Ahad, 19 Mac 2017

Nasib malang cucu-cicit Maharaja India

ARKIB : 11/11/2001
BERATUS-RATUS raja India yang hebat telah kehilangan kuasa dan kemasyhuran mereka kepada kemerdekaan India dan kebanyakannya masih tercari-cari tempat di negara demokrasi yang terbesar di dunia itu.

Hari ini, banyak daripada mereka telah menukar istana lama dan kota-kota mereka yang usang kepada hotel-hotel, manakala sebahagian kecil daripada mereka menyertai politik.

Yang lainnya tenggelam tanpa dapat dikesan.

Pemain polo, Rao Raja Hari Singh dari Rajasthan yang merupakan ahli keluarga diraja Jodhpur bergurau sambil berkata bahawa `dinosaur raja' akan lebih berpeluang untuk hidup sekiranya mereka menerima perubahan dengan baik.

``Sebagai sebuah keluarga, kami menghargai masa lampau tetapi kami sentiasa mengharungi kehidupan untuk masa depan,'' kata Hari Singh yang pernah mewakili pasukan polo India yang memenangi Piala Dunia di Deauville, Perancis pada tahun 1996.

``Sumber kewangan keluarga saya membantu kegiatan polo saya di Britain dan Jodhpur,'' katanya.

``Tetapi sekarang saya menguruskan hotel milik keluarga... memang ada perkara yang lebih teruk dalam kehidupan tetapi saya tetap berasa seronok.''

Bapanya, Rao Raja Hanut Singh telah memastikan dia terus diingati selepas mencipta celana menunggang kuda yang dipanggil `jodhpurs'.

``Saya yakin jodhpurs akan hidup lebih lama daripada kami dan itulah keindahan dalam kehidupan,'' kata Hari Singh, sepupu kepada Yuvraj Shivraj Singh iaitu bakal pewaris takhta bagi Jodhpur yang kini bermain polo untuk pasukan India.

Mendapat pendidikan di Oxford, Shivraj Singh satu hari nanti akan mewarisi istana terbesar di India iaitu sebuah bangunan berwarna merah jambu yang diperbuat daripada batu pasir.

Istana yang dipanggil Umaid Bhawan itu mengambil masa selama 14 tahun untuk dibina dan ia dihias menara-menara yang paling tinggi di kota Jodhpur.

Istana itu siap beberapa tahun sebelum India mencapai kemerdekaan pada 1947, memperlihatkan pandangan berkedip-kedip sesetengah keluarga diraja mengenai masa depan India ketika itu.

Apabila British berundur pada tahun tersebut, masih terdapat 565 negeri beraja di seluruh India yang diperintah oleh raja-raja yang penuh kemewahan dalam sejarah yang berwarna-warni.

Kebanyakan raja itu menjadi legenda dengan kekayaan mereka, sementara yang lain memperoleh kemasyhuran kerana istana yang tersergam indah dan gundik-gundik mereka.

Raja Patiala misalnya memiliki 350 isteri dan terkenal dengan kelakuan-kelakuan ganjil.

Keluarga Nawab dari Junagadh dibenci kerana telah menghabiskan wang peruntukan projek awam sebanyak AS$90,000 (RM342,000) untuk majlis `perkahwinan' anjing kesayangannya.

Marah kerana dia tidak dipedulikan jurujual kereta Rolls Royce, Maharaja Bharatpur pula telah membeli semua kereta Rolls Royce di bilik pameran di London dan mengubahsuai kereta-kereta itu menjadi trak sampah.

Kerenah seperti itu dikawal selepas Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru menghapuskan kuasa pemerintahan beraja, meninggalkan mereka hanya dengan geran kerajaan tetapi dalam sesetengah kes raja-raja India itu terus disanjung oleh rakyat.

Merasakan mereka dikhianati oleh New Delhi selepas India mencapai kemerdekaan, ada beberapa raja memutuskan untuk membuktikan kepada Nehru bahawa mereka turut mahir dalam permainan demokrasi seperti juga kepandaian mereka dalam sukan biliard dan polo.

Apabila India mengadakan pilihan raya pertama negara itu pada 1952, beberapa orang anak raja terlibat dalam pertempuran politik.

Gayatri Devi, balu raja di Jaipur yang pernah disenaraikan oleh majalah Vogue sebagai antara sepuluh wanita yang tercantik di dunia telah memenangi kerusi pilihan raya pada tahun 1962 dengan 175,000 undi dan mempertahankannya pada 1967 dan 1971.

Pencapaian Devi itu telah menyebabkan anak perempuan Nehru, Indira Gandhi yang berkuasa kemudian berasa berang dan membalas pada 1971 dengan menghapuskan semua gelaran raja dan keistimewaan mereka serta memberhentikan pembayaran pencen khas kepada keluarga diraja.

``Sebenarnya terpulang kepada kita untuk memberi sumbangan konstruktif dalam hidup kita. Saya masih berpendapat keluarga raja di India boleh menyumbang secara kecil atau besar.

``Kami masih lagi dipandang tinggi oleh rakyat dan ini perlu diambil kira,'' kata Devi.

Puteri raja itu bersara daripada politik selepas Indira Gandhi memerangi musuh-musuhnya yang berdarah raja.

Devi adalah salah seorang keluarga raja yang terpaksa membayar harga tinggi kerana menyakitkan hati Indira, `maharani' baru bagi India. Dia pernah dipenjarakan di penjara Tihar yang terkenal kejam di negara itu.

``Daripada menerima keistimewaan, keturunan raja-raja di India menjadi orang hina yang tidak boleh disentuh,'' kata ahli sejarah K.K Singh.

``Tetapi sesetengah daripada mereka seperti Gayatri Devi berjaya menghadapinya dengan tenang.''

Setelah keluar dari penjara Tihar, Devi membina sekolah untuk budak-budak perempuan di Jaipur dan menulis autobiografi berjudul Seorang Puteri Raja Yang Dikenang. Buku itu laris di pasaran.

K.K Singh berkata, walaupun menghadapi pelbagai rintangan, keturunan raja menunjukkan mereka boleh memainkan peranan dalam demokrasi di India.

``Calon-calon berdarah raja menikmati kadar sokongan luar biasa dalam politik dengan 85 peratus daripada mereka berjaya dalam pilihan raya ,'' katanya.

Jika keturunan raja India boleh memberi faedah kepada politik, ia juga sudah pasti memberi rahmat besar kepada industri pelancongan.

Sejak Maharaja Jaipur mengejutkan semua orang dengan mengubah Istana Rambagh miliknya menjadi hotel pada 1958, hampir setiap bekas pemerintah di wilayah Rajasthan mengubah status kota dan istana mereka untuk menarik pelancong-pelancong asing.

Sesetengah istana yang lain bagaimanapun telah lenyap daripada peta.

Keturunan Nawab dari Oudh, iaitu bekas raja yang memerintah utara India, misalnya kini hidup tanpa bekalan air bersih atau elektrik di monumen batu zaman pertengahan milik mereka yang bersempadan dengan New Delhi.

Putera dan puteri keturunan itu enggan berbicara mengenai ibu mereka, Shehzadi Wilyat Mahal, yang membunuh diri dengan menelan serpihan-serpihan berlian selepas tinggal sebagai setinggan di stesen kereta api di Delhi bersama anjing-anjingnya.

Dia membunuh diri bagi memprotes layanan kerajaan terhadapnya. - AFP



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz4bpDqVtnM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan