ARKIB : 18/05/2002
LABUAN 17 Mei - Kerajaan tidak
membelakangkan hasrat pemegang diploma untuk melanjutkan pengajian ijazah
tetapi lebih memberi keutamaan kepada para pelajar lulusan Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi untuk melanjutkan pelajaran ke
universiti-universiti tempatan.
Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa
Mohamad berkata, adalah menjadi keputusan kerajaan bahawa penuntut cemerlang
STPM dan Matrikulasi disediakan peluang untuk memasuki universiti-universiti
berkenaan.
``Berbanding dengan pemegang
diploma kerana kelulusan mereka itu ialah hasil sesuatu kursus yang diikuti,
jadi jika tidak mempunyai peluang untuk memasuki universiti, mereka boleh
bekerja terlebih dahulu dan tunggu hingga ada peluang,'' katanya.
Beliau memberitahu demikian
kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kolej Matrikulasi Labuan (KML)
bernilai kira-kira RM250 juta di Kampung Merinding, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen
Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan,
Datuk Ambrin Buang dan Pengarah Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan,
Profesor Dr. Zainal Abidin Ahmad.
Musa diminta mengulas isu pelajar
lepasan Diploma Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam yang
menghantar memorandum kepadanya di Kementerian Pendidikan berhubung dengan
sekatan untuk memasuki universiti tersebut.
``Saya belum lihat kandungan
memorandum itu tetapi saya harap pihak UPM perlu beri penjelasan mengenai
perkara ini,'' katanya.
Musa belum melihat memorandum itu
kerana berada di Kota Kinabalu untuk sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan
2002 semalam dan hari ini pula melawat KML.
Semalam lebih 100 pelajar lepasan
Diploma Pertanian UPM telah mengemukakan memorandum kepada Musa yang meminta
universiti tersebut supaya memberi tempat untuk mereka bagi pengajian sesi Mei
2002/2003.
Memorandum tersebut telah
diserahkan oleh Ketua Unit Pengaduan Awam Pergerakan Pemuda UMNO, Subahan Kamal
dan 60 wakil pelajar terbabit kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri
Pendidikan, Abdul Rahman Othman di pejabatnya di Pusat Bandar Damansara, Kuala
Lumpur.
Seorang wakil pelajar, Iskandar
Mohd. Sofian, 21, yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 3.20
berkata, pihaknya mempersoalkan tindakan UPM menolak permohonan melanjutkan
pengajian ke peringkat ijazah pertama sedangkan kebanyakan lepasan diploma
universiti itu memperoleh CGPA 3.00 ke atas.
Pencapaian tersebut, katanya,
adalah melebihi syarat kelayakan automatik yang ditetapkan oleh universiti
iaitu CGPA 2.50.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4cACrBhod
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan