Jumaat, 10 Mac 2017

Erti kemerdekaan pada era IT

ARKIB : 03/09/2000
Erti kemerdekaan pada era IT
Bagaimanapun, lima tahun lalu ramai yang mempersoalkan idea MSC termasuk rakyat tempatan dan pelabur asing. Kecurigaan mengenai keupayaan dan kedudukan Malaysia dalam merealisasikan idea berkenaan berada di puncak.

Kritikan dan kecaman asing kononnya MSC tidak lebih daripada ladang getah dan kelapa sawit parah dengan kegawatan politik dan ekonomi Malaysia tiga tahun lalu.

Semua itu menjadi kenangan pahit bagi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC) iaitu agensi yang mengawasi perkembangan MSC.

Pengerusi Eksekutif MDC, Tan Sri Othman Yeop Abdullah menyifatkan projek itu sebagai satu rancangan negara yang penting.

''Lihatlah MSC sebagai perisai yang mempertahankan kedaulatan kita,'' kata Othman dalam satu interviu di Cyberjaya Jumaat lalu.

Beliau memberitahu wartawan G. MANIMARAN dan LUKMAN ISMAIL bahawa projek MSC akan membantu mempertahankan kemerde-kaan Malaysia yang dicapai 43 tahun lalu.

Beliau kecewa kerana sesetengah pihak masih terus menyalah anggap MSC dan mentafsirkan pembangunan projek berkenaan dari sudut negatif dan pandangan serong.

MINGGUAN: Kini kita berada dalam era globalisasi yang dikatakan mampu menghakis kuasa ekonomi Malaysia yang sebenarnya masih dalam proses pembangunan. Apakah benar kerajaan telah mengambil langkah berani lagi bijak dengan memperkenalkan MSC lima tahun lalu?

OTHMAN: Kalaulah tidak ada MSC, kalaulah tidak ada MSC ketika ini, yang jelas pegawai-pegawai kerajaan akan menggunakan projektor transparensi pada majlis taklimat. Kalau dilihat syarikat-syarikat kita pun begitu. Nyata sekali. Sekarang ini kalau kita pergi ke pejabat kerajaan, mereka akan menggunakan perisian powerpoint, tidak lagi transparensi. Sungguh canggih. Inilah perubahan budaya.

Kedua, kita lihat anak-anak kita tidak mahu lagi kerja makan gaji. Mereka menubuhkan syarikat sendiri dan menuju ke sektor teknologi tinggi. Ia merupakan sesuatu yang kita tidak pernah dengar sebelum ini. Dahulu kalau dia belajar Teknologi Maklumat (IT), perkara pertama ialah dia hendak kerja dengan IBM, Microsoft atau Intel.

Lima tahun lalu pelabur asing melabelkan projek MSC sebagai ladang getah yang tidak memanfaatkan mereka. Bagaimana pula dengan tahap keyakinan mereka hari ini?

OTHMAN: Berasaskan pada komen anggota Panel Penasihat Antarabangsa MSC (IAP), pandangan mereka amat meyakinkan. Ini dinyatakan sendiri oleh peneraju-peneraju industri. Mereka melihat MSC berkembang melepasi tempoh sasaran yang ditetapkan. Keduanya, ia menyediakan pakej yang lengkap dan memenuhi keperluan mereka. Hari ini syarikat asing yang memohon status MSC akan merasakan satu kerugian jika permohonan mereka tidak mendapat kelulusan. Bagi mereka taraf MSC sendiri dilihat sebagai satu pengiktirafan ke atas kredibiliti. Ia merupakan sesuatu yang baik. Kini buku-buku antarabangsa yang menyentuh dasar Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) akan menyebut nama MSC.

Tan Sri melihat penggunaan komputer bimbit (yang digunakan oleh beliau sebagai sumber rujukan ketika diwawancara oleh Mingguan Malaysia) merupakan kesan MSC ke atas diri Tan Sri sebagai rakyat Malaysia?

OTHMAN: Ya. Ia memudahkan saya kerana kalau tidak, mungkin jawapan itu cetek sedikit. Kalau kita ada cukup bahan, saya pun merasa yakin untuk menjawab. Ada perbezaan berbanding dahulu. Kini segala maklumat boleh dimuatkan dalam komputer ini, dan maklumat mudah diperoleh. Kalau kertas, mungkin tercicir, hilang. Dengan cara ini, kita cuma mengemaskinikan maklumat dari masa ke masa. Maklumat ini khusus untuk Mingguan Malaysia, kalau perlu, anda boleh simpan di arkib (Pusat Sumber) untuk kegunaan susulan. Ini kali kedua saya gunakan komputer ketika menemui media.

Bagaimana Tan Sri melihat perkembangan MSC dalam tempoh lima tahun lalu?

OTHMAN: Pada 1995 kita buat kajian manakala pada tahun berikutnya 1996 iaitu bulan Ogos, Perdana Menteri secara rasmi mengisytiharkan MSC di samping mengumumkan pelantikan saya sebagai Pengerusi Eksekutif. Pada mulanya kita merasa curiga untuk melaksanakan secara teratur dan mencapai kemajuan dengan lancar sebagaimana diharapkan oleh kerajaan. Lebih-lebih kita tiada rujukan langsung sama ada dari luar negara ataupun dalam negara.

Melihat kembali suka dan duka dalam tempoh empat tahun lepas (sejak dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif), saya rasa bahawa kita telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam melaksanakan MSC. Kita telah berjaya menubuhkan sebuah koridor. Pada tahun lepas, Perdana Menteri secara rasmi telah melancarkan MSC. Dan ketika ini, masyarakat global, kalau disebut MSC, pihak industri dalam sektor ICT dan perancang-perancang dasar pembangunan mengetahui konsep MSC.

Walaupun pada mulanya mereka menyatakan tidak mungkin perkara ini berjaya kerana kelemahan-kelemahan dan jurang-jurang tertentu yang kita hadapi, tetapi kita berjaya menangkis persepsi itu.

Sekarang kita mempunyai 37 syarikat yang bertaraf dunia. Kita ada penandarasan bahawa pada akhir tahun 2003, kita bercadang mencapai 50 syarikat bertaraf dunia. Jadi, 37 syarikat setakat ini merupakan pencapaian baik sekali walaupun kita ada dua tahun lebih untuk mencapai tahap 50 buah. Di samping itu, kita juga telah melancarkan tujuh aplikasi.

Sebagaimana janji kita kepada dunia, kita akan merupakan negara yang ulung sekali menggubal undang-undang siber yang meliputi segala aspek ICT. Setakat ini enam undang-undang telah diluluskan dan banyak negara telah meneliti undang-undang itu sebagai rujukan mereka khususnya berkaitan e-dagang.

Kini kita telah berjaya menarik pelaburan melalui syarikat-syarikat berstatus MSC yang berjumlah 362 buah semuanya. Ini penting kerana kalau kita ukur kejayaan kita dengan bilangan ini, mungkin orang akan mengatakan apa yang penting sangat dengan sejumlah syarikat ini. Kesemua 362 syarikat ini mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dalam tempoh lima ia beroperasi dan mewujudkan lebih daripada 35,000 pekerjaan.

Kita mengakui dari segi perkembangan ke luar negara kita tidak begitu membanggakan berbanding dengan India dan Ireland. Tetapi mereka telah lama dalam bidang ini dan kita baru sahaja memulakannya.

Tadi Tan Sri mengatakan mengenai soal curiga terhadap MSC. Bagaimana MDC dan kerajaan menangani kecurigaan ini?

OTHMAN: Yang pertama ialah disebabkan pucuk pimpinan kerajaan kita. Saya fikir tanpa mendapat sokongan daripada pihak pemimpin, kita tidak akan dapat menjalankannya. Kedua ialah fleksibiliti yang diberi oleh kerajaan kepada syarikat MDC untuk menjalankan operasi. Ini merupakan faktor penting. Ketiga ialah kita dapat mengatur pekerja-pekerja di MDC, yang kebanyakannya berpengalaman dan berkualiti. Setiap seorang itu ada keupayaan yang tinggi, mereka dapat mewujudkan keyakinan kepada pelabur-pelabur tentang betapa serius kita terhadap MSC dan bagaimana kita dapat melaksanakan setiap janji yang dibuat.

Menyentuh mengenai curiga tadi, terdapat juga kecurigaan negatif. Pada peringkat awal, ramai yang tidak percaya kepada idea MSC. Ini termasuk pihak asing. Bagaimana kerajaan mengatasinya?

OTHMAN: Persepsi negatif ini sentiasa ada. Kalau tiada, ini akan menjadi masalah kerana anda merasa selesa. Kalau orang selalu mengatakan rasa tidak puas hati, kita tanya balik apa kelemahan kita. Kita menganggap ini sebagai kritikan ke atas diri sendiri.

Masalah yang timbul ialah apabila kritikan itu tidak membina, mereka yang melemparkan tuduhan tidak faham apa maksud idea ini. Mereka berkata apa gunanya membangunkan MSC, sebagai contoh E-Village. Ia adalah satu projek untuk mengatasi jurang dalam ICT. Jurangnya ialah mengadakan kandungan perisian menggunakan pendekatan animasi dan kaedah 2D atau 3D bagi tujuan pendidikan hiburan, permainan, e-dagang dan teleperubatan. Tuduhan yang disampaikan ialah ia merupakan hiburan semata-mata, membawa maksiat tanpa memahami matlamatnya.

Apabila tuduhan macam ini dilemparkan, kita ada kalanya merasa kecewa. Mengapa tidak orang ramai memahami dahulu matlamat MSC? Sekiranya kita tidak mengeluarkan kandungan perisian tempatan yang mencerminkan budaya kita, maka kita terpaksa membawa masuk kandungan yang menggambarkan budaya asing. Ini akan mengongkong pemikiran kita walaupun kita telah merdeka. Ideanya ialah membebaskan daripada budaya asing. MSC ialah alat membebaskan kita daripada budaya asing.

Mengapa sesetengah pihak hanya melihat MSC dari sudut negatif?

OTHMAN: Ini adalah fikiran yang saya rasa mengelirukan. Apabila seorang itu mempunyai pandangan serong, dia punyai fikiran keliru. Itu adalah masalah yang kita hadapi untuk memujuk mereka. Tetapi kita perlu meneruskan usaha membangunkan MSC.

Masalah kedua ialah apabila ada orang mengatakan bahawa pembangunan MSC cuma bersifat infrastruktur sahaja. Walhal kita mendapati ia lebih daripada itu termasuk undang-undang siber, sumber manusia, pusat inkubator dan usaha sama. Semua adalah satu pakej yang komprehensif.

Terdapat juga pandangan bahawa MSC membawa kesan negatif. Penjelasan Tan Sri?

OTHMAN: MSC merupakan tempat menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi menggunakan asas kita sendiri. Kalau tidak ada usaha ini, kita akan diikat oleh asas pihak Barat. MSC adalah perisai kita dalam menghadapi kesan globalisasi. Dalam tahap tertentu ia merupakan perisai bagi kita mengelakkan kesan negatif. Tidak dapat dinafikan wujud kesan negatif menerusi Internet yang boleh menjejaskan kita. Tetapi ia juga akan wujud kalau tiada MSC.

Kita juga perlu menilai kelebihan dari sudut ekonomi. Misalnya, rakyat Ireland kini mengeksport perisian bernilai kira-kira AS$67 bilion setahun dengan hanya memiliki penduduk seramai 3.5 juta orang. Satu ketika dahulu mereka miskin. Kini disebabkan oleh tumpuan ke atas penyelidikan dan pembangunan (R&D), syarikat-syarikat Ireland kukuh.

Jadi begitulah harapan kita iaitu melalui MSC kita mewujudkan aktiviti bernilai tinggi. Apa yang MSC cuba buat ialah membawa nilai tokok yang lebih dengan milik kita.

Sebentar tadi Tan Sri ada mengatakan Tan Sri kecewa dengan tuduhan tidak membina. Apa yang dimaksudkan?

OTHMAN: Kecewa kerana fikiran sesetengah rakyat negara ini yang prejudis. Mereka perlu bersikap terbuka. Dengan adanya MSC kita akan ada asas sendiri, kemudahan pendidikan, aktiviti perundingan yang kita jalankan, aktiviti pelaburan menerusi modal teroka dan yang lain. Saya harap kita akan menerima pulangan daripada aktiviti-aktiviti lain.

MSC bukan sahaja membangunkan sektor ICT dalam negara tetapi juga memberi idea kepada dunia luar. Komen Tan Sri?

OTHMAN: Banyak negara seperti Indonesia, Thailand dan Mesir selain Korea Selatan ingin mempelajari dan mewujudkan kerjasama dengan kita. Ini merupakan satu perkembangan yang sihat. Hanya melalui persaingan sihat ini kita boleh mengadakan pasaran yang lebih besar dalam setiap aplikasi. ASEAN umpamanya mempunyai pasaran luas dengan penduduk lebih 500 juta orang. Disebabkan kemajuan ASEAN dalam IT lemah, maka kita tidak dapat menggunakan penduduk yang ramai untuk memesatkan kemajuan. Ini merupakan aspek yang mengikat kita. Jika setiap negara ASEAN mempunyai visi seperti kita, ASEAN boleh muncul sebagai nadi pembangunan teknologi tinggi rantau ini seperti Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Setakat ini, adakah Tan Sri secara peribadi, MDC pada umumnya dan kerajaan keseluruhannya berpuas hati dengan perkembangan projek MSC?

OTHMAN: Kerajaan, berasaskan kepada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, saya fikir berpuas hati. Namun begitu kita akan terus bekerja lebih keras untuk mengatasi hub-hub yang lain, ingin tiga atau empat langkah ke hadapan. Jadi, kita mengubahsuaikan cara kita mempromosikan MSC.

Tan Sri merupakan orang yang paling dekat dengan Perdana Menteri dalam pembangunan IT Malaysia. Bolehkah Tan Sri berkongsi pengalaman dengan kami perasaan Perdana Menteri tentang perkembangan MSC kini?

OTHMAN: Perdana Menteri berkata beliau berpuas hati. Satu dua perkara kita tidak dapat selesaikan dengan cepat. Misalnya dalam menghasilkan skrin, di mana saya telah berjanji untuk mengeluarkan sebuah skrin yang berdasarkan teknologi fiber. Ini adalah hak cipta kita. Saya berjanji untuk mengeluarkan sebelum 31 Ogos lalu. Disebabkan oleh faktor-faktor tertentu kita menangguhkan dan hanya dapat mengeluarkan penghujung tahun ini. Itu yang Perdana Menteri merasa kurang senang kerana pesaing-pesaing pun mula membangunkan skrin seumpama itu. Yang lain-lain, saya rasa Dr. Mahathir berpuas hati.

Apakah ukuran yang digunakan untuk menilai kejayaan MSC?

OTHMAN: Dalam pelan induk kita membahagikan ukuran itu kepada tiga. Pertama ialah petunjuk korporat. Kedua, ukuran infrastruktur manakala ketiganya, petunjuk makro.

Di bawah petunjuk korporat, antaranya kita tinjau dari segi sasaran syarikat MSC yang kita perlu capai dan jumlah yang kita luluskan. Sasaran setiap tahun ialah 100 buah diluluskan. Jadi setakat ini kita telah berjaya lakukan kerana permohonan sebenar hanya bermula pada tahun 1997. Kini terdapat 362 buah syarikat bermakna kita mencapai sasaran. Dari sudut R&D, bilangan syarikat asing dan Malaysia yang berganding. Ini melibatkan pemindahan teknologi. Kita juga ukur dari segi pertumbuhan syarikat Malaysia. Ini penting kerana ia merupakan kesan limpahan MSC.

Di bawah petunjuk infrastruktur, pewujudan peluang sekolah bestari. Kedua ialah pembangunan infrastruktur dan kualiti perkhidmatan sama ada telekomunikasi, Internet dan aktiviti nilai tinggi. Kemudian undang-undang siber dan standard yang sama untuk semua aplikasi perdana.

Petunjuk makro memfokus kepada penubuhan kemahiran bernilai tinggi di Malaysia. Kita hendak mencapai 30 peratus daripada 9.1 juta pekerja berpengetahuan menjelang tahun 2005. Ukuran susulan ialah e-dagang bagi memastikan barangan kita tiba di pasaran global. Ini merupakan antara petunjuk yang kita gunakan bagi memastikan syarikat tempatan mencapai taraf dunia.

Pada hari ini kemajuan MSC berada di tahap mana?

OTHMAN: Kita telah keluar daripada tahap pertama. Pelan induk MSC terdiri daripada tiga tahap. Tahap pertama membina semua infrastruktur. Kini beralih ke tahap pelaksanaan. Pada tahun 2003, 2005, pelaksanaan ialah ke negeri-negeri di Semenanjung dan di Sabah dan Sarawak. Itu merupakan cabaran yang paling besar. Kini negeri-negeri itu adalah sebahagian daripada MSC dengan adanya sekolah bestari, teleperubatan dan infrastruktur.

Adakah MDC menerima kerjasama yang secukupnya daripada pihak swasta?

OTHMAN: Kalau kita melihat dari segi pelaburan asing, ia menggalakkan. Ada yang berinovatif tinggi. Kalau dari segi syarikat kecil dan sederhana dalam negeri juga amat menggalakkan. Dari segi perniagaan tradisional tempatan, tidak berapa menggalakkan. Bank-bank, syarikat insurans dan perladangan belum tampil. Kami berharap syarikat-syarikat besar itu akan menyebarkan kesan limpahan MSC. Kini bank-bank masih sibuk dengan urusan penggabungan. Kami masih menunggu. Jika mereka tidak bergerak cepat dan apabila Perjanjian Perdagangan Sedunia (WTO) dilaksanakan kita akan 'tenggelam' di sebalik kesan pelaksanaannya.

Adakah mereka enggan menyertai MSC?

OTHMAN: Tidak, mereka terikat dengan perkembangan di persekitaran masing-masing. Mereka masih tidak menyusun semula aktiviti mereka, masih dengan aktiviti lama. Masih perlahan. Untuk kekal bersaing anda perlu menggunakan kelebihan IT. Itu merupakan harapan kami di sini dan harapan Perdana Menteri. Kami meminta mereka supaya menyusun semula strategi organisasi dan menguasai kelebihan-kelebihan teknologi baru.

Pandangan umum ialah peluang MSC banyak digunakan oleh syarikat asing. Penyertaan Bumiputera kurang. Bukankah ini satu kekurangan Tan Sri?

OTHMAN: Syarikat Bumiputera lebih daripada 34 peratus. Syarikat tempatan sama ada bumiputera, India ataupun Cina sememangnya memuaskan. Mereka boleh bersaing dengan syarikat yang lebih baik dari AS dan Eropah. Kalau anda melawat pusat inkubator, anda dapat melihat pencapaian mereka yang sangat baik.

Selepas lima tahun konsep MSC diperkenalkan, sejauh mana penerimaan konsep itu di kalangan rakyat tempatan?

OTHMAN: Itu sukar untuk dijawab sebab tiada kajian dibuat. Kalau kita menggunakan ukuran proksi, dari segi bilangan pelajar yang mendaftar untuk belajar dalam bidang kejuruteraan dan IT, ini adalah paling tinggi. Jika kita menggunakan ini sebagai ukuran, tahap pemahaman meningkat berbanding dahulu. Bercakap mengenai sekolah bestari, semua orang hendak sekolah bestari.

Setakat ini kita hanya menyentuh mengenai kelebihan dan kejayaan MSC. Pada pandangan peribadi Tan Sri, apa kekurangan yang wujud?

OTHMAN: Ia adalah kekurangan yang saya sebutkan tadi. Kita perlu memiliki lambang di mana sebuah syarikat tempatan menjadi syarikat berkelas dunia. Selepas lima tahun, masih belum wujud syarikat seperti itu. Di India, Ireland, Singapura ada. Kita belum ada.

Kita perlu mewujudkan lambang ini, yang mampu mengibarkan bendera Malaysia di dunia. Kita perlu wujudkan syarikat itu sekarang juga, menjelang penghujung tahun ini. Kami sedang berusaha ke arah itu dan telah meminta kerjasama kerajaan dalam hal ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4ayWuVMiI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan