Sabtu, 11 Mac 2017

Jasa bekas polis dikenang


 

ARKIB : 30/10/2000
MANSOR JAAFAR
Oleh: SUFFIAN ABU BAKAR
BUAT julung kalinya pada 31 Oktober ini, Persatuan Bekas-Bekas Polis Malaysia (PBBPM) akan meraikan sambutan Hari Patriotik, khusus bagi mengenang jasa bekas anggota polis yang telah berbakti kepada negara.

Hari Patriotik ini tentunya akan dilakarkan dalam sejarah perjuangan persatuan itu yang telah diwujudkan hampir 28 tahun lalu.

Tidak dinafikan, jasa serta pengorbanan anggota-anggota polis terlalu besar buat negara dan untuk itu, sebagai satu langkah memperingati segala pengorbanan mereka ini, kempen sambutan seperti ini wajar diadakan.

Sambutan Hari Patriotik ini diadakan sebagai memperingati jasa dan pengorbanan bekas-bekas anggota polis yang telah berjaya menentang musuh-musuh bagi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara.

Kejayaan ini telah banyak mengorbankan anggota-anggota polis yang meninggalkan isteri menjadi balu dan anak-anak menjadi yatim piatu. Selain daripada itu, ramai juga di antara mereka yang cedera parah dan ringan serta cacat anggota seumur hidup.

Istilah 'patriot' merujuk kepada individu yang cintakan negara dan sedia berkorban serta memberikan khidmat bakti kepada tanah air, termasuk berbuat baik kepada negara. Semangat inilah yang dipanggil 'patriotik'.

Bekas-bekas polis juga sememangnya layak digelar patriot di atas semangat ketaatsetiaan mereka terhadap negara, selain jasa yang tercurah tidak ternilai.

Cubalah anda bayangkan jika negara ini tidak mempunyai pengawalan dan penguatkuasaan polis, sudah tentunya kegiatan jenayah dan segala gejala tidak bermoral akan mudah dilihat dan berlaku di sana sini.

Pada ketika itulah orang ramai akan mula sedar tentang tanggungjawab dan peranan sebenar yang dimainkan oleh anggota polis terhadap kesejahteraan dan ketenteraman negara.

Kempen mengutip derma daripada orang ramai sempena Hari Patriotik PBBPM diberikan nama sedemikian bagi membezakan 'Hari Patriotik' insan-insan lain yang turut berbakti dan berkhidmat untuk negara.

Ia juga bukanlah semata-mata disambut dengan mengadakan kempen mengutip sumbangan dan derma kepada mereka yang memerlukan, tetapi ia penting untuk menyingkap semula sejarah pergerakan pasukan polis di negara ini yang berjuang mempertahankan keselamatan negara tanpa batasan tempat dan masa.

Peranan dan jasa anggota polis terhadap negara agak besar terutamanya sewaktu Tanah Melayu diisytiharkan darurat pada tahun 1948 hingga 1960.

Sejarah telah membuktikan bahawa polis pada ketika itu telah banyak memainkan peranannya dalam mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman musuh.

Ketika itu juga ramai anggota polis yang telah terkorban ketika mempertahankan tanah air dalam sumpah khidmat bakti mereka terhadap negara.

Sepanjang tempoh Darurat tersebut, ramai orang awam yang menyertai pasukan polis Tanah Melayu secara sukarela dan kebanyakan mereka diserapkan ke beberapa bahagian polis seperti polis khas (SC), polis dalaman (home guard), polis tambahan (AP), polis konstabel tambahan (EPC) dan juga pasukan hutan (JC).

Bagi polis sukarelawan yang dilantik oleh Ketua Polis Negeri atau Daerah dan bukannya pusat, mereka tidak menikmati skim perkhidmatan berpencen. Bagaimanapun mereka diberikan imbuhan atau ganjaran seperti tanah dan rumah mengikut negeri masing-masing setelah tempoh Darurat berakhir.

Apabila Darurat tamat pada tahun 1961 sehingga 1964, kesan penerimaan gratuiti yang berbeza ini kurang dirasakan sebab usia polis-polis sukarelawan ketika itu masih muda.

Konfrontasi Malaysia-Indonesia yang berlaku pada tahun 1963 hingga 1966 akhirnya memunculkan semula pasukan polis sukarelawan negeri yang kembali bergabung. Ketika inilah rasa tidak puas hati di atas imbuhan dan ganjaran berbeza yang diterima.

Bertolak daripada permasalahan itu, maka wujudlah persatuan-persatuan bekas polis yang menuntut ke arah persamaan daripada segi imbuhan kepada bekas-bekas polis yang telah berbakti untuk negeri masing-masing.

Sepanjang tempoh tersebut, semua persatuan itu berjuang menuntut hak persamaan pemberian gratuiti antara mereka dan ia memakan masa yang panjang.

Akhirnya pada tahun 1971, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman mencadangkan agar semua persatuan bekas-bekas polis itu disatukan di bawah satu pentadbiran bagi memudahkan segala usaha pemusatan arahan dan pelaksanaan.

Maka pada 6 Disember 1972, PBBPM secara rasminya ditubuhkan dan ahli-ahlinya terdiri daripada bekas-bekas polis yang telah bersara daripada khidmat mereka.

Sehingga hari ini, PBBPM mempunyai 14 buah cawangan di setiap negeri, selain 112 buah cawangan peringkat daerah dengan jumlah ahli berdaftar iaitu seramai 75,000 orang.

Presiden PBBPM, Mansor Jaafar berkata, fungsi dan peranan Hari Patriotik yang pertama kali dilancarkan ini secara mudah untuk difahami adalah hampir serupa dengan Kempen Hari Pahlawan yang diraikan khusus untuk bekas anggota tentera.

''Ia bagaimanapun sedikit berbeza iaitu sebagai permulaan, ia akan diadakan di sekitar Lembah Klang dan sekiranya sambutan yang diberikan agak memuaskan, ia akan diperluaskan ke seluruh negara,'' katanya baru-baru ini.

Kata beliau, usaha untuk mengadakan satu hari khas untuk bekas polis ini telah giat dijalankan sejak tujuh tahun yang lalu.

''Hanya pada penghujung tahun 1996, kabinet telah meluluskan skim kaedah untuk PBBPM mengadakan kempen rayuan kutipan derma khusus untuk bekas polis seperti Hari Pahlawan yang berfungsi untuk tentera,'' ujar beliau.

Selepas kelulusan diperoleh, tempoh hampir dua tahun diambil berikutan tiada kepastian pihak mana yang akan menamakan hari tersebut selain menyelaraskan upacara sambutan hari berkenaan.

PBBPM memilih Hari Patriotik, suatu hari yang signifikan kerana ia dilihat amat bersesuaian sekali dengan fungsi dan peranan polis.

Nama-nama lain seperti perajurit dan tentera lebih sinonim dengan pasukan tentera dan untuk itu, patriotik digunakan bagi mengelak kekeliruan tersebut.

''Selepas berbincang, pada 2 November 1999 lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meminta PBBPM meneruskan rancangan mengadakan sambutan ini selain memberi jaminan akan membantu,'' jelas beliau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah bersetuju untuk menjadi penaung kepada majlis sambutan Hari Patriotik yang akan dilancarkan esok, manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai pula bertindak sebagai penasihat kepada sambutan hari tersebut.

Tarikh 31 Oktober ini dijadikan hari yang sesuai untuk dilancarkan Hari Patriotik. Bagaimanapun, ia akan disambut secara menyeluruh pada ulang tahun hari penubuhan persatuan iaitu pada 6 Disember setiap tahun.

Menurut Mansor, orang ramai perlu diperjelaskan pemahaman mereka tentang fungsi sebenar Hari Patriotik PBBPM ini.

''Hari Patriotik sebenarnya memberi ruang kepada konsep mengenang jasa anggota polis yang telah bersara di mana mereka turut pernah berbakti dan kini terlantar di rumah meneruskan saki-baki kehidupan,'' ujarnya.

Kata beliau, bekas-bekas polis seharusnya berbangga dan berasa megah kerana setelah hampir 28 tahun PBBPM diwujudkan, terdapat satu hari khas untuk ahli-ahlinya.

''Ini merupakan suatu pengiktirafan oleh kerajaan kerana ia ialah hari kita (bekas-bekas polis), dan bagi anggota polis yang masih berkhidmat, mereka juga perlu berbangga kerana ada satu hari yang bakal disambut sebaik sahaja mereka bersara kelak,'' tambah beliau.

Menurut Mansor, beliau mengakui PBBPM kekurangan pengalaman untuk melancarkan atau melaksanakan Hari Patriotik ini. Bagaimanapun, dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan, selain khidmat nasihat daripada PDRM, beliau yakin segala masalah akan dapat diatasi.

Untuk itu, sebagai rakyat Malaysia yang penyayang, kita sebenarnya harus bersyukur di atas perjuangan dan pengorbanan anggota polis yang tidak mengira masa. Ini kerana, hasilnya menjadikan kita dapat hidup dalam keadaan aman, damai dan terjamin sehingga ke hari ini.

Sesungguhnya, perjuangan dan pengorbanan mereka tidak dapat dinilai dengan wang ringgit dan linangan air mata kenangan sahaja, kerana balu-balu dan anak-anak yang ditinggalkan itu memerlukan bantuan kita untuk membina hidup mereka seterusnya.

Bagi bekas-bekas anggota polis yang cacat anggota, cedera mahupun daif pula, mereka amat memerlukan keprihatinan kita semua untuk meneruskan sisa-sisa hidup di alaf baru yang lebih mencabar.

Bagi kutipan Tabung Hari Patriotik 2000, majlis pelancarannya akan dilakukan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya esok.

Oleh itu wajar bagi rakyat tampil menghulur sumbangan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4b5tY0oPB © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan