ARKIB : 01/09/2000
Oleh:ZIN MAHMUD (WARTAWAN
UTUSAN)
MALAYSIA hanyalah satu idea
atau konsep yang digagaskan oleh Tunku Abdul Rahman bagi mewujudkan sebuah
negara melalui gabungan Tanah Melayu dan bekas tanah-tanah jajahan Inggeris.
Tetapi konsep Malaysia ini
apabila direalisasikan dalam bentuk sebuah negara yang berjaya, maka ternyata
ia mendatangkan manfaat besar kepada penduduk negara ini.
Maka wajarlah tema Hari
Kebangsaan tahun ini yang berbunyi Keranamu Malaysia akan mengingatkan rakyat
negara ini bahawa segala kenikmatan yang kita peroleh di bumi bertuah ini
adalah kerana kejayaan konsep Malaysia itu.
Secara rasmi Keranamu Malaysia
memaparkan tanda kesyukuran, rasa terhutang budi dan bangga mengecapi kemajuan
dan kemakmuran di negara ini. Seterusnya rakyat bertekad pula untuk meneruskan
kecemerlangan ini di masa akan datang bagi mencapai Wawasan 2020.
Tahun ini juga secara rasmi,
Hari Kebangsaan disambut dalam kerangka perayaan Bulan Kemerdekaan yang bermula
dari 17 Ogos hingga 16 September 2000.
Walaupun Hari Kebangsaan adalah
31 Ogos tetapi sambutan yang dirayakan hingga 16 September memberi erti besar
kepada konsep Malaysia itu sendiri kerana ia diwujudkan pada 16 September 1963
apabila Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak digabungkan.
Brunei yang pada awalnya
dirancang untuk turut menyertai Malaysia telah menarik diri. Sementara
Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.
Sememangnya sebagai entiti
geografi, Malaysia meliputi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan
Sarawak dengan batas sempadannya jelas.
Memang Malaysia hanyalah salah
sebuah negara. Tetapi tidak semua negara di dunia ini berjaya.
Sekadar konsep kenegaraan, ia
tidak menjamin kejayaan sedangkan keberkesanan sesebuah negara menjadi kunci
kepada keamanan dan kemakmuran. Inilah istimewanya Malaysia. Negara ini memang
sudah berjaya dan berkesan dalam memberi keamanan dan kemakmuran pada
rakyatnya.
Memang benar seperti kata lirik
lagu Keranamu Malaysia yang menyatakan bahawa rakyat mendapat tuah, berjaya,
hidup selesa dan kemakmuran negara adalah Keranamu Malaysia.
Lagu rasmi Hari Kebangsaan
tahun ini adalah ciptaan Pak Ngah dengan lirik oleh Siso Kopratasa yang
menampilkan perubahan dalam persembahan lagu patriotik. Kalau dahulu, lagu-lagu
patriotik adalah lebih kepada rentak semangat ketenteraan, kali ini lagu
Keranamu Malaysia memberikan suasana ceria dan harapan indah bagi masa depan.
Tetapi apakah yang membuatkan
konsep Malaysia berjaya berbanding dengan negara-negara lain?
Tentulah sekadar nama tidak
menjamin kejayaan. Sebelum wujudnya Malaysia, nama ini digunakan oleh ahli-ahli
akademik untuk merujuk keseluruhan kepulauan rumpun Melayu di Asia Tenggara -
termasuk Filipina, Indonesia dan Tanah Melayu sendiri.
Tetapi Tunku Abdul Rahman telah
menjadikan Malaysia sebagai nama rasmi bekas tanah-tanah jajahan Inggeris di
Asia Tenggara.
Namun begitu kejayaan Malaysia
terletak pada asas kenegaraan yang sudah dipakai oleh Persekutuan Tanah Melayu.
Perlembagaan Malaysia berasaskan kepada Perlembagaan Tanah Melayu, dan begitu
juga dengan lambang-lambang negara termasuk Jalur Gemilang, lagu kebangsaan dan
bunga kebangsaan adalah merupakan sambungan kepada apa yang digunakan oleh
Persekutuan Tanah Melayu.
Negara Persekutuan Tanah Melayu
yang mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 merupakan asas kepada kejayaan
Malaysia. Sementara konsep Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1950
di atas keruntuhan gagasan Malayan Union yang ditolak oleh orang Melayu.
Gagasan Persekutuan Tanah
Melayu dengan cara kepimpinan yang mengutamakan keamanan, keharmonian dan
pembangunan merupakan asas kepada kejayaan Malaysia lebih 40 tahun kemudiannya.
Namun begitu, ciri utama
gagasan Persekutuan Tanah Melayu terletak pada sifat negara yang mengiktiraf
hak penduduknya untuk turut menikmati pembangunan. Ini bermakna orang Melayu
dapat meneruskan tradisi pemerintahannya di samping mengajak pendatang yang
menetap di negara ini untuk bersama menjadi warganegara.
Gagasan Persekutuan Tanah
Melayu merupakan gagasan inovatif dan revolusioner. Ketika ia mengekalkan
sistem beraja tetapi diubahsuai supaya berbentuk demokratik, dengan memberi
jaminan peluang yang luas bagi semua rakyatnya tanpa mengira kaum.
Kalau Malayan Union mahu
mengetepikan Raja-Raja Melayu dan meneruskan penjajahan British ke atas
negeri-negeri Melayu, gagasan persekutuan itu memperakukan pemerintahan sendiri
yang merintis kepada kemerdekaan. Musuh utama gagasan Persekutuan Tanah Melayu
adalah pihak komunis yang melancarkan perjuangan bersenjata mulai tahun 1948.
Pihak komunis mendakwa
Persekutuan Tanah Melayu hanyalah penjajahan bentuk baru British dan bukannya
kemerdekaan seratus peratus. Memang Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan
pada tahun 1950 baru diisytiharkan merdeka tujuh tahun kemudian. Itupun
kehadiran tentera British masih kuat dan pengundurannya dibuat secara
berperingkat-peringkat. Sememangnya cara negara ini membuat suatu perkara
berperingkat-peringkat bagi menjamin keamanan dan keberkesanan. Apa yang paling
hendak dielakkan ialah pertumpahan darah.
Namun begitu, rancangan komunis
adalah hendak menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah wilayah komunis yang pada
hakikatnya tanah jajahan kepada negara komunis China.
Negara ini berjaya mengalahkan
komunis apabila darurat diisytiharkan berakhir pada tahun 1960. Ternyata sistem
demokrasi dan pasaran bebas yang diamalkan oleh Persekutuan Tanah Melayu
memberikan keamanan dan kemakmuran. Lihatlah banyak negara Dunia Ketiga di
Afrika dan Asia yang terpedaya dengan sistem sosialis dan komunis tetapi
akhirnya ketinggalan dan terus berada dalam lubuk kemunduran.
Walaupun darurat berakhir,
gerakan komunis di peringkat antarabangsa masih mengancam Tanah Melayu. Pada
tahun-tahun 60-an, Asia Tenggara dilanda bahaya ini. Pihak komunis mara di
Indo-China sementara gerila komunis di Thailand dan Filipina amat aktif.
Indonesia di bawah pemerintahan Sukarno pula mempunyai pengaruh komunis yang
kuat.
Di satu pihak, Indonesia mahu
menguasai Sarawak dan Brunei sementara komunis menjadikan Singapura sebagai
sasaran utamanya sebagai pengkalan untuk menguasai Tanah Melayu. Keadaan ketika
itu amat genting dan Malaysia diwujudkan bagi menghalang sebarang peluasan
pengaruh komunis. maka tidak hairanlah Indonesia yang berada di bawah pengaruh
komunis ketika itu melancarkan konfrontasi. Sukarno menuduh Malaysia projek
penjajahan bentuk baru, neo-kolonialisme.
Sedangkan Indonesia ketika itu
sudah tunduk dengan kehendak komunis China.
Malaysia ketika itu menjadi
benteng demokrasi dan pasaran bebas di Asia Tenggara dan melakukan apa saja
bagi mempertahankan kemerdekaannya. Andainya Malaysia gagal, komunis akan dapat
menguasai rantau ini dan kita akan menderita seperti apa yang ditanggung di
Eropah Timur dan Asia Tengah.
Perpaduan rakyat Malaysia
merupakan kekuatan utama mempertahankan negara ini daripada dimusnahkan oleh
komunis. Walaupun terdapat ancaman perpecahan dalam negeri yang mengakibatkan
terkeluarnya Singapura dari Malaysia, tetapi negara ini terus berjaya bertahan.
Dengan kejatuhan komunis di
Indonesia, ancaman luar dapat dipatahkan. Sebaliknya ancaman muncul dari dalam
apabila berlaku Peristiwa 13 Mei 1969.
Peristiwa itu mendorong
Malaysia memperkemaskan dasar-dasarnya supaya negara ini mencapai kejayaan. Di
sinilah bermula gagasan-gagasan seperti Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru
(DEB).
Ternyata sejak itu, Malaysia
terus mencapai kejayaan demi kejayaan di samping mengatasi pelbagai cabaran.
Kejayaan ekonomi memberi kemakmuran di mana semua warganegara dapat
menikmatinya. Ketika memasuki dekad 90-an, bukan saja ancaman komunis sudah
tumpas dan Malaysia berupaya menampilkan keyakinan untuk dapat mencapai sasaran
Wawasan 2020.
Apabila zaman teknologi
maklumat menyelubungi dunia, Malaysia tidak ketinggalan dengan rancangan
Koridoraya Multimedia (MSC) yang menampilkan laluan bagi negara ini untuk terus
maju dan tidak ketinggalan.
Namun begitu, pada tahun 1997,
muncul satu ancaman baru yang datang serentak dengan proses globalisasi.
Ancaman spekulator mata wang yang boleh menjerumuskan negara ke dalam gawang
penjajahan bentuk baru.
Tetapi sekali lagi Malaysia
yang dipimpin secara proaktif telah berjaya melalui krisis kewangan dan pada
tahun ini, negara ini dapat memulihkan ekonomi.
Rakyat negara ini sudah
sewajarnya merasa bersyukur dengan kejayaan ini supaya Malaysia dapat terus
memberi kemakmuran di samping harapan masa depan yang cerah.
Namun begitu, segala
kejayaan-kejayaan masa lalu memerlukan usaha dan komitmen, tidak kurang pula
pengorbanan daripada warganegara. Pada masa-masa akan datang, warganegara
dituntut supaya lebih banyak berusaha dan meningkatkan komitmen serta
pengorbanan kalau hendak memastikan Malaysia terus mencapai kejayaan.
Usaha pula perlu ikhlas. Ikhlas
kerana Malaysia, dan bukan atas kepentingan peribadi semata-mata. Dengan
semangat Keranamu Malaysia, hasilnya kelak akan datang kembali kepada semua
warganegara dan generasi akan datang.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4awGqrQUA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan