ARKIB : 28/08/2000
Saudara Pengarang,
SAYA amat tertarik dengan
ruangan temu ramah bersama Pak Ungku yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia, 19
Ogos, 2000.
Apa yang Pak Ungku utarakan itu
adalah hasil dari kajian serta pandangan seorang ilmuwan yang dianugerahkan
oleh Allah s.w.t dengan kecerdikan serta kepandaian yang tinggi dalam membuat
kajian serta penelitian dari segenap aspek.
Kita sepatutnya berbangga
kerana mempunyai seorang cendekiawan yang berpandangan jauh dan mampu menilai
sesuatu perkara atau isu dengan menggunakan ilmunya.
Topik yang diperjelaskan dalam
sesi temuramah tersebut adalah berkaitan dengan orang Melayu, di mana seperti
yang diperbincangkan beliau mahu melihat masyarakat Melayu maju ke depan
bersama-sama bangsa lain.
Jadi, ahli politik di negara
ini perlu melihat dan berfikir sejenak akan apa yang diulas oleh Pak Ungku,
agar kita sama-sama dapat mengambil pengajaran dan membetulkan keadaan yang
semakin pincang.
Pak Ungku tidak sedikit pun
menceritakan perihal emosinya, sekadar berkongsi dengan pembaca akan
keprihatinannya terhadap masyarakat Melayu kini yang mana segolongan minoriti
mengecap nikmat yang tak terhingga dan majoriti yang lainnya masih daif dan
perlu disokong.
Seperti yang dijelaskan oleh
Pak Ungku, kita tidak perlu membuat DEB yang baru, dengan menggunakan DEB yang
lama pun kita mampu bergerak maju ke depan sekiranya ia dilaksanakan sebaik
mungkin oleh kerajaan dan pemimpin rakyat.
Sekiranya yang lama tak
terlaksana, apatah lagi yang baru. Mungkin hanya untuk mengabui mata rakyat
sahaja.
Jadi, sama-samalah kita
berusaha untuk menaikkan martabat bangsa kita di mata dunia. - KU AMIR KU
YAHAYA, Kulim, Kedah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm#ixzz4avAxATAb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan