Isnin, 13 Mac 2017

Beng Hee cipta sejarah -- Juarai Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia

9Dis 2000
ARKIB : 10/12/2000
ONG Beng Hee bangkit daripada ketinggalan untuk mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pemain pertama negara yang menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

Kejohanan yang diadakan sejak 1975 itu dijuarai buat kali pertama oleh pemain Pakistan, Gigi Alluddin dan sering bertukar tangan antara pemain asing.

Begitupun, pertemuan akhir semalam, menyaksikan Ong Beng Hee gagah mengetepikan cabaran pemain Australia, John Williams dalam permainan empat set.

Beng Hee memberikan persembahan terbaiknya di set pertama dengan mendahului 5-3, tetapi Williams yang mengekori rapat, berjaya menguasai mata akhir untuk kemenangan 17-16.

Namun pada set kedua, Beng Hee memberikan aksi lebih bertenaga untuk meninggalkan pencabarnya itu 8-1, sebelum menamatkan saingan dengan 15-6.

Dua set lagi nyata tidak mendatangkan masalah buat pemain nombor satu negara itu untuk melengkapkan kemenangan berharga 15-8 dan 15-10.

''Saya kalah pada set pertama kerana keletihan pada penghujung permainan dan Williams pula kelihatan cukup cergas.

''Namun, sebaik berjaya menguasai set kedua dan mengikat kedudukan 1-1, saya mula berasa yakin dan menguasai set kedua dan ketiga.

''Aksi pada set terakhir memang agak meletihkan, tetapi saya tahu kemenangan sudah hampir dalam genggaman. Saya juga menang kerana sokongan padu penonton,'' katanya.

Kemenangan itu bagaimanapun belum memuaskan hati Beng Hee yang mahu menamatkan tahun ini dengan catatan lebih gemilang.

''Saya harap menjelang bulan depan, saya sudah berada dalam kelompok 16 pemain terbaik dunia.

''Saya juga mahu memastikan skuad negara menjuarai Piala Asia di Kuala Lumpur, minggu depan dan meraikan kejayaan bersama jika boleh,'' tambahnya.

Beng Hee menerima wang tunai AS$2,850 (RM10,830) beserta piala selaku juara, manakala Williams meraih AS$1,950 (RM7,410) dan piala iringan.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bDKNd37q
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan