Jumaat, 10 Mac 2017

Bagaimana Dato' Onn pertahan hak Melayu

ARKIB : 01/09/2000
Oleh:AINOL AMRIZ ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)
KESEDARAN awal tentang nasib orang Melayu yang menghadapi ancaman kepupusan datangnya atas daya usaha seorang Pegawai Daerah Batu Pahat, Dato' Onn bin Jaafar.

Kesungguhan Dato' Onn menentang Malayan Union membawa kepada penganjuran Kongres 1946 yang menyaksikan penubuhan UMNO. Maka perjuangan Dato' Onn cukup kental ketika itu, sehingga beliau memperoleh sokongan padu daripada keseluruhan orang Melayu termasuk daripada kalangan mereka yang berhaluan kiri iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Usaha Dato' Onn dan UMNO ini mendapat sokongan daripada bekas pegawai Inggeris di London pada bulan April 1946 dan mereka ini termasuklah bekas Penasihat Inggeris di Johor, R.O. Winstedt dan bekas Ketua Residen Negeri Melayu Bersekutu, Frank Swettenham.

Kata mereka Malayan Union ialah satu tindakan yang memusnahkan orang Melayu.

Justeru pegawai rendah di Tanah Melayu, L.D. Gammans yang mengetuai rombongan kerajaan British berhasrat meninjau keadaan politik semasa di Tanah Melayu dan pada masa yang sama gerakan UMNO mempunyai strategi tersendiri untuk mewujudkan tunjuk perasaan secara aman, di setiap lokasi tempat pelawat itu berada.

Antara tempat yang dikunjungi ialah Johor Bahru dan Kajang (28 Mei 1946), Sri Menanti dan Rembau (29 Mei 1946), Alor Setar pada 5 Jun 1946 dan Pulau Pinang pada 7 Jun 1946.

Lantas kesungguhan UMNO dan orang Melayu mengadakan demonstrasi telah mempengaruhi Gammans dan pada bulan Julai 1946, beliau mendesak parlimen Inggeris, House of Commons supaya mengadakan perjanjian baru bagi menggantikan Malaysia Union.

Menurut buku UMNO Johor, Memartabatkan Bangsa Melayu, gamman berkata, 'orang Melayu merasa mereka telah ditipu oleh Inggeris.'

Maka dalam persidangan UMNO pada 27 Mei 1946, Dato' Onn bercadang melantik peguam, R. Braddell (peguam negeri Johor pada tahun 1930-an) untuk mewakili UMNO dalam perundingan kerajaan Inggeris dari tahun 1946 hingga 1948.

Penentangan Malayan Union ini juga turut mendapat sokongan Raja-Raja Melayu apabila mereka turut rasa tertipu dengan perjanjian MacMichael yang ditandatangani sebelum ini.

Wakil UMNO berbincang buat pertama kalinya dengan Gabenor Malayan Union, Sri Edward Gent pada 29 Mei 1946 di Kuala Kangsar, Perak dan diikuti dengan perbincangan Dato' Onn pada 18 Jun 1946.

Kata Dato' Onn, selagi perjanjian MacMichael tidak dihapuskan, orang Melayu tidak akan tunduk dan bertolak ansur. Pada 26 Jun, Dato' Onn dengan lantang menolak kehendak Setiausaha Negeri bagi Tanah Jajahan, Sir George Hall yang mahu mengekalkan kuasa perundangan negeri-negeri Melayu dalam tangan Raja England.

Sikap tidak bertolak ansur Dato' Onn menyebabkan Inggeris cemas terhadap kebangkitan survival orang Melayu dan Dato' Onn menggunakan otak pintarnya memerangkap Inggeris dalam sepucuk surat yang mengesahkan kegiatan pemuda Melayu kini condong ke Indonesia di Batu Pahat, Johor.

Ancaman Dato' Onn ini terasa munasabah kerana Angkatan Pemuda Insaf (API) yang ditubuhkan pada bulan Februari 1946 dibawah pimpinan Ahmad Boestamam sebagai sayap pemuda PKMM, ialah satu contoh gerakan radikal orang Melayu yang mirip kepada Revolusi Indonesia. Keanggotaan PKMM dalam UMNO dari bulan Mac hingga Mei 1946 boleh mempengaruhi UMNO.

Akhirnya Setiausaha Negeri Tanah Jajahan, GH Hall mengutus surat bertarikh 29 Jun 1946 membenarkan Ketua Gabenor Asia Tenggara, Sir Malcolm MacDonald menerima kehendak orang Melayu.

Pada 24 Julai 1946, Dato' Onn sekali lagi membuktikan survival orang Melayu perlu ada dalam menangani kemelut penyatuan negeri-negeri Melayu dalam Persekutuan selepas Raja-Raja Melayu mahu mengetepikan Melaka dan Pulau Pinang.

Keputusan itu dibantah oleh Dato' Onn dan menjelaskan, negeri itu wajar menjadi anggota Persekutuan kerana kedua-duanya adalah negeri Melayu yang awal terpisah kerana penjajahan. Kenyataan itu disokong oleh Edward Gent.

Beberapa perkara lain turut diperjuangkan oleh Dato' Onn termasuklah sumpah taat setia rakyat Persekutuan yang bukan ditujukan kepada Raja England, sebaliknya kepada Raja Melayu.

Begitu juga, soal perundangan di mana undang-undang Tanah Melayu patut diluluskan oleh Majlis Persekutuan Tanah Melayu tanpa campur tangan Parlimen Inggeris.

Dato' Onn menggunakan sikapnya yang tegas untuk mendapatkan kedudukan baik bagi negeri Melayu walaupun beliau hanya seorang Pegawai Daerah.

Tugas Dato' Onn tidak berakhir di situ, sebaliknya sebagai Yang di-Pertua UMNO, beliau telah menganggotai Jawatankuasa Kerja bagi membuat draf perlembagaan baru menggantikan Malayan Union yang bermesyuarat dari 6 Ogos hingga 1 November 1946.

Dato' Onn membantah cadangan Setiausaha Agung Ketua Gabenor Asia Tenggara, Sir Ralph Hones yang mahu kerakyatan Persekutuan berdasarkan 'siapa sahaja yang mengaku taat setia kepada Persekutuan Tanah Melayu sebagai tanah airnya'(jus soli)

Akhirnya, UMNO dan Raja Melayu menerima orang bukan Melayu sebagai rakyat Persekutuan dengan syarat ketat dan Inggeris pula menerima kerakyatan jus soli bagi orang Melayu sahaja. Maka rangka Perjanjian Persekutuan 1948 diterima oleh ketiga-tiga pihak, UMNO, Raja Melayu dan Inggeris.

Bagaimanapun, Dato' Onn tidak pernah menduga menerima tentangan sehinggalah rangka perjanjian itu dibawa ke Mesyuarat Agung UMNO pada 10 Januari 1947 di Alor Setar untuk dibincangkan.

Ahli UMNO diminta menerima cadangan itu dengan ugutan peletakan jawatan Dato' Onn. Beliau membuat ancaman ini apabila menerima tekanan daripada Saberkas (Kedah), Lembaga Kesatuan Melayu Johor (LKJM) dan PKMM sendiri.

Bagaimanapun cadangan UMNO itu kemudiannya dibincangkan oleh Majlis Penasihat Malayan Union (MUAC) _ badan perundangan tertinggi dalam kerajaan Malayan Union.

Justeru Dato' Onn sekali lagi mendesak Inggeris supaya menambah suara orang Melayu kepada 15 agar sama dengan suara Inggeris dan bukan Melayu dalam majlis penasihat itu.

Tuntutan Dato' Onn dipersetujui Inggeris dan draf itu diluluskan sebelum dihantar ke London pada November 1946. Sebulan kemudian, draf ini dibawa balik ke Kuala Lumpur dan satu mesyuarat tiga segi diadakan bagi membincangkan hal itu sekali lagi sebelum dicetak pada 20 Disember 1947.

Tuntutan Dato' Onn sering kali diterima Inggeris kerana mereka mempunyai kepentingan berdalam menghadapi tekanan golongan kiri iaitu PKM dan PKMM yang mahu mendapatkan kuasa.

PKMM telah menentang UMNO sejak Jun 1946, apabila ia keluar dari parti ini kerana menolak Perjanjian Persekutuan yang tidak memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Kata Dato' Onn: ''Saya ada mendengar beberapa pihak berkehendakkan kemerdekaan penuh atas tuntutan ini, hendaklah kita tunjukkan kebolehan kita supaya barang yang sudah kita pegang itu tidak terlepas daripada tangan kita.''

Ini menyebabkan PKMM menarik balik sokongan dan mereka menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 22 Februari 1947 untuk menentang Dato' Onn dan UMNO.

Namun begitu, Dato' Onn tetap cekal dan pada 20 Januari 1948, beliau menghadiri Persidangan Pleno di King's House, Kuala Lumpur bersama Inggeris dan Raja Melayu.

Pada peringkat ini, Dato' Onn masih mendesak Inggeris supaya peraturan dan arahan Majlis Mesyuarat Negeri dan Persekutuan di buat dengan pengetahuan negeri Melayu, selain meminta supaya diadakan pasukan berkawal di rumah Menteri Besar. Kedua-dua perkara ini diterima Inggeris.

Dengan persetujuan itu, pada 21 Januari 1948, Perjanjian Persekutuan 1948 ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan Inggeris di King's House Kuala Lumpur. Dato' Onn hadir sebagai wakil UMNO dan Johor.

Maka terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu yang melindungi hak Melayu di negeri sendiri.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_05.htm#ixzz4awFQHBga © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan