Selasa, 28 Mac 2017

As-Syafie pengasas mazhab Syafie

ARKIB : 12/02/2003
Tokoh
Dengan kerjasama dan izin Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
SEJARAH mencatatkan semasa kelahirannya, terdapat dua kejadian penting; sewaktu dalam kandungan, ibunya bermimpi sebutir bintang keluar dari perutnya dan terus naik menjulang tinggi, kemudian bintang itu pecah berderai dan berselerakkan memenuhi daerah-daerah di sekelilingnya.

Kedua, pada hari dilahirkan, dua ulama besar, Imam Abu Hanifah (Imam mazhab Hanafi) dan Imam Ibn Jurej al-Makky (Mufti Hijaz) meninggal dunia.

Kedua-dua kejadian itu ditafsirkan bahawa akan lahir seorang putera yang akan menyinari alam dengan ilmunya, dan menggantikan kedua-dua tokoh ilmuwan yang meninggal itu.

Tafsiran ini akhirnya menjadi kenyataan. Imam Syafie diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengeluarkan fatwa dan hukum-hakam yang berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak dan kias.

Akhirnya, lahirlah sebuah mazhab yang diberi nama mazhab Syafie yang dipelopori oleh Imam Syafie sendiri dan mempunyai bilangan pengikut yang sangat ramai di serata dunia.

Nama penuhnya, Muhammad bin Idris bin Abas bin Uthman bin Syafie bin Saib bin Yazid bin Hashim bin Abd Mutalib bin Abd. Manaf. Beliau turut digelar `Abu Abdillah'.

Dilahirkan di Gazza, iaitu di Selatan Palestin pada 150 H. Namun, kampung asalnya ialah Mekah (Hijaz).

Ibu bapanya berpindah ke Gazza sebelum beliau dilahirkan. Imam Syafie turut mempunyai pertalian darah dan keturunan dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Semasa kecil, beliau hidup dalam keluarga yang miskin dan menderita. Bapanya meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan.

Setelah berusia dua tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Mekah dan tinggal di sana selama 20 tahun.

Selama berada di Mekah, beliau banyak berkecimpung dalam bidang keilmuan, khususnya yang berkaitan dengan ilmu agama.

Pada masa itu, umat Islam dikatakan berada dalam `zaman keemasan' iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rashid dan al-Makmun.

Dalam usia sembilan tahun, beliau berjaya menghafaz seluruh juzuk al-Quran. Imam Syafie juga turut tertarik dengan bidang sastera Arab.

Walaupun hidup dalam kesusahan, semangat untuk belajar terus membara sehingga beliau sanggup mengumpul batu-batu, belulang, pelepah tamar dan tulang unta untuk ditulis di atasnya.

Imam Syafie berfikiran cerdas, tekun dan tidak mengenal erti putus asa. Dengan sikapnya ini, banyak bidang ilmu yang dikuasainya.

Selain itu, beliau juga merupakan ulama Islam yang zuhud. Pakaian dan tempat tinggalnya sederhana. Beliau tidak suka makan banyak dan menurut pengakuannya, sejak kecil beliau terbiasa tidak makan sampai kenyang, yang boleh menyebabkan tubuh menjadi malas, hati menjadi beku dan fikiran menjadi tumpul.

Walaupun dalam serba kekurangan, Imam Syafie bersifat dermawan. Setiap kali menerima hadiah berupa wang, beliau tidak menyimpannya di rumah tetapi segera disedekahkan kepada fakir miskin dan orang yang memerlukan bantuan.

Beliau juga terkenal dengan ketaatan dan ketakwaannya kepada Allah s.w.t.

Pada usia 10 tahun, beliau berjaya menghafaz kitab Al-Muwatta' karangan Imam Malik bin Anas, dan semasa berusia 15 tahun beliau diberi kepercayaan oleh gurunya, Muslim bin Khalid az-Zanji untuk mengajar di Masjidul Haram.

Setelah 20 tahun mendalami pelbagai ilmu di Mekah, timbul keinginannya mengembara ke tempat lain untuk menambah ilmu.

Beliau ke Madinah mendalami ilmu dengan Imam Malik. Akhirnya beliau diberi kepercayaan oleh Imam Malik untuk tinggal bersama dan sebagai pembantunya mengajar kitab Al-Muwatta' dan lain-lain.

Beliau tetap bersama Imam Malik selama satu tahun.

Dengan cara itu beliau mendapat ramai kenalan daripada kalangan ulama yang datang ke Madinah setelah menunaikan haji di Mekah.

Setelah dua tahun berada di Madinah (ketika berusia 22 tahun),beliau berangkat mengembara ke Iraq, Kufah dan Baghdad, untuk menambah ilmu dan menemui ulama hadis dan fikah yang bertebaran di Iraq dan Iran.

Kota Kufah ketika itu menjadi pusat pemerintahan khalifah-khalifah Bani Abbasiyyah yang terkenal, seperti Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dan Khalifah Harun ar-Rashid.

Sampai di Kufah, beliau menemui sahabat-sahabat Almarhum Imam Abu Hanifah, iaitu Abu Yusuf dan Muhammad bin Hassan.

Beliau banyak bertukar fikiran dengan kenalannya dalam pelbagai soal ilmu agama.

Dengan cara ini, beliau dapat mengetahui perbezaan aliran fikah antara mazhab Hanafi dengan mazhab Maliki.

Dengan itu juga, Imam Syafie dapat menganalisis dan mendalami kedua-dua cara yang digunakan oleh kedua-dua imam tersebut.

Setelah dua tahun di Iraq, beliau terus mengembara ke Persia, Turki dan terus ke Palestin mencari dan menemui ulama-ulama di kalangan tabiin.

Semasa mengembara, beliau banyak mengetahui adat istiadat bangsa-bangsa selain mazhabnya.

Dua tahun kemudian, beliau pulang semula ke Madinah dan menemui kembali gurunya, Imam Malik.

Imam Syafie belajar dengan Imam Malik selama tujuh tahun. Setelah Imam Malik meninggal dunia, Imam Syafie pergi ke Yemen.

Di sana beliau dilantik sebagai mufti. Walaupun sudah bergelar mufti dan sangat alim, beliau masih lagi belajar. Kali ini dengan Syeikh Yahya bin Hussein, seorang ulama besar di kota San'a.

Kemudian beliau dilantik sebagai wali daerah Najran iaitu sebagai ketua daerah. Di Yemen, beliau berkahwin dengan Hamidah binti Nafi'i, seorang puteri keturunan Uthman Al-Affan.

Hasil perkahwinan ini, beliau dikurniakan tiga orang anak; satu lelaki dan dua perempuan.

Imam Syafie sangat disayangi oleh pembesar dan penduduk Yemen sehingga beliau diangkat sebagai `khatib-Daulah' (setiausaha negara), di samping sebagai Mufti dan guru agama di masjid-masjid.

Akhirnya beliau berjaya membentuk mazhab sendiri, iaitu mazhab Syafie.

Pada bulan Syawal 198 H, beliau berpindah ke Mesir dan di sana beliau tinggal di rumah Abdullah bin Hakam sehingga wafat pada 204 H.

Semasa hayatnya, Imam Syafie banyak menulis buku yang kebanyakannya menjurus ke arah ilmu fikah dan usul fikah.

Kitab Ar-Risalah merupakan kitabnya yang termasyhur, yang dikarangnya semasa berada di Mesir. Ramai ulama memuji kandungannya.

Walaupun beliau meninggal dunia dalam usia yang agak muda (54 tahun), sumbangan dan jasa yang ditaburkan adalah amat besar dan bernilai tinggi
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cbzwJNCu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan