Sabtu, 18 Mac 2017

Amerika Syarikat diserang -- Dua Menara Kembar Pusat Dagangan Dunia di New York ranap dirempuh dua pesawat


 

ARKIB : 12/09/2001
GAMBAR kiri: Sebuah pesawat penumpang melintasi salah satu Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia New York (NYTC) yang dipenuhi dengan asap sebelum merempuh sebuah lagi menara semalam. GAMBAR tengah: Salah sebuah menara berkembar NYTC meletup selepas dirempuh oleh sebuah pesawat penumpang. GAMBAR kanan: Salah sebuah menara berkembar NYTC meletup dan roboh sama sekali selepas dirempuh oleh sebuah pesawat. Kedua-dua menara menyembah bumi. Gambar AFP dan Reuters.

NEW YORK 11 Sept. - Dua buah Menara Kembar Pusat Dagangan Dunia di sini yang setiap satunya setinggi 110 tingkat menyembah bumi dirempuh sebuah pesawat penumpang Boeing 767 yang dirampas serta sebuah pesawat lain dalam satu serangan berani mati - yang kemudiannya turut melibatkan serangan di beberapa lokasi strategik Amerika yang lain.

Serentak dengan serangan pada pukul 9 pagi itu, Pantagon (Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat) turut dirempuh dengan sebuah pesawat ala kamikazi - separuh bangunannya runtuh, kemudian bangunan dewan perwakilannya, Capitol Hill diikuti dengan Jabatan Negara.

White House turut diserang di bahagian West Wingnya - memaksa kakitangannya mengosongkan bangunan itu. Presiden George W. Bush tiada di kediamannya ketika serangan kerana berada di Florida.

Kesemua bangunan strategik kerajaan AS termasuk Bursa Saham New York turut dikosongkan. Laporan secara langsung CNN tidak putus-putus menyiarkan kesan-kesan serangan demi serangan yang tidak diketahui puncanya lagi. Pihak berkuasa AS percaya ia dilakukan oleh kumpulan pengganas.

``Amerika sedang diserang,'' kata stesen televisyen itu.

Laporan menyebut, menara pertama (menara selatan) Pusat Dagangan Dunia New York itu runtuh pada pukul 9.42 pagi (9.42 malam waktu Malaysia) diikuti menara kedua (menara utara) kira-kira pukul 10.35 pagi (10.35 malam).

Kedua-dua menara itu menempatkan kira-kira 50,000 pekerja.

Setakat ini tidak diketahui jumlah kematian.

Menara paling tinggi di New York itu runtuh akibat letupan kuat yang menggegarkan menara berkembar itu selepas ia dirempuh oleh pesawat kira-kira pukul 8.42 minit malam (waktu Malaysia).

Saksi-saksi melaporkan, dua letupan turut kedengaran di Pentagon kerana bangunan itu terletak berhampiran dengan pusat dagangan dunia itu.

Rangkaian televisyen menunjukkan asap berkepul-kepul kelihatan keluar dari bangunan tersebut selepas menara itu runtuh satu demi satu selang kira-kira sejam.

Siasatan awal oleh FBI mendapati nahas disebabkan oleh tindakan pengganas.

Presiden Bush yang berada di Florida telah dimaklumkan mengenai tragedi itu oleh ketua kakitangan, Andrew Card dan mengambil tindakan segera pulang ke Washington.

Bush ketika mengulas perkara itu berikrar akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang bertanggungjawab.

Beliau juga menyifatkan nahas itu sebagai ``detik-detik yang paling sukar kepada rakyat AS''.

``Hari ini, satu tragedi besar berlaku di AS dan saya akan segera kembali ke Washington,'' katanya dalam satu ucapan di hadapan guru-guru, ibu bapa dan pelajar Sekolah Emma E. Booker, di Florida.

Saksi-saksi menceritakan, dua buah pesawat itu merempuh bahagian atas bangunan terlebih dahulu sebelum pesawat kedua melanggar bangunan di bahagian bawah.

``Pesawat itu terbang rendah dan ia kelihatan melanggar salah sebuah menara dan beberapa minit kemudian sebuah pesawat lain merempuh bangunan yang sama tetapi di bahagian bawah,'' kata Timbalan Presiden CNN, Sean Murtagh.

Murtagh menambah, lubang besar kelihatan di bangunan setinggi 110 tingkat itu selepas ia dirempuh.

Saksi-saksi lain pula melaporkan, pesawat penumpang itu mungkin merempuh bangunan di tingkat 80 hingga 85.

``Serpihan bangunan kelihatan bertaburan di jalan raya selain beberapa orang turut kelihatan melompat keluar dari bangunan,'' kata salah seorang penduduk New York, Jeanne Yurman kepada CNN.

Di Washington, pegawai-pegawai menyatakan, FBI sedang menyiasat laporan mengenai rampasan pesawat sebelum nahas terbabit berlaku.

Salah sebuah pesawat yang merempuh menara berkembar itu adalah American Airlines Flight 11 yang berlepas dari Boston untuk ke Los Angeles sebelum ia dirampas.

Menara tertinggi di New York itu sebelum ini pernah dibom pada Februari 1993.

Enam orang terbunuh manakala lebih 1,000 yang lain cedera dalam nahas itu yang berlaku pada 26 Februari 1993 itu.

Dikatakan, kira-kira 50,000 bekerja, manakala 150,000 yang lain berurusan di bangunan menara berkembar itu setiap hari.

Jurucakap bekas Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara, Ira Furman, menyatakan, nahas itu sememangnya berpunca dari perbuatan khianat dan bukannya kemalangan.

Sementara itu, di Dubai, sebuah kumpulan di Palestin mengaku bertanggungjawab melakukan serangan pesawat ke atas pusat dagangan di New York itu.

Televisyen Abu Dhabi melaporkan, pihaknya menerima satu panggilan dari anggota Barisan Demokratik Pembebasan Palestin (DFLP) yang mengaku melakukan serangan di bangunan itu.

Televisyen al-Jazeera yang beribu pejabat di Qatar memberitahu sumber FBI bahawa salah sebuah pesawat telah dirampas sebelum kejadian berlaku.

Bagaimanapun, Palestin menafikan melakukan serangan terbabit.

Di Pentagon, saksi berkata, dua letupan menggegarkan Pentagon sejurus selepas kejadian.

``Saya dengar bunyi letupan yang sangat kuat sebanyak dua kali,'' kata wartawan akhbar Stars and Stripes, Lisa Burgess.

Jabatan Negara juga memindahkan kakitangannya selepas kejadian itu, kata pegawai

Kesemua penerbangan di AS juga diarah digantung sementara, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan.

Anggota bomba berkawal di sekitar perkarangan White House dan Perkhidmatan Polis Rahsia mengarahkan mereka yang berada di dalam White House supaya meninggalkan kawasan itu dengan segera.

Asap juga kelihatan berkepul-kepul berhampiran White House, kata saksi-saksi.

Kakitangan Jabatan Perbendaharaan AS juga turut dipindahkan. - Agensi.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm#ixzz4bkHe9Khe

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan