Sabtu, 4 Mac 2017

Fakulti Pengurusan Perniagaan catat sejarah

ARKIB : 02/07/2000
BANGI 1 Julai - Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat sejarah apabila berjaya mengeluarkan graduan kumpulan pertama program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Eksekutif) pada tahun ini.

Program itu adalah yang pertama dijalankan di peringkat ijazah pertama menerusi Pusat Kembangan Pendidikan (PKP).

Timbalan Pengarah PKP, Sallehuddin Mohd. Noor berkata, program itu dimulakan pada sesi akademik 1995/96 lalu dengan 161 pelajar kumpulan pertama dianugerahkan ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen tahun ini.

Menurutnya, program itu dijalankan selama tiga hingga lima tahun dan terbuka kepada golongan bekerja.

''Kelas diadakan dari jam 6.30 petang sehingga 10 malam sebanyak tiga sehingga lima kali seminggu,'' katanya kepada Mingguan.

Beliau berkata, program itu mendapat sambutan baik daripada golongan berusia dan setakat ini, pelajar paling tua mengikuti kursus itu ialah 55 tahun.

Sementara itu, tinjauan Mingguan di kalangan pelajar program itu yang berusia lebih 40 tahun mendapati faktor anak-anak sudah dewasa mendorong mereka mengikuti program berkenaan.

Jamilah Hashim, 46, berkata, semua anak-anaknya sudah dewasa iaitu anak sulungnya berusia 24 tahun. ''Saya mempunyai lima orang anak yang sudah dewasa dan mereka sudah boleh mengurus diri sendiri sekali gus memberi peluang kepada saya untuk menimba ilmu,'' kata nenek kepada seorang cucu ini.

Rakannya, Siti Khatijah Rashid, 47, yang baru menerima menantu pada 25 Mei lalu berkata, beliau sependapat dengan Jamilah.

''Anak-anak saya juga sudah dewasa iaitu berusia di antara 13 sehingga 23 tahun,'' katanya.

Selain sokongan keluarga, katanya, beliau juga mendapat galakan daripada majikannya iaitu Malaysian Export Trading Insurance Bhd.

Baharom Abd. Hamid, 51, pula berkata, beliau mahu kegigihannya belajar pada usia itu menjadi contoh kepada anak-anak.

''Saya berpegang pada falsafah ilmu sepanjang hayat dan mahu anak-anak mengikut jejak saya,'' katanya.

Sementara itu, seorang guru Matematik, Maimunah Ali, 42, berkata, walaupun sukar untuk belajar dan mengajar tetapi lama-kelamaan perkara itu menjadi sebati dengan dirinya.

''Mula-mula memang susah untuk menyesuaikan diri tetapi apabila sudah lama, saya fikir tidaklah teruk sangat,'' katanya.

Rosena Ibrahim, 43, yang berasal dari Ipoh, Perak, berkata, beliau telah banyak berkorban masa demi menyambung pelajarannya.

''Saya bersyukur kerana mampu membahagi masa sebaik yang mungkin untuk mengurus rumah tangga dan belajar.

''Walaupun anak bongsu saya masih kecil iaitu berusia lima tahun, alhamdulillah saya mampu membahagi masa dengan baik,'' katanya.

Pegawai Eksekutif Perkeso, Rafdah Bachik, 42, berkata, galakan daripada suami mendorong beliau untuk berusaha sehingga mendapat segulung ijazah.

''Saya berterima kasih kepada suami yang selama ini menjadi dorongan saya untuk menamatkan pengajian ini,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_06.htm#ixzz4aNrkbz9n © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan