Sabtu, 11 Mac 2017

Sains Sosial tiga fakulti di UKM bergabung hujung tahun


 

ARKIB : 13/09/2000
DR. ZAKRI (kiri) menerima cenderamata daripada Mostafa Kamal Mokhtar sempena Seminar Kebangsaan Falsafah dan Peradaban Pembangunan di Alaf Baru di UKM, Bangi, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), Prof. Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga fakulti itu ialah Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Fakulti Sains Pembangunan dan Fakulti Pengajian Bahasa.

Katanya, fakulti-fakulti berkenaan akan diletakkan di bawah satu fakulti iaitu Fakulti Sains Sosial (FSS).

"Ini bermakna sesi 2000/2001 adalah pengambilan pertama pelajar bagi fakulti berkenaan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Falsafah dan Peradaban Pembangunan di Alaf Baru anjuran Fakulti Sains Pembangunan UKM, di Bangi baru-baru ini.

Dr. Zakri berkata, penggabungan fakulti itu tidak akan mengubah sistem pengajian asal ketiga-tiga fakulti berkenaan dan masih mengekalkan jumlah tenaga pensyarah yang sedia ada.

Menurutnya, penawaran mata pelajaran juga adalah seperti biasa namun kelebihan bagi para pelajar ini ialah mereka mempunyai pilihan yang banyak untuk menggabungkan mata pelajaran tersebut.

Malah katanya, penggabungan itu akan membentuk pelajar yang lebih komprehensif dengan menggalakkan pelajar memilih subjek yang lebih relevan dengan keadaan semasa.

Pada awal pengajian, pelajar-pelajar yang terlibat akan didedahkan dengan pengajian asas-asas sains sosial.

"Kemudian mereka akan memilih pengkhususan dalam bidang sains sosial iaitu bidang arus perdana yang memperlihatkan arus kehendak masyarakat masa kini,'' katanya.

Dr. Zakri berkata, penggabungan itu menggalakkan kerjasama pelbagai disiplin di kalangan tenaga pengajar dan seterusnya UKM dapat menyalurkan usaha mereka dalam bidang kajian pula.

Selain tiga fakulti itu katanya, dua fakulti lain akan turut digabungkan dalam Fakulti Sains Sosial iaitu Fakulti Ekonomi dan Fakulti Perniagaan.

"Namun penggabungan itu masih dalam peringkat kajian dan ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat,'' jelasnya.

Menurut beliau, sebelum penwujudan FSS yang menggabungkan fakulti lain, UKM telah pun mewujudkan satu fakulti yang menggabungkan fakulti-fakulti sains dan teknologi.

Fakulti berkenaan iaitu Fakulti Sains dan Teknologi (FST) yang menggabungkan empat fakulti iaitu Fakulti Sains Fizik dan Gunaan, Fakulti Sains Hayat, Fakulti Sains Matematik dan Fakulti Sains dan Sumber Alam.

Dalam pada itu katanya, setelah Fakulti Sains Sosial dan Fakulti Sains dan Teknologi, UKM juga akan mewujudkan sebuah lagi fakulti iaitu Fakulti Kesihatan dan Perubatan (FKP).

Fakulti berkenaan katanya, akan menggabungkan Fakulti Kesihatan Bersekutu, Fakulti Pergigian dan Fakulti Perubatan.

Namun begitu menurutnya, penggabungan tersebut memerlukan masa dan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana masih di peringkat kajian.

Dr. Zakri berkata, penggabungan itu tidak dilihat sebagai perkara baru kerana hampir kesemua universiti di negara-negara maju telah pun melaksanakan penggabungan sedemikian.

"Pada hakikatnya penggabungan itu memberi peluang yang luas kepada para pelajar memilih pengkhususan yang dapat bersesuaian dengan masa kini,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4b14QV8sm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan