ARKIB : 13/03/2003
HUTAN Keramat Pulai, Ipoh,
Perak meninggalkan sejarah pahit kepada Detektif Sarjan Mejar Mohd. Noh Hashim.
Di hutan itulah, di depan
matanya sendiri, rakan seperjuangan dan ketua kumpulannya rebah menyembah bumi
terkena tembakan pengganas komunis.
Latihan asas Pasukan Polis
Hutan (PPH) yang disertainya kira-kira 27 tahun lalu itu, rupa-rupanya berakhir
dengan kejadian benar yang meragut dua nyawa rakan sepasukannya.
``Kami tidak sangka latihan
tersebut berakhir dengan satu kejadian yang betul-betul menguji keberanian dan
kemampuan kami,'' ujarnya yang masih mengingati peristiwa hitam 3 Jun 1976 itu.
Walaupun telah lama berlalu,
bagi Mohd. Noh, 47, ia seolah-olah baru semalam terjadi kerana peristiwa itu
adalah suatu tragedi besar yang mengerikan dalam hidupnya dan tidak akan
dilupakannya sampai akhir hayat.
``Bayangkanlah, ketika baru
sahaja belajar masuk hutan, kami terus berhadapan dengan pengganas komunis. Ia
bukan latihan lagi, ia kejadian benar,'' ujarnya.
Mengimbau kembali kejadian itu,
Mohd. Noh yang berasal dari Seremban dan kini bertugas di Jabatan Siasatan
Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, berkata, ia berlaku ketika lebih
360 rekrut konstabel menjalani fasa terakhir latihan `final Ops.'
Semua rekrut dikerahkan masuk
hutan di sekitar Keramat Pulai yang sememangnya diketahui menjadi kubu kuat
komunis ketika itu.
Dengan bilangan rekrut yang
besar, jurulatih di PPH telah memecahkan mereka menjadi 12 sindiket dan setiap
satu sindiket dianggotai oleh 30 rekrut.
Mohd. Noh. menganggotai sindiket
11 dan kumpulannya ditadbir oleh seorang jurulatih berpangkat sarjan.
Selepas selesai pembahagian
sindiket, semua kumpulan diarah membina markas sementara di sekitar kawasan
hutan Keramat Pulai untuk memulakan latihan.
``Selepas itu sarjan yang bertanggungjawab
mengatur jadual latihan kami mengarahkan seramai 20 rekrut bersama Koperal
Redzuan keluar melakukan tugas membersih kawasan.
``Saya merupakan salah seorang
yang dimasukkan dalam senarai melakukan tugas pembersihan,'' katanya ketika
ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.
Mohd. Noh memberitahu, walaupun
semua rekrut mengetahui kawasan hutan Keramat Pulai kurang selamat untuk
dijadikan tempat latihan, semangat ingin menjadi seorang anggota polis
mengatasi perasaan takut.
``Ketika kumpulan kami mula
berjalan keluar dari markas sementara, Koperal Redzuan menunjukkan isyarat ada
komunis di kawasan tersebut.
``Ini berdasarkan kepada
tulisan Cina yang dijumpai pada pokok-pokok dan dahan-dahan kayu yang patah,''
jelasnya.
Selepas kira-kira sejam
perjalanan, hari semakin gelap dan Koperal Redzuan kemudiannya mengarahkan
mencari tempat bermalam sebelum menyambung semula tugas keesokkan hari.
Keesokan harinya tepat pukul 9
pagi, 3 Jun 1976, kumpulan tersebut yang setiap seorang dilengkapi dengan
pelbagai jenis pistol dan sub-mesingan bersiap sedia untuk meredah hutan lagi.
``Kami mahu memastikan kawasan
Keramat Pulai yang dijadikan tempat latihan polis bebas daripada sarang
pengganas komunis,'' ujarnya.
Setelah beberapa jam berjalan
dan keadaan rekrut yang mula keletihan, Koperal Redzuan kemudiannya memberi
arahan supaya berhenti rehat di satu kawasan lapang di celah satu banjaran
bukit di hutan tersebut.
Dan di sinilah bermulanya
tragedi yang tidak akan dilupakan oleh Mohd. Noh.
``Baru sahaja kami mengambil
tempat masing-masing untuk meletakkan bekalan yang dibawa, tiba-tiba kedengaran
bertalu-talu tembakan oleh pengganas komunis.
``Dalam keadaan terkejut dan
kelam kabut itu saya terdengar kawan saya yang ketika itu berada di hadapan
sekali memberitahu dia kena tembak dan menyuruh kami terus melawan musuh di
hadapan,'' katanya.
Koperal Redzuan yang berada di
belakang sekali masa itu terus mara menghampiri rekrut yang kena tembak.
``Bagaimanapun, nasib Koperal
Redzuan malang apabila beliau juga terkena tembakan dan jatuh di hadapan saya.
``Koperal Redzuan terus tidak
dapat bercakap dan saya hanya melihat air matanya sahaja yang mengalir.
``Melihat keadaannya yang nazak
saya terus mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah dan tidak lama selepas itu
beliau mati di pangkuan saya,'' katanya.
Pada masa yang sama, kata Mohd.
Noh, masih kedengaran tembakan bertalu-talu daripada pengganas.
Beliau ketika itu bersembunyi
di celah sebatang pokok yang tidak berapa besar dan nyaris maut apabila topi
dan lengan bajunya ditembusi peluru.
Dalam keadaan tegang itu,
tiba-tiba Mohd. Noh terdengar suara rakannya, Mohamad Salim memberi arahan
supaya mereka mengambil kedudukan dan mara membalas tembakan.
``Saya yang juga mulai geram
dengan tindakan komunis yang membunuh Koperal Redzuan dan kawan saya juga
membantu memberi arahan kepada rekrut lain,'' katanya.
Dalam keadaan yang penuh
bersemangat itu, Mohd. Noh yang bersenjatakan pistol automatik jenis Berreta
bersama rekrut-rekrut lain mara membalas tembakan musuh.
``Selang tidak berapa lama,
saya terdengar ada suara lelaki dan perempuan menjerit `chow... chow... chow'.
``Kami lihat kelibat antara 10
hingga 12 orang lelaki dan perempuan bertempiaran lari ketika itu,'' ujar Mohd.
Noh.
Katanya, tidak lama kemudian,
kumpulannya berjaya menawan kubu pengganas komunis yang telah diubah suai
seperti sebuah rumah.
Setelah keadaan tenang, mereka
mendapati seorang lagi rekrut terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam
kejadian berbalas-balas tembakan yang berlangsung selama kira-kira sejam.
Dalam masa yang sama mereka
juga menjumpai beberapa tompokan darah yang dipercayai akibat kecederaan yang
dialami oleh pihak musuh.
Hari semakin gelap dan langkah
seterusnya yang diambil dengan meminta tiga rekrut keluar mendapatkan bantuan
dari markas sementara.
``Sehingga pukul pukul 8 malam,
bantuan tidak sampai-sampai, kami yang risau sekiranya rekrut yang cedera parah
akan mati, mengambil keputusan keluar mencari bantuan sendiri,'' ujarnya.
Sebelum meninggalkan tempat
itu, mereka menyembunyikan tiga mayat rakan yang terkorban di celah-celah daun
kayu.
``Kami mengambil keputusan
berjalan mengikut arah air dan berpandukan cahaya bulan kami bergilir-gilir
memikul rekrut yang cedera.
``Nasib kami seramai 14 orang
amat malang pada malam itu kerana tidak berjumpa perkampungan ataupun orang
awam yang lalu lalang.
Menurut Mohd. Noh, mereka
akhirnya sampai ke Balai Polis Keramat Pulai pada pukul 11 malam.
``Di balai polis itu juga kami
berjumpa dengan tiga rekrut yang disuruh keluar meminta bantuan,'' katanya.
Walaupun kami amat lega sampai
di balai polis, tetapi misi pada malam itu tidak berakhir di situ saja.
Kami yang tidak cedera dikerah
masuk semula ke dalam hutan bersama pasukan Komando 69.
Pada malam itu kawasan hutan
itu di `geledah' dan pihak kami menjumpai banyak barang seperti ubat-ubatan,
makanan dan pakaian.
Pemeriksaan oleh pasukan khas
juga menjumpai banyak jerangkap samar dan bom buatan sendiri di kawasan itu.
Dua hari selepas itu, pasukan
Komando 69 menjumpai dua mayat pengganas komunis kira-kira dua kilometer
daripada tempat pertempuran.
Setahun kemudian, Mohd. Noh dan
rakannya Mohamad Salim dianugerah dengan pingat Panglima Gagah Berani (PGB)
oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_02.htm#ixzz4cisiwDjm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan