Khamis, 23 Mac 2017

Khazanah fosil negara



ARKIB : 16/04/2002
Oleh ROSNI HASSAN
(WARTAWAN UTUSAN)
BERATUS-RATUS juta tahun dahulu Langkawi dikatakan terletak di hemisfera selatan dan mengalami iklim sejuk. Ia dibuktikan melalui penemuan beberapa lapisan batu batan mengandungi fosil brakiopod di pulau peranginan itu oleh para penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Seorang ahli paleontologis UKM, Dr. Mohd. Shafeea Leman berkata, fosil brakiopod yang ditemui di kawasan sekitar Kilim-Durian Perangin dan Batu Asah di Langkawi itu menunjukkan ia adalah dari zaman Perm Awal (sekitar 280 juta tahun lalu).

``Lokaliti-lokaliti ini didapati kaya dengan fosil brakiopod yang mempunyai banyak persamaan dengan fauna brakiopod dari kawasan superbenua Gondwanaland. Persamaan itu menunjukkan bahawa kepulauan Langkawi ketika itu beriklim sejuk,'' katanya baru-baru ini.

Fosil brakiopod adalah hidupan laut kuno yang muncul sejak zaman paleozoik (500 juta tahun) dan pupus di akhir zaman perm (245 juta tahun).

Fosil adalah satu unsur penting dalam sejarah perkembangan geologi sesuatu kawasan kerana ia merupakan rekod terbaik dalam menentukan usia dan keadaan persekitaran kuno sesuatu lapisan batuan sedimen ketika dienapkan.

Para penyelidik berkenaan menemui banyak lagi khazanah bumi yang amat berharga hasil penyelidikan yang dijalankan di Pulau Anak Tikus, Pulau Ular dan sekitar kawasan Teluk Datai di pulau peranginan ini.

Selain brakiopod mereka juga menemui batu-batan yang mengandungi fosil haiwan dan tumbuhan zaman purba termasuk siput sekitar 450 juta tahun di beberapa buah pulau.

Malah kajian mereka juga menunjukkan pembentukan gunung Mat Chincang merupakan contoh batu-batan paling tua yang boleh dijumpai di negara ini.

Penemuan berharga itu menunjukkan Langkawi yang mempunyai gugusan 99 buah pulau dengan keluasan sekitar 48 kilometer persegi menyimpan rekod yang lengkap dan berterusan mengenai sejarah awal evolusi bumi sejak 150 juta hingga 450 juta tahun iaitu pada zaman Jura dan Kambria.

Sehubungan itu, Timbalan Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Abdul Samad Hadi berkata, rekod yang ditemui itu menunjukkan Langkawi mempunyai ciri-ciri alam semula jadi dan geologi yang paling sesuai untuk diiktiraf sebagai sebuah geotaman.

Jelasnya, berdasarkan maklumat dan kajian daripada para penyelidik universiti berkenaan didapati pulau legenda itu mempunyai pelbagai khazanah berharga bagi membolehkannya menjadi geotaman pertama di negara ini.

Sejajar dengan itu katanya, usaha bersepadu perlu digerakkan oleh pihak-pihak yang berkaitan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Ini kerana, khazanah semula jadi yang amat berharga itu perlu dilindungi dengan menjadikan Langkawi sebagai sebuah geotaman supaya pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tidak boleh membawa keluar warisan yang bernilai itu untuk dijual.

``Khazanah tersebut mempunyai pasaran di negara asing. Justeru para penyelidik sebelum ini mengambil masa untuk menghebohkan tentang penemuan tersebut kerana bimbang warisan itu akan hilang jika diketahui umum,'' katanya.

Beliau menambah, penemuan hasil penyelidikan sejak beberapa tahun itu perlu dipulihara agar ia tidak diseludup keluar oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab kerana bahan berharga itu mempunyai pasaran di luar negara.

Sementara itu, menurut Pengerusi Kumpulan Warisan Geologi Malaysia, Prof. Dr. Ibrahim Komoo, Langkawi menyimpan rekod sejarah bumi yang berterusan semenjak kajian mengenainya dimulakan pada awal tahun 1970-an lagi.

Setiap tahun katanya, banyak batuan yang mengandungi fosil dijumpai. Dan sepuluh lagi lokaliti baru ditemui di Langkawi baru-baru ini yang mengandungi fosil iaitu unsur penting dalam menentukan sejarah perkembangan geologi serta proses pembentukan bumi.

Beliau menambah, dengan penemuan itu dianggarkan kini sekurang-kurangnya 30 lokaliti fosil telah ditemui di Langkawi.

Rekod sejarah perkembangan bumi itu jelasnya, perlu dipulihara untuk membolehkan penjanaan pengetahuan baru bagi faedah generasi akan datang menikmati warisan ini dan menggunakannya untuk faedah mereka.

Konsep geotaman antara lain mengambil kira kepentingan unsur keseimbangan guna tanah antara tiga aspek asas pembangunan iaitu kawasan pemeliharaan dan pemuliharaan, petempatan infrastruktur dan pelancongan serta rekreasi.

Sehubungan itu, dasar, perancangan dan garis panduan pembangunan perlu digubal berteraskan falsafah untuk memanfaatkan sumber warisan semula jadi secara mapan dengan mengambil kira keperluan asas komuniti tempatan dan keselesaan pelancong.

Konsep geotaman diperkenalkan oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan Saintifik Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai kawasan pemuliharaan yang mengandungi pelbagai sumber geologi yang menarik dan jarang dijumpai serta menyimpan pelbagai rekod sejarah geologi landskap rantauan yang penting. Ia bukan sahaja sesuai untuk kajian saintifik tetapi boleh dimanfaatkan untuk aktiviti geopelancongan.

Selain itu, konsep itu juga diperkenalkan bagi membolehkan orang ramai mendapat faedah dan berpeluang menghayati sumber alam semula jadi yang unik dan istimewa itu.

Justeru Langkawi dianggap bertuah apabila kepulauannya dianugerahkan pelbagai sumber geologi dan landskap yang luar biasa dan boleh menjadi tarikan pelancong.

Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan konsep itu, agensi pengurusan geotaman perlu ditubuhkan. Ia antara lain bertanggungjawab menyediakan pelan pembangunan geotaman, perancangan aktiviti dan infrastruktur, badan koordinasi, pembangunan sumber asli, promosi dan sistem kawasan serta pemuliharaan sumber warisan.

Menurut Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Datuk Zainal Karib Abd. Rahim, pihaknya dan UKM akan mengemukakan permohonan kepada pihak UNESCO untuk mencalonkan Langkawi sebagai geotaman.

Pengiktirafan itu, katanya, akan menaikkan taraf pulau legenda itu sebagai destinasi pelancongan semula jadi yang unggul di rantau Asia selain membolehkan kepentingan pembangunan pelancongan, faedah masyarakat setempat dan pemuliharaan alam sekitar diseimbangkan.

Menurutnya, konsep geotaman diperkenalkan bertujuan mewujudkan taman berteraskan sumber landskap dan geologi dengan menggembleng semua sumber secara bersepadu untuk mengimbangi keperluan sosio ekonomi setempat dan pemuliharaan alam sekitar.

``Hanya 500 tempat yang akan diberikan taraf geotaman ini dan setiap tahun hanya 20 tempat dikenal pasti sebagai kawasan yang akan diberi taraf geotaman ini,'' katanya.

Sehubungan itu, jelasnya, pengiktirafan Langkawi sebagai sebuah geotaman kelak secara tidak langsung akan meningkatkan lagi imej pulau peranginan itu selain memperkenalkan Langkawi di peringkat antarabangsa.

Selain itu, sebagai mendokong usaha memulihara sumber geologi ini, sebuah pusat penyelidikan lengkap mengenai kepelbagaian sumber batu-batan dan fosil akan ditubuhkan di Langkawi bagi menempatkan prasarana penyelidikan mengenai kepelbagaian sumber batu-batan, landskap dan sumber sejarah yang terdapat di sini.

Pusat yang akan diwujudkan oleh UKM dengan kerjasama Lada akan ditempatkan di Teluk Burau dan ia dijangka menjadi sumber rujukan kepada para pengkaji, penyelidik dan pelancong yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai sumber tabii.

Penubuhan pusat itu juga adalah selaras dengan cadangan untuk mencalonkan Langkawi sebagai geotaman pertama di negara ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4c8VKr0mI© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan