ARKIB : 02/11/2002
ANUAR Alias (tiga dari kanan)
bersama sebahagian anggota Paskal di Pangkalan TLDM, Lumut.
Oleh AKMAR HISHAM MOKHLES
``Biarpun bertugas tanpa senjata
tetapi entah macam mana saya nekad mencabar kumpulan pemberontak bersenjata
yang mahu membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
``Mungkin naluri kemanusiaan saya
tidak membenarkan saya menyaksikan sahaja kekejaman berlaku di depan mata,''
kata Leftenan Komander Anuar Alias, 40.
Beliau merujuk kepada satu
insiden semasa bertugas selama setahun sebagai Pegawai Pemerhati, Misi
Pemeriksaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Angola (UNIVEM II) pada
tahun 1998.
Sepanjang berada di sana, banyak
pengalaman yang ditimba termasuk terbabit dalam beberapa insiden yang
membahayakan nyawanya.
Satu daripada peristiwa yang
tidak dapat dilupakan Anuar ialah tindakan lima lelaki daripada kumpulan
pemberontak FAA yang menyerang hendap serta merompak sebuah trak yang berada di
depan kenderaannya ketika sedang menyiasat keadaan laluan Huambo-Alto Alma pada
awal bulan November 1998.
Waktu itu, beliau bersama seorang
pemerhati dari Portugal dan diiringi dua tentera pengaman Namibia sedang
meronda jalan berkenaan bagi memastikan ia selamat dilalui oleh orang awam.
Baru 10 kilometer meninggalkan
Huambo, tiba-tiba pasukannya dikejutkan dengan bunyi dua das tembakan. Serentak
dengan itu, beliau melihat trak yang berada 100 meter di depannya mula bergerak
tidak tentu arah dan kemudiannya terbabas di tebing jalan diikuti kemunculan
lima orang lelaki dari celah-celah semak sambil melepaskan tembakan secara
membabi buta.
Tindakan mereka menyebabkan
penumpang trak itu bertempiaran lari ke kawasan belukar manakala beberapa yang
lain bersembunyi di belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Anuar.
Dalam keadaan kelam-kabut itu,
pemberontak berkenaan kemudiannya menaiki belakang trak dan menembak dua orang
wanita yang tidak sempat melarikan diri sambil memukul beberapa orang yang
lain. Mereka juga mengambil beberapa guni sekoi dan gandum.
Melihat keadaan cemas tersebut,
Anuar yang sebelum itu hanya mendiamkan diri selepas dinasihatkan oleh rakannya
mula hilang sabar.
Beliau lantas keluar dari
kenderaan dan menjerit `Hei You!' sekuat hatinya, menyebabkan kelima-lima
lelaki itu terkejut dan melarikan diri tanpa sempat membawa guni makanan yang
dirompak.
``Ketika menyergah kumpulan
pemberontak itu, rasa bimbang tetap ada dalam diri saya kerana mereka
bersenjata dan saya tidak.
``Tetapi tindakan kejam mereka
menyebabkan semangat saya naik secara tiba-tiba sehinggakan saya berani
bertindak,'' katanya yang ketika itu menjadi Timbalan Komander Pasukan di
Bailundo dalam Wilayah Tengah Angola.
Selepas melihat mereka melarikan
diri, Anuar memberanikan diri menuju seorang diri ke arah trak untuk meninjau
keadaan.
Di situ, beliau mendapati pemandu
trak itu telah mati selepas terkena tembakan. Di belakang trak pula, beliau
melihat dua wanita mengerang kesakitan di samping mendengar suara kanak-kanak
yang sedang menangis.
Pada masa yang sama, beliau turut
ternampak kelima-lima pemberontak berkenaan sedang bersembunyi di dalam semak
tidak jauh dari trak sedang memerhatikan tindak-tanduknya.
``Waktu itu saya mengambil sikap
berhati-hati kerana bimbang mereka akan menyerang saya secara tiba-tiba pula.
``Sebagai langkah keselamatan,
saya meminta dua tentera Namibia memberi tembakan perlindungan jika mereka
menyerang saya,'' katanya yang sebelum itu pernah ditugaskan di Somalia pada
tahun 1995.
Tiba di hospital, tanpa diduga
Datuk Bandar Huambo telah sedia menanti. Beliau mengucapkan terima kasih dan
lantas memeluk Anuar walaupun ketika itu bajunya berlumuran darah.
Menurutnya itulah pertama kali
tentera PBB menyelamatkan nyawa orang awam yang selalu menjadi sasaran kumpulan
pemberontak.
Selepas menyerahkan kedua-dua
wanita dan kanak-kanak itu, tiba-tiba Anuar teringat semula suara yang
didengarnya di celah-celah guni semasa insiden serangan tersebut.
Beliau lantas mengajak tiga
anggota pasukannya untuk kembali semula ke trak tersebut mencari kalau-kalau
ada lagi mangsa.
Malangnya, ketiga-tiga mereka
enggan turut serta kerana bimbang diserang hendap oleh pemberontak FAA.
Lantaran itu, Anuar nekad untuk
pergi seorang diri biarpun tanpa senjata. Tiba di sana, Anuar menyelongkar
longgokan guni dan mendapati ada seorang lagi wanita yang cedera ditembak dan
membawanya ke hospital.
``Apa yang saya tahu
keempat-empat mereka akhirnya selamat walaupun ketika dibawa ke hospital
keadaan mereka agak kritikal dan lemah kerana kehilangan banyak darah,'' kata
anak kelahiran Puchong, Selangor ini.
Selain pengalaman tersebut, Anuar
turut menempuh beberapa dugaan lain sepanjang berada di Angola dari 21 Januari
1998 hingga 17 Januari 1999.
Enam bulan sebelum itu, iaitu
pada 30 April 1998, beliau pernah ditugaskan sebagai ketua kumpulan ronda untuk
memeriksa keadaan keselamatan di N'gove.
Memandangkan pekan itu baru
sahaja seminggu diserang oleh pemberontak, pasukannya diiringi dua buah kereta
perisai jenis APC milik tentera Namibia.
Setiba di persimpangan N'gove,
kereta perisai yang berada di belakang telah terlanggar periuk api anti kereta
kebal.
Menyedari kejadian itu, Anuar
mengambil risiko dengan turun dari kenderaan dan memeriksa keadaan sekeliling.
Dalam kejadian tersebut, dua
tentera Namibia turut cedera. Mereka kemudiannya dihantar ke hospital manakala
Anuar dan anggota yang lain meneruskan misi mereka sehingga selesai.
Beberapa hari sebelum beliau
menyelamatkan empat mangsa serangan pemberontak FAA, Anuar turut berkesempatan
menyaksikan sendiri serangan oleh pihak ANP ke atas Kampung Lomue.
Sebagai ketua kumpulan ronda,
beliau telah memberanikan dirinya untuk memerhatikan serangan itu dari jarak
200 meter.
Tindakannya itu, tanpa diduga
telah mematahkan tujuan asal penyerang-penyerang dan sekali gus membolehkan
orang kampung mengambil perlindungan dari kedudukan beliau memerhati sebelum
berundur ke tempat lain.
Pada akhir bulan November pula,
pasukannya pernah terperangkap dalam kejadian tembak-menembak di satu kawasan
serang hendap tentera Unita berhampiran pekan Atlo Hama. Pada masa itu seramai
50 anggota tentera Unita sedang bertempur dengan 17 anggota ANP dan tiga
pemberontak FAA.
``Entah macam mana pemberontak
tersebut kemudiannya lari menuju ke arah konvoi kami dan merayu perlindungan.
``Untuk mengelakkan ada nyawa
terkorban, kami memuatkan kesemua mereka dalam dua buah kereta perisai dan
menurunkan mereka di tempat yang lebih selamat tidak jauh dari situ,'' ujarnya.
Kesemua peristiwa tersebut telah
membuktikan tentang keberanian, dedikasi serta keupayaan Anuar mengawal keadaan
krisis tanpa panik.
Malah bapa kepada enam anak ini
telah berjaya menyempurnakan segala tugasnya biarpun adakalanya dalam situasi
yang amat berbahaya demi keamanan sejagat.
Di atas keberanian luar biasa,
kecekalan serta kebolehannya itu maka Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah telah berkenan menganugerahkan Pingat Panglima Gagah
Berani (PGB) kepada Ketua Skuadron Tempur Pasukan Khas Laut (Paskal) ini pada 2
Jun 2000.
Penganugerahan itu, memberi makna
yang cukup besar kepadanya serta menjadi kebanggaan Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM) sendiri memandangkan Anuar adalah pegawai tentera laut tunggal
yang menerima PGB sehingga kini.
``Walaupun telah menerima PGB,
itu tidak bermakna saya hebat. Saya masih mempunyai banyak kelemahan yang perlu
diperbaiki bagi memastikan saya dapat memberi sumbangan terbaik kepada TLDM dan
negara,'' katanya merendah diri
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4cObzyvH0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan