Selasa, 21 Mac 2017

Keputusan STPM 2001 cipta sejarah



ARKIB : 26/02/2002
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun lalu mencatatkan sejarah apabila 430 calon memperoleh keputusan cemerlang 5A dan 4A - jumlah yang belum pernah dicapai.

Pada tahun 2000, sebanyak 388 orang calon memperoleh keputusan 5A dan 4A.

Keputusan peperiksaan STPM 2001 akan dikeluarkan kepada calon-calon esok di sekolah mulai pukul 10 pagi manakala calon persendirian akan menerima keputusan itu melalui pos.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Anuwar Ali berkata, daripada jumlah 40,147 calon yang menduduki peperiksaan STPM, sebanyak 34 memperoleh gred 5A, manakala, 396 calon mendapat gred 4A.

``Pada keseluruhannya prestasi STPM 2001 amat membanggakan berbanding dengan tahun 2000. Kualiti calon bertambah baik terutama dengan pertambahan bilangan calon yang mendapat 5A dan 4A.

``Ini memberi persaingan yang begitu hebat dari segi mendapatkan tempat untuk mengikuti kursus-kursus kompetitif di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),'' katanya ketika mengumumkan Analisis Keputusan Peperiksaan STPM 2001 di MPM, Selayang dekat sini hari ini.

Pada peperiksaan STPM tahun 2000, seramai 41,737 calon telah menduduki peperiksaan itu dan 26 pelajar mendapat 5A manakala 362 lain memperoleh 4A.

Sejak tahun 2000, calon STPM telah diwajibkan mengambil Malaysia University English Test (MUET) sebagai syarat memasuki IPTA.

Anuwar berkata, seramai 35,293 calon (91.73 peratus) telah lulus sekurang-kurangnya satu prinsipal pada peperiksaan STPM tahun 2001.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,671 calon (6.94 peratus) lulus lima prinsipal manakala 13,652 (35.48 peratus) lulus empat prinsipal.

Selain itu, menurut beliau, sebanyak 7,884 calon (20.49 peratus) lulus tiga prinsipal, 6,024 (15.66 peratus) dua prinsipal dan 5,062 (13.16 peratus) satu prinsipal.

Bagaimanapun, Anuwar berkata, sebanyak lima mata pelajaran daripada 22 mata pelajaran yang ditawarkan telah mengalami kejatuhan prestasi.

Sebanyak 60,091 calon telah menduduki ujian MUET pada Disember tahun lalu termasuk 12,354 calon yang mengambil lima mata pelajaran prinsipal.

``Mereka dinasihatkan supaya mengambil empat mata pelajaran prinsipal sahaja di samping mata pelajaran MUET yang wajib diambil sebagai syarat untuk memasuki IPTA,'' jelas Anuwar.

Beliau berkata, sebanyak 45.89 peratus daripada calon berkenaan telah mendapat Band 3 dan ke atas (suatu tahap yang dianggap lulus) berbanding hanya 49.43 peratus pada ujian sebelum ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm#ixzz4bwwcsKoM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan