Sabtu, 18 Mac 2017

Memperingati Hari Pahlawan

ARKIB : 31/07/2001
Lidah Pengarang
HARI ini genap 41 tahun negara kita bebas daripada darurat yang mana setiap 31 Julai kita memperingatinya sebagai Hari Pahlawan.

Setiap tahun Hari Pahlawan diadakan untuk mengenang jasa dan pengorbanan anggota-anggota keselamatan kita yang terkorban dan menderita semasa Darurat.

Sesungguhnya jasa dan pengorbanan anggota-anggota keselamatan itu membolehkan negara ini bebas daripada Darurat dan ancaman komunis.

Sempena Hari Pahlawan ini juga rakyat boleh mengenang kembali keperitan dan kesusahan semasa zaman Darurat selama 12 tahun dan lantaran itu menghargai keamanan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini.

Bukan sedikit bilangan yang terkorban demi mempertahankan hak dan kedaulatan bangsa dan negara daripada dirosakkan oleh anasir yang cuba menguasai hasil bumi bertuah kita ini.

Tidak kurang yang cedera dan cacat seumur hidup akibat tindakan kejam pengganas-pengganas komunis yang cuba mengambil kesempatan menguasai Tanah Melayu sebaik sahaja kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Mereka adalah pejuang negara dan pahlawan terbilang yang perlu dikenang oleh generasi merdeka hari ini.

Sebenarnya, seperti yang tertera pada Tugu Peringatan Negara, kita juga menghargai semua pejuang-pejuang yang mempertahankan negara baik semasa Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan Darurat.

Walaupun kini negara sudah aman, tetapi Hari Pahlawan ini perlu kita peringati supaya kesedaran tentang kepentingan pertahanan negara sentiasa wujud.

Apa yang kita nikmati sekarang tidak datang dengan begitu saja tetapi ia merupakan hasil daripada perjuangan yang panjang dan sukar.

Tambahan pula, ancaman terhadap keselamatan boleh muncul pada masa-masa akan datang dan negara akan berhadapan dengan bahaya jika kita leka dan lalai dalam soal pertahanan dan keselamatan.

Sememangnya suasana politik sejagat sudah banyak berubah sejak tamatnya Darurat dahulu. Kita sudah tidak lagi menghadapi ancaman komunis dan negara ini sudah mencapai kemerdekaan serta mampu mempertahankan diri tanpa bergantung kepada negara bekas penjajah.

Namun begitu, sifat manusia yang tamak dan mahu membolot kekayaan dan kekuasaan masih wujud dan pihak-pihak yang tidak keberatan menggunakan senjata dan kekerasan boleh muncul pada bila-bila masa.

Jika kedudukan pertahanan kita lemah, maka mudah mana-mana pihak luar yang mampu untuk menggunakan kekuatan senjata untuk menyekat kebebasan, kemerdekaan dan kedaulatan negara kita.

Namun begitu, selain daripada mempunyai kemampuan pertahanan yang canggih dan terkini, tanggungjawab mempertahankan negara masih terletak pada bahu anggota-anggota pasukan keselamatan.

Dalam dunia yang sudah berubah, bertugas sebagai anggota-anggota keselamatan mungkin sudah kurang menarik berbanding dengan kerjaya lain.

Tetapi memandang kepada kepentingan negara, tugas sebagai pasukan keselamatan masih diperlukan, malah lebih mencabar jika diambil kira perkembangan teknologi ketenteraan moden.

Justeru, Hari Pahlawan ini juga merupakan rakaman penghargaan rakyat kepada anggota keselamatan pengorbanan untuk mempertahankan negara.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4bhqICgWv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan