Selasa, 28 Mac 2017

Al-Farabi sepanjang hayat mengembara mencari ilmu

 ARKIB : 19/02/2003
Tokoh
Dengan kerjasama dan izin Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
BUMI Turkistan telah melahirkan al-Farabi, seorang ahli falsafah yang begitu agung dalam dunia Islam mahupun Barat.

Pengkajiannya meliputi banyak bidang, daripada disiplin logik dan falsafah kepada ilmu fizik dan psikologi, daripada linguistik dan matematik kepada sains politik dan perbandingan agama.

Al-Farabi merupakan ahli falsafah Muslim yang berpandukan al-Quran dan sunah, bukannya berteraskan ahli falsafah Greek seperti mana yang sering didakwa.

Malahan cara hidup dan berfikirnya dalam dunia keintelektualan, juga berpandukan al-Quran dan as-Sunah.

Abu al-Nasr Muhammad Ibn Muhammad Ibn Tarhan Ibn Awzalagh al-Farabi, lebih dikenali dengan nama Abu Nasr al-Farabi.

Dilahirkan di Wasih, sebuah perkampungan kecil di daerah Farab, iaitu di wilayah Transoxiana, Turkistan sekitar tahun 257 Hijrah/870 Masihi.

Bapanya disebut dalam sumber tertentu berketurunan Farsi, namun keluarganya dianggap berketurunan Turki.

Mereka bukan sahaja bercakap loghat Sogdian atau dialek Turki, malah kehidupan dan tabiat mereka mengikut resmi Turki.

Sarjana mutakhir yang mengkaji al-Farabi, D.M. Dunlop menyatakan yang al-Farabi datangnya daripada keluarga yang dihormati, dan beliau juga dinyatakan sebagai memiliki daya pemikiran yang sangat tinggi sejak awal lagi serta mempunyai kelebihan menguasai hampir kesemua bidang ilmu pengetahuan. Beliau merupakan pengikut Mazhab Syafie.

Selain menerima pendidikan tentang al-Quran, al-Farabi juga mempelajari nahu, kesusasteraan, ilmu-ilmu keagamaan terutamanya fikah, tafsir, hadis dan aritmatik asas.

Kurikulum dan pendidikan tradisional telah menjadi asas kepada al-Farabi hingga ke peringkat yang lebih tinggi kemudiannya.

Di antara tempat-tempat yang menjadi destinasinya dalam menuntut ilmu ialah Bukhara.

Di sini al-Farabi menyempurnakan pendidikan peringkat tinggi dalam bidang fikah dan ilmu keagamaan yang lain.

Di sini jugalah beliau buat pertama kalinya mempelajari muzik.

Sebaik sahaja menyelesaikan pengajian dalam bidang keagamaan, al-Farabi menjadi hakim. Tetapi beliau meninggalkan pekerjaan ini apabila mengetahui bahawa terdapat pengajaran di dalam bidang ilmu falsafah dan kemudiannya menumpukan sepenuh masa dan perhatian dalam mempelajari bidang ini.

Minatnya dalam bidang logik dan ilmu-ilmu falsafah termasuk metafizik mula tercetus semasa pengajiannya di peringkat yang kedua, iaitu peringkat yang lebih tinggi dalam bidang linguistik dan ilmu keagamaan.

Apabila berpeluang mendapatkan buku-buku kajian dan guru dalam bidang itu dengan lebih terbuka, tanpa ragu-ragu lagi al-Farabi meninggalkan jawatan serta tempat tinggalnya bagi meneruskan perjuangan di satu tahap baru dalam penghidupan keintelektualannya.

Tindakan yang diambil ini menandakan permulaan kepada pengembaraan sepanjang hayat yang dedikasi untuk mencari ilmu dan kehidupan kesarjanaan.

Keputusan tersebut membawanya ke bandar-bandar utama dunia Islam.

Di Merv (Khurasan), al-Farabi mula mendampingi pengkajian logik dan falsafah Aristotle di bawah bimbingan Ibn Hailan.

Namun sebilangan sarjana berpendapat, al-Farabi mula mempelajari ilmu logik dan falsafah di Baghdad.

Al-Farabi tiba d Baghdad sekitar tahun 287 Hijrah/900 Masihi dengan mempunyai ilmu yang kukuh dalam bidang logik, setelah mempelajarinya daripada Ibn Hailan di Merv.

Semasa berada di sini, beliau berusaha menguasai bahasa Arab dan memperhambakan daya fikirannya pada ilmu falsafah.

Beliau juga mengajar ilmu logik dan muzik kepada seorang sarjana Baghdad yang terkenal dalam bidang bahasa, nahu dan puisi iaitu Ibn al-Suraj.

Sebelum meneruskan perjalanan ke Konstantinople, dikatakan al-Farabi juga belajar di Harran di bawah bimbingan Ibn Hailan.

Al-Farabi kembali semula ke Baghdad buat kali kedua dan tinggal di sini kira-kira lebih dua dekad.

Pada masa itu beliau mengabdikan diri mempelajari falsafah, mengajar serta menulis dalam bidang tersebut.

Pada masa itu, al-Farabi mengetahui bahawa Matta Ibn Yunus berjaya menarik perhatian kumpulan penuntut yang besar untuk mengikuti kuliah tentang logik Aristotle.

Al-Farabi tidak melepaskan peluang ini dan menjadi penuntutnya kemudiannya.

Oleh sebab keadaan politik di Baghdad semakin meruncing, al-Farabi mengambil keputusan berpindah ke Damsyik, sebuah kota yang lebih aman.

Beliau menjauhkan diri daripada perebutan politik dan pertikaian agama serta mazhab yang marak di Baghdad pada ketika itu.

Semasa tinggal di Damsyik, al-Farabi bekerja sebagai penjaga kebun pada waktu siangnya dan menumpukan perhatian kepada penulisan dan pembacaan dalam bidang falsafah pada malamnya.

Kemudian beliau lebih banyak meluangkan masa di anak-anak sungai atau di taman yang rendang pohonnya di mana beliau menulis karyanya di sana atau menerima penuntutnya di sana. Beliau tinggal di Damsyik selama dua tahun sebelum berlepas ke Mesir.

Selepas itu beliau ke Damsyik buat kali kedua. Ketika inilah al-Farabi dijemput ke istana di Aleppo oleh pemerintah baru Syria, iaitu seorang putera Hamdaniah bergelar Sayf al-Dawlah.

Tidak lama selepas menetap di Aleppo dan Damsyik, Sayf al-Dawlah mula mengumpulkan cerdik pandai mengelilinginya di istana.

Dalam pertemuannya yang pertama dengan Sayf al-Dawlah, al-Farabi menarik perhatian pemerintah itu dengan kebolehannya dalam pelbagai bahasa, kepakarannya dalam ilmu falsafah dan kebolehannya yang tinggi dalam bidang muzik.

Beliau sangat dihormati oleh penaungnya dan di istana pemerintah inilah al-Farabi menghabiskan hayatnya sebagai seorang cendekiawan.

Al-Farabi hidup dengan cara sufi yang zuhud. Beliau tidak merebut peluang yang terbuka kepadanya sebagai yang di hormati di istana, kecuali mengambil empat dirham sehari dari perbendaharaan sebagai pencen.

Beliau juga tidak mahu mengikuti peraturan berpakaian semasa di istana. Pada sesuatu masa ia akan memakai pakaian seorang ahli sufi atau memakai pakaian orang Asia Tengah dengan topi besar yang diperbuat daripada bulu binatang.

Kemudian pada ketika tertentu pula beliau akan memakai pakaian yang lebih indah daripada orang lain yang datang ke istana.

Al-Farabi menulis lebih 100 karya. Ada sumber yang mengatakan sebanyak 117 buah karya.

Kesemua karyanya ditulis dalam bahasa Arab. Para sarjana sama ada tradisional ataupun moden memuji bahasa Arabnya yang mudah dan jelas, membincangkan sesuatu dalam bentuk prosa falsafah.

Penulisan al-Farabi mencakupi setiap bidang ilmu. Idea beliau juga mempengaruhi dari segi keintelektualan ke atas dunia Islam di Timur dan juga dunia Latin di Barat.

Beliau pernah menghuraikan secara terperinci pandangan tokoh falsafah Aristotle dalam bidang fizik meteorologi dan logik.

Berdasarkan pemikiran intelektual itu, beliau diberi gelaran utama al-Mu'allim al-Thani (guru yang kedua).

Al-Farabi menghembuskan nafas terakhirnya semasa dalam perjalanan dari Damsyik ke Ascalon.

Beliau meninggal dunia di Damsyik pada bulan Rejab 339 Hijrah bersamaan Disember 950 Masihi dalam usia 80 tahun



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4ccWJqdAE

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan