.
Anak Negeri Sembilan, khususnya
dan pengkaji sejarah adat Perpatih juga akan cuba dibawa ke zaman silam dengan
menyaksikan pameran purba yang memperlihatkan peralatan seperti lokar (almari),
gopong (bekas air), kongkong (dapur), beliung, pelurut (alat melerai mengkuang)
dan sebagainya. Pesta Persukuan Adat Perpatih memberikan keunikan kepada
pengamalnya serta ketakjuban kepada yang melihatnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4baqg5Kf9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan